Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Bagaimana SG pastikan saluran air negara bebas sisa industri berbahaya

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana SG pastikan saluran air negara bebas sisa industri berbahaya

Salah satu takungan air di Singapore. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Nov 2024 12:03PM Dikemas Kini : 13 Nov 2024 12:18PM
SINGAPURA: Ketika jumlah sisa industri berbahaya dan beracun yang dihasilkan di Singapura semakin meningkat, peri perlunya merawat bahan-bahan itu dengan betul sebelum ia dilepaskan ke saluran air negara mendapat perhatian ramai.

Singapura biasanya menghasilkan kira-kira 500,000 tan sisa berbahaya setiap tahun.

Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kira-kira 10 peratus dari tahun ke tahun selama lebih dua dekad, menurut sebuah firma yang mengendalikan produk sampingan berbahaya daripada pelbagai industri seperti minyak dan gas, farmaseutikal dan elektronik.

Syarikat pengurusan sisa Environmental Solutions Group Holdings memproses kira-kira 100 jenis sisa industri berbahaya - termasuk raksa, asid hidroklorik dan sulfurik - dan juga racun seperti sianida, kata pengarah eksekutif firma itu Lawrence Law.

Bahan sisa itu dianalisis di makmal, kemudian dirawat dengan teliti supaya ia cukup selamat untuk dilepaskan ke dalam pembetung negara. Ia kemudiannya akan 'dibersihkan' untuk menghasilkan AirBaru (NEWater).

Akibat pembuangan sisa industri yang tidak dirawat secara sembarangan boleh mendatangkan beberapa kesan yang tidak diingini, kata Encik Law.

Beliau memberi contoh asid sulfurik hitam, yang dihasilkan oleh loji petrokimia. Menurutnya: "Ia akan mencemarkan saluran air kita dan ia akan mula membunuh tumbuhan akuatik (dan haiwan) kita."

Beliau menambah bahawa karsinogen (bahan yang menyebabkan barah) dalam bahan ini juga akan membahayakan manusia, dan sistem pembetung awam tidak direka untuk menghantar sisa berbahaya, yang boleh menghakis paip dalam sistem.
Syarikat pengurusan sisa Environmental Solutions Group Holdings memproses sekitar 100 jenis sisa perindustrian toksik.
JAGA KESELAMATAN SALURAN AIR

Peri pentingnya merawat sisa industri toksik menjadi tumpuan pada Isnin (11 Nov) di parlimen, di mana hukuman lebih berat bagi pembuangan sisa berbahaya ke dalam pembetung secara haram diluluskan para Anggota Parlimen.

Sebagai contoh, syarikat yang mengeluarkan bahan berbahaya tanpa kelulusan agensi air negara PUB, menyebabkan kecederaan kepada pekerja dan kerosakan pada pembetung, akan berdepan denda minimum baharu S$40,000.

Denda maksimum juga akan digandakan kepada S$400,000.

Antara 2017 dan 2023, PUB mendakwa 90 pesalah atas 295 kesalahan berkaitan sisa cecair yang dilepaskan ke sungai atau laut, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor. Kira-kira 70 peratus daripada mereka yang didakwa setiap tahun adalah pesalah berulang, tambahnya.

Untuk mengelakkan daripada melanggar undang-undang, banyak firma telah beralih kepada huraian pengurusan sisa seperti yang disediakan oleh firma Encik Law.
CEGAH KELIKIR, LUMPUR DILEPASKAN

Bagi memastikan saluran air Singapura selamat, PUB juga meningkatkan kekerapan pemeriksaannya di tapak pembinaan untuk memastikan langkah-langkah telah diambil untuk mencegah pelepasan bahan-bahan seperti kelikir dan lumpur menjelang musim tengkujuh timur laut dari Disember hingga Mac.

Pelepasan bahan sedemikian adalah hasil daripada campuran air hujan dengan tanah yang terdedah di tapak pembinaan.

Jika bahan itu terkumpul di dalam longkang, ia boleh menghalang saliran air hujan, menyebabkan banjir kilat.

Denda maksimum bagi pesalah berulang yang melakukan kerja yang boleh menyebabkan pasir dan tanah dibuang ke dalam longkang dan terusan juga telah digandakan, kepada S$100,000.

Salah satu kontraktor yang telah berusaha untuk memastikan insiden sedemikian tidak berlaku ialah syarikat usahasama Singapura-China, China Communications Construction Company-Sinohydro Joint Venture.

Firma itu, yang merawat airnya yang berlumpur sebelum membuangnya ke longkang awam, telah meletakkan perlindungan tambahan, seperti kolam simpanan yang menapis sedimen tanah.

Ia juga telah melaksanakan sistem automatik yang akan menutup sistem secara automatik untuk mengelakkan pelepasan air berlumpur dari tapak kerja.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan