Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bagaimana industri kapal persiaran SG terus bertahan di tengah lonjakan harga bahan api marin?

Industri pelayaran mungkin tidak dapat beroperasi seperti biasa di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah, tetapi syarikat-syarikat yang beroperasi dari Singapura sedang memikirkan strategi untuk terus bertahan.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana industri kapal persiaran SG terus bertahan di tengah lonjakan harga bahan api marin?

Sebuah kapal persiaran berlabuh di Terminal HarbourFront di Singapura pada 25 Februari 2025. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Industri pelayaran mungkin tidak dapat beroperasi seperti biasa di tengah-tengah konflik berterusan di Timur Tengah, tetapi syarikat-syarikat yang beroperasi dari Singapura sedang memikirkan strategi untuk terus bertahan.

Untuk menangani kenaikan harga bahan api marin, kapten-kapten kapal secara aktif mengurangkan kelajuan pelayaran dan mengubah laluan kapal, manakala syarikat-syarikat pelayaran pula secara diam-diam mengurangkan promosi biasa mereka, menurut pengendali pelayaran dan pemerhati industri.

Mereka menambah bahawa sedang syarikat penerbangan dan firma kargo bergelut dengan kekurangan bahan api serta gangguan terhadap laluan, sektor pelayaran pula dilihat mampu terus beroperasi dengan lebih stabil.

Buat masa ini, para pelancong masih membanjiri terminal-terminal pelayaran di Singapura.

Menjawab pertanyaan Mediacorp sama ada krisis di Timur Tengah menjejas permintaan bagi kapal-kapal percutian, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ketibaan pelayaran antarabangsa ke Singapura meningkat 10 peratus pada Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah sektor kapal persiaran di STB, Cik Chitra Rajesh Kumar, berkata Indonesia, tanah besar China dan Malaysia merupakan tiga pasaran utama.

“Sejajar dengan itu, jumlah penumpang kapal persiaran dari pasaran-pasaran tersebut juga meningkat dalam tempoh berkenaan,” kata beliau.

Bagi pelancong seperti Cik Kristabel Quek, 40 tahun, krisis tenaga yang lebih meluas tidak menjejas daya tarikan percutian di laut.

Perunding pendidikan itu sudah menempah dua pakej percutian bagi bulan Ogos dan Oktober.

Walaupun tempahan-tempahan tersebut dibuat selepas bermulanya krisis di Timur Tengah, beliau berkata harga pakej “tidak banyak berubah” berbanding harga sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata percutian atas kapal kini lebih menarik berbanding bentuk perjalanan antarabangsa yang lain.

“Kenaikan tambang penerbangan, risiko pembatalan dan ketidaktentuan politik menjadikan perjalanan udara lebih menyusahkan dan membimbangkan.

“Bercuti dengan kapal persiaran mungkin lebih mudah apabila kami mahu membawa warga emas dan kanak-kanak bersama,” kata beliau.

Permintaan penumpang yang kekal kukuh, ditambah dengan keupayaan industri dalam mengubah jadual perjalanan dan memperlahankan pelayaran untuk menjimatkan bahan api, membolehkan para pengendali terus bertahan menerusi langkah-langkah penjimatan kos yang dibuat di sebalik tabir.

MENGURUSKAN TEKANAN KOS TANPA MENJEJASKAN TETAMU

Meskipun permintaan pelancong kekal kukuh, para pengendali kapal persiaran berkata mereka masih berdepan tekanan akibat kenaikan kos bahan api dan sudah mengenakan caj tambahan ke atas para penumpang, walaupun kenaikannya agak kecil memandangkan pakej percutian kapal persiaran lazimnya mencecah ribuan dolar.

Minyak bahan api rendah sulfur, bahan api marin jenis utama yang digunakan kapal-kapal persiaran, menyaksikan harga global melonjak daripada sekitar AS$550 (S$696.90) setiap tan pada Februari kepada paras tertinggi sekitar AS$1,060 (S$1343.12) setiap tan pada Mac, menurut platform penjejakan harga Ship & Bunker.

Sehingga 5 Mei, harga bagi satu tan bahan api marin ialah AS$975 (S$1235.42).

StarDream Cruises, yang mengendalikan tiga buah kapal, berkata kos operasinya meningkat, khususnya akibat kenaikan harga bahan api global.

Presidennya Michael Goh berkata jadual pelayaran syarikat itu di Asia, termasuk yang membuat persinggahan di Singapura, sebahagian besarnya kekal stabil. Namun, syarikat kapal persiaran itu sudah melaksanakan “pelarasan terpilih” di beberapa bahagian rangkaiannya “sebagai sebahagian daripada langkah mengoptimumkan operasi berterusan”.

“Perkara ini diuruskan dengan teliti dan tidak memberi kesan besar terhadap pengalaman keseluruhan para tetamu,” kata Encik Goh.

Syarikat itu turut melaksanakan “langkah pengoptimuman kos” seperti mengoptimumkan laluan dan jadual pelayaran, pengurusan kelajuan serta inisiatif penjimatan tenaga bagi seluruh armadanya.

Pada Mac, StarDream Cruises mengumumkan bahawa para penumpang perlu membayar caj tambahan sebanyak S$15 seorang disebabkan oleh kenaikan kos bahan api yang dikaitkan dengan perang di Timur Tengah.

Encik Goh berkata harga yang ditawarkan syarikat itu kekal “berdaya saing dan responsif terhadap pasaran”.

Beliau turut merujuk kepada promosi bersasar seperti tawaran beli-satu-percuma-satu, yang memastikan kapal persiaran syarikat itu kekal “mudah diakses dan menarik