Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bagaimana pelanggan Jetstar Asia terjejas oleh penutupannya?

Dengan Jetstar Asia dijadual gulung tikar pada 31 Julai, apa yang akan berlaku jika anda mempunyai tempahan, baucar atau keahlian Jetstar Asia?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana pelanggan Jetstar Asia terjejas oleh penutupannya?

Sebuah trak pengisian semula bahan api bersebelahan dengan pesawat Jetstar di Lapangan Terbang Changi di Singapura pada 13 Mei 2022. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Dengan Jetstar Asia dijadual gulung tikar pada 31 Julai, apa yang akan berlaku jika anda mempunyai tempahan, baucar atau keahlian Jetstar Asia?

Syarikat penerbangan tambang jimat yang berpangkalan di Singapura, yang dimiliki oleh syarikat Qantas dari Australia itu mengendalikan 16 laluan antara negara-negara Asia yang terjejas menyusuli penutupannya.

APA YANG HARUS SAYA LAKUKAN JIKA SAYA MEMPUNYAI TEMPAHAN PENERBANGAN JETSTAR SELEPAS 31 JULAI?

Syarikat penerbangan akan menghubungi anda secara langsung dengan pilihan mendapatkan bayaran balik penuh dalam bentuk wang tunai.

Ia akan menghubungi para pelanggan melalui alamat emel yang digunakan semasa membuat tempahan.

Para pelanggan yang membuat tempahan melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan lain pula dinasihatkan menghubungi mereka secara langsung dan bukannya Jetstar Asia.

Sesetengah pelanggan pula mungkin akan ditawarkan tempat duduk dalam penerbangan alternatif yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan milik Qantas, bergantung kepada ketersediaan.

Penutupan Jetstar Asia tidak menjejas penerbangan yang dikendalikan oleh Jetstar Airways atau Jetstar Jepun.

Jetstar Airways mempunyai beberapa penerbangan antara Australia dengan Asia Tenggara.

Jetstar Asia pada masa ini mengendalikan lapan penerbangan antara Singapura dan beberapa destinasi di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, China, Sri Lanka, Jepun dan Australia.

SAYA SUDAH BELI TIKET PENERBANGAN JETSTAR AIR SEBELUM 31 JULAI. ADAKAH PENERBANGAN DITERUSKAN?

Hal ini bergantung kepada sama ada penerbangan itu terjejas oleh "jadual yang dikurangkan secara berperingkat" menjelang penutupannya.

Syarikat penerbangan itu akan memaklumkan para pelanggan atau ejen-ejen pelancongan mereka sekiranya penerbangan mereka terjejas.

Mereka yang mempunyai tempahan aktif dengan Jetstar Asia boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman makluman perjalanan syarikat penerbangan itu.

SAYA TIDAK MAHU LAGI MENAIKI PENERBANGAN JETSTAR ASIA. BOLEHKAH SAYA BERBUAT DEMIKIAN?

Jetstar Asia menyatakan bahawa mereka akan menawarkan “fleksibiliti tambahan” kepada pelanggan menjelang tarikh penutupan.

Maklumat terkini mengenai jadual dan nasihat perjalanan boleh didapati di laman makluman perjalanan Jetstar Asia.

BOLEH SAYA DAPATKAN BAYARAN BALIK BAGI BAUCAR JETSTAR?

Ya, sekiranya anda mempunyai baucar berkaitan perjalanan Jetstar Asia.

Syarikat penerbangan itu akan menghubungi anda pada Ogos untuk menukarkan baki baucar tersebut kepada bayaran balik dalam bentuk wang tunai.

Namun, baucar yang telah tamat tempoh sebelum pengumuman penutupan pada 11 Jun tidak layak bagi bayaran balik.

Jika anda telah menggunakan baucar untuk membuat tempahan dalam tempoh 18 bulan lalu, syarikat penerbangan akan secara automatik memulangkan jumlah berkenaan ke dalam kad pembayaran yang digunakan, sewajarnya. Anda kemudian akan dimaklumkan melalui emel setelah proses bayaran balik selesai.

Bagi tempahan lain, syarikat penerbangan itu akan menghubungi pelanggan dengan arahan lanjut.

“Kami tidak akan meminta maklumat kad kredit anda,” menurut Jetstar.

Sekiranya baucar digunakan secara berasingan untuk setiap penumpang, emel akan dihantar kepada individu yang membuat tempahan bagi menyelaras proses bayaran balik bagi setiap baucar.

Bagi mereka yang menggunakan baucar untuk membuat tempahan melalui ejen pelancongan atau laman pihak ketiga, mereka akan dihubungi sama ada oleh syarikat penerbangan atau ejen pelancongan berkenaan.

SAYA SEORANG AHLI CLUB JETSTAR. BAGAIMANA DENGAN KEAHLIAN SAYA?

Keahlian akan dibatalkan dan yuran tahunan akan dipulangkan kepada semua ahli Club Jetstar yang berpangkalan di Singapura.

Bayaran balik akan diproses mulai Ogos dan dikreditkan semula ke kad yang digunakan bagi pembelian keahlian.

Jika itu tidak dapat dilakukan, syarikat penerbangan akan menghantar emel yang mengandungi arahan lanjut. Keahlian yang telah tamat tempoh sebelum 11 Jun tidak layak untuk bayaran balik.

SAYA AKAN MENAIKI PENERBANGAN SYARIKAT RAKAN KONGSI JETSTAR ASIA. ADAKAH PENERBANGAN ITU MASIH AKAN DITERUSKAN?

Syarikat penerbangan rakan kongsi tersebut akan menghubungi anda mengenai pengaturan alternatif sekiranya penerbangan anda terjejas, sama seperti Jetstar yang akan memaklumkan sekiranya penerbangan Jetstar Asia anda terkesan.

Syarikat penerbangan rakan kongsi merujuk kepada syarikat yang bekerjasama dengan Jetstar Asia. Dalam kes ini, pelanggan menempah tiket penerbangan melalui Jetstar Asia tetapi menaiki penerbangan yang dikendalikan syarikat lain.

SAYA TEMPAH PENERBANGAN MELALUI PIHAK KETIGA ATAU EJEN PELACONGAN.

Jika Jetstar mempunyai maklumat anda, syarikat penerbangan itu akan menghubungi anda. Jika tidak, ejen pelancongan akan menghubungi anda.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita