Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bagaimana penarikan semula kereta dilakukan di SG?

Beberapa persoalan timbul mengenai proses penarikan balik kereta di Singapura selepas mahkamah mendapati seorang lelaki maut akibat beg udara yang rosak dalam keretanya.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana penarikan semula kereta dilakukan di SG?

Sebuah tempat letak kereta yang dipenuhi dengan kenderaan yang ditarik balik. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 08 Oct 2025 03:19PM
  • Apabila sesuatu kenderaan ditarik balik, pengedar atau pengimport kenderaan perlu memaklumkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pemilik kenderaan yang terjejas.
  • Menurut wakil LTA yang memberi keterangan dalam kes beg udara Takata, agensi itu tidak mempunyai tanggungjawab berkanun dan hanya memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyampaikan keperluan penarikan balik kenderaan.
  • Encik Oh pula menggesa pengedar dan pengimport yang menjadi ahli persatuan itu untuk memantau secara aktif sebarang penarikan balik yang dikeluarkan oleh pengeluar dan membuat aturan yang diperlukan bagi untuk memperbaiki kenderaan yang terjejas.
  • Profesor Madya Jawn Lim dari kluster perniagaan, komunikasi dan reka bentuk di Institut Teknologi Singapura berkata terdapatnya “kebergantungan berlebihan” terhadap pengedar untuk memaklumkan pemilik kereta mengenai penarikan balik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Beberapa persoalan timbul mengenai proses penarikan balik kereta di Singapura selepas mahkamah mendapati seorang lelaki maut akibat beg udara yang rosak dalam keretanya.

Kejadian itu berlaku pada 2022 apabila serpihan logam dari roda stereng tertusuk kepala pemandu selepas beg udara berkenaan terbuka.

Ia merupakan kematian pertama di Singapura yang melibatkan beg udara jenama Takata, yang sudah ditarik balik di seluruh dunia sejak 2013 selepas kecacatan dikesan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa kereta itu dijual kepada pemandu berkenaan oleh sebuah pengimport selari - namun syarikat tersebut sudah pun ditutup beberapa tahun sebelum kejadian berlaku.

Bagaimana pemandu boleh tahu jika kenderaan mereka dipanggil balik?

Apabila sesuatu kenderaan ditarik balik, pengedar atau pengimport kenderaan perlu memaklumkan kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pemilik kenderaan yang terjejas.

Ini termasuk pengimport selari, iaitu pengedar bukan rasmi yang membawa masuk kenderaan secara langsung dari pasaran luar negara.

Biarpun mereka tidak mempunyai hubungan langsung dengan pengeluar seperti pengedar rasmi, pengimport selari masih perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengikuti penarikan balik yang diumumkan dan memeriksa sama ada mana-mana kenderaan yang dijual mereka terjejas.

LTA akan mengambil tindakan terhadap pengedar dan pengimport yang gagal memenuhi kewajipan undang-undang tersebut.

Jika atau apabila LTA dimaklumkan oleh pengedar atau pengimport tentang sebarang penarikan balik, maklumat itu akan dimasukkan ke dalam platform sistem elektronik penarikan balik kenderaan di laman OneMotoring LTA.

Melalui platform tersebut, pemilik kenderaan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam penarikan balik, melihat senarai kenderaan yang terjejas, serta status kerja pembetulan bagi kenderaan tersebut.

Adakah semua kenderaan yang ditarik balik dalam pengetahuan LTA?

Ia masih bergantung kepada pengedar dan pengimport dalam memaklumkan pihak berkuasa.

Menurut wakil LTA yang memberi keterangan dalam kes beg udara Takata, agensi itu tidak mempunyai tanggungjawab berkanun dan hanya memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyampaikan keperluan penarikan balik kenderaan.

Pengurus editorial platform jual beli kereta Sgcarmart, Desmond Chan, berkata pengeluar yang mengeluarkan notis penarikan balik akan memaklumkan terus kepada pengedar kenderaan.

Namun bagi pengimport selari, dalam banyak kes, aliran maklumat antara pengeluar dan pengedar tidak wujud.

“Oleh itu, terpulang kepada pelanggan untuk mengetahui sendiri tentang penarikan balik itu,” kata beliau.

Seorang kakitangan daripada sebuah pengimport selari, yang enggan menamakan syarikatnya kerana perkara yang dibincangkan adalah sensitif, berkata: “Pengimport selari tidak mempunyai perjanjian dengan pengeluar... Mereka tidak akan tahu tentang penarikan balik yang dikeluarkan oleh pengeluar atau kenderaan mana yang terjejas.”

Presiden Persatuan Pengimport dan Pengeksport Automobil (AIEA), Keith Oh, berkata bagi meningkatkan kadar pembetulan penarikan balik, LTA sudah pun menyediakan senarai pengimport selari dengan kenderaan yang belum diperbaiki di bawah penarikan balik beg udara Takata.

“AIEA boleh membantu mengingatkan pengimport selari ini untuk mengambil tindakan susulan dengan pemilik kenderaan,” kata beliau.

Encik Oh turut menggesa pengedar dan pengimport yang menjadi ahli persatuan itu untuk memantau secara aktif sebarang penarikan balik yang dikeluarkan oleh pengeluar dan membuat aturan yang diperlukan bagi untuk memperbaiki kenderaan yang terjejas.

Apa berlaku selepas kereta anda ditarik balik?

