jelasBERITA: Bagaimanakah bom Perang Dunia Kedua di Upper Bukit Timah akan dilupuskan dengan selamat?
Bom udara Perang Dunia Kedua seberat 100kg ditemui di sebuah tapak binaan di Upper Bukit Timah Road. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Bom seberat 100kg dari Perang Dunia Kedua yang ditemui di Upper Bukit Timah akan menjalani proses pelupusan terkawal pada Selasa (26 Sep).
Lebih 4,000 penduduk yang tinggal dan bekerja di kawasan itu akan dipindahkan untuk operasi itu. Pagar 200m di sekeliling tapak pelupusan juga akan dibangunkan, bersama dengan penutupan jalan raya.
Apakah yang akan berlaku pada peninggalan perang yang ditinggalkan di bawah tanah selama beberapa dekad? Mediacorp mewawancara pakar untuk mengetahui lebih lanjut.
BAGAIMANA JENIS BOM DIKENAL PASTI?
Bom itu berkemungkinan "jenis 94" yang digunakan oleh Jepun, kata Encik Winson Chew, pakar pelupusan bahan letupan (EOD) yang bertugas di Blastwork Solutions.
Beliau berkata adalah penting untuk mengenal pasti jenis bom supaya karyawan EOD boleh mengetahui jenis fius yang digunakan dan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan.
Pendedahan kepada elemen-elemen cuaca selama beberapa dekad mungkin akan menyebabkan kakisan, yang bermakna sebarang tatanama pada bahan ledakan mungkin sukar untuk dibaca.
Oleh itu, cara paling tepat adalah dengan mengukur dimensinya, kata Encik Chew, yang berkhidmat kira-kira 15 tahun dalam Batalion ke-36 Jurutera Tempur Tentera (36SCE).
36SCE juga dikenali sebagai unit EOD Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang juga merupakan pihak yang menangani sebarang insiden letupan. Ia juga akan dikerahkan apabila peninggalan perang ditemui.
Dalam kes ini, tanda-tanda yang boleh dilihat ialah kehadiran 'lug' penggantungan - ditemui pada bom berkenaan untuk pesawat memunggahnya - serta tatanama dan dimensi, kata Encik Chew.
Bom yang ditemui di Singapura "lebih kurang ... agak serupa", tambahnya.
ADAKAH IA AKAN MERUMITKAN KEADAAN?
Bahan ledakan tertimbus yang tidak meletup bagi tempoh yang lama cenderung menjadi kurang stabil, dan pengendalian yang tidak betul boleh mencetuskan letupan, kata Encik Gerald Goh, pengurus projek untuk khidmat EOD di Explomo.
Encik Chew dari Blastwork menambah bahawa kakisan juga boleh menjejaskan fius bom. Untuk menentukan keadaan fius, pakar EOD akan melakukan imbasan X-ray pada peranti tersebut, jelasnya.
<< caption: Anggota Angkatan Bersenjata Singapura dilihat dikerahkan ke kawasan yang dikelilingi oleh blok konkrit di tapak binaan kondominium Myst pada 25 Sep 2023. (Foto: CNA/Marcus Mark Ramos)>>
BAGAIMANAKAH PELUPUSAN ITU AKAN DIJALANKAN?
Pada 2019, SAF melupuskan bom Perang Dunia Kedua seberat 50kg di Jiak Kim Street.
Menurut SAF, ia merupakan satu proses dua langkah yang pertama sekali melibatkan pemecahan kelongsong bom dan pembakaran komponen utama bahan letupannya.
Langkah seterusnya ialah mengecas balas baki kandungan bahan letupan - iaitu, meletakkan bahan letupan antara satu sama lain untuk meletupkannya.
APAKAH LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN YANG DIAMBIL?
Selain pemindahan penduduk dan penutupan jalan raya, dinding pelindung dan beg pasir biasanya dibangunkan di sekeliling bom tersebut.
Apabila Mediacorp mengunjungi tapak berkenaan di Upper Bukit Timah pada Selasa, para pegawai SAF dilihat bekerja di kawasan yang dikelilingi blok konkrit, dan membawa beg pasir.
Encik Chew berkata pihak berkuasa juga akan memeriksa paip bawah tanah yang boleh terjejas.
Para pegawai keselamatan di tapak binaan harus dididik tentang bahan ledakan yang tidak meletup dan juga risikonya jika bahan ledakan sedemikian tidak dikendalikan dengan betul, kata Encik Goh dari Explomo.
Beliau menegaskan bahawa pakar EOD harus dikerahkan setiap kali bahan ledakan ditemui, dan para pekerja tidak seharusnya mengendalikannya sendirian.
APAKAH YANG MUNGKIN DISASAR OLEH BOM PESAWAT ITU?
Tentera Jepun menggugurkan bom dari udara di Singapura dari 29 Dis 1941 hingga 15 Feb 1942, kata Profesor Brian Farrell dari jabatan sejarah Universiti Nasional Singapura (NUS).
Tentera bersekutu, khususnya Amerika, juga melancarkan serangan udara menggunakan bom antara November 1944 dan pertengahan 1945, kata ahli sejarah perang itu.
Prof Farrell berkata pangkalan tentera laut dan limbungan kapal akan menjadi sasaran khusus bagi kedua-dua pihak.
"Masing-masing tidak dapat menyerang dengan tepat," tambahnya.
ADAKAH BOM PERANG DUNIA KEDUA YANG TIDAK MELETUP SATU PERKARA BIASA DI SINGAPURA?
Secara purata, Blastwork melupuskan kira-kira satu bom Perang Dunia Kedua yang tidak meletup sebulan di Singapura, kata Encik Chew.
Ini kebanyakannya kelongsong atau peluru meriam.
Blastwork adalah kontraktor yang diluluskan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), menurut Encik Chew. Apabila bahan ledakan yang tidak meletup dinilai sebagai selamat untuk dialihkan, kontraktor boleh mengambil alih daripada pihak berkuasa dan menghapuskannya.
Bagaimanapun, disebabkan saiznya, bom pesawat memerlukan pasukan EOD SAF untuk mengambil bahagian dalam proses pelupusannya, kata Encik Chew.
Beliau berkata pasir yang diimport oleh Singapura untuk tebus guna tanah juga kadangkala mengandungi bahan ledakan yang tidak meletup. Ini juga perlu dilupuskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.