Menurut laman OneMotoring LTA, pemilik kenderaan yang terjejas akan dimaklumkan oleh pengedar atau pengimport, dan kerja pembetulan akan diaturkan.

Namun proses itu mungkin tidak semudah yang disangka.

Kakitangan pengimport selari yang sama berkata bahawa meskipun beliau mengetahui tentang suatu penarikan balik, ada kemungkinan timbulnya masalah untuk mendapatkan alat ganti yang diperlukan bagi pembetulan.

Katanya, pada 2014, semasa penarikan balik beg udara Takata sedang giat dijalankan, pengimport selari menghadapi “kesukaran yang besar” untuk mendapatkan beg udara yang dinaik taraf.

Ketua Pegawai Operasi CarTimes Group, Benjamin Loo, bersetuju dan berkata pengedarnya mempunyai bengkel sendiri di mana kereta yang ditarik balik akan dinilai dan pelanggan diberi nasihat mengenai langkah seterusnya.

Namun beliau mengakui bahawa tidak semua pengedar mempunyai kemudahan sedemikian.

“Bukan semua orang mampu menyediakan sokongan yang diperlukan selepas jualan,” katanya.

Encik Loo menambah, satu lagi cabaran ialah pemilik kereta yang menerima surat penarikan balik tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Bagaimana jika pengedar kereta sudah gulung tikar?

Mereka yang membeli kenderaan daripada pengedar atau pengimport yang kemudian menutup operasi atau menukar pemilikan mungkin tidak akan dimaklumkan tentang penarikan balik.

Encik Loo dari CarTimes berkata apabila syarikat ditutup, pemilik biasanya “tidak mempunyai insentif untuk berbuat apa-apa lagi.”

Encik Chan dari Sgcarmart bersetuju dan berkata ia adalah tidak realistik untuk menjangka pengedar atau pengimport selari yang sudah ditutup untuk memaklumkan pelanggan mengenai penarikan balik kerana “rangkaian komunikasi itu sudah tiada.”

Dalam kes kematian akibat beg udara Takata, LTA pernah menghubungi pengimport selari yang sudah ditutup itu melalui surat berdaftar bagi tiga penarikan balik berasingan yang tidak berkaitan dengan Takata. Surat-surat itu dipulangkan kepada LTA.

Encik Oh dari AIEA berkata persatuannya sudah menyusun senarai bengkel automotif untuk membantu pemilik kenderaan yang mungkin terjejas oleh penarikan balik beg udara Takata dan tidak mempunyai pengimport selari yang masih beroperasi.

“Kami menggalakkan pemilik kenderaan untuk mendapatkan khidmat bengkel-bengkel ini bagi kerja pembetulan,” kata beliau.

Bagaimana dengan kereta terpakai?

Bagi kereta terpakai, pemandu boleh menyemak status penarikan balik kenderaan mereka melalui sistem elektronik penarikan balik kenderaan LTA.

Menurut Encik Chan, jika kereta itu didapatkan daripada pengedar rasmi, sebarang penarikan balik yang dikeluarkan dan dilaporkan akan dipaparkan dalam sistem.

Namun jika kereta itu didapatkan daripada pengimport selari atau pengedar yang sudah ditutup, masalah yang sama mungkin timbul - di mana keperluan untuk menarik balik kenderaan tersebut tidak dipaparkan.

Bagi kereta terpakai, satu lagi cabaran ialah sebahagian pemilik tidak mengemas kini maklumat perhubungan mereka atau tidak lagi tinggal di alamat yang digunakan untuk menghantar notis penarikan balik, kata Encik Oh.

“Kami menggesa pemilik kenderaan untuk mengemas kini maklumat perhubungan mereka dan membuat pembetulan sebaik sahaja menerima notis penarikan balik daripada ahli kami,” kata beliau.

Apa lagi yang boleh dilakukan?

Profesor Madya Jawn Lim dari kluster perniagaan, komunikasi dan reka bentuk di Institut Teknologi Singapura berkata terdapatnya “kebergantungan berlebihan” terhadap pengedar untuk memaklumkan pemilik kereta mengenai penarikan balik.

“Sistem ini menjadi rapuh apabila pengedar ditutup atau bertukar pemilik,” katanya. “Perlu ada usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hubungan yang tidak stabil seperti ini.”

Beliau berkata butiran hubungan seperti nama syarikat, emel dan nombor telefon sering berubah-ubah.

Prof Madya Lim mencadangkan, salah satu penyelesaian yang boleh diambil adalah dengan menggunakan unit dalam kereta (OBU), peranti yang digunakan untuk sistem ERP 2.0, untuk memaklumkan pemandu secara langsung mengenai penarikan balik.

Pilihan lain adalah dengan mewajibkan pusat pemeriksaan kenderaan mengekalkan senarai amaran bagi kenderaan yang mempunyai masalah, tambahnya.

“Dengan cara ini, semasa pemeriksaan berkala sebelum pembaharuan cukai jalan, pemilik boleh diingatkan atau dimaklumkan tentang sebarang kecacatan yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Namun Encik Chan dari Sgcarmart berkata perubahan dasar sedemikian tidak mungkin berlaku kerana ia memerlukan tahap pengawalseliaan maklumat yang tinggi oleh LTA.

“Akhirnya, inilah realiti pasaran yang tidak jelas, dan satu kekurangan yang perlu diterima oleh pelanggan,” katanya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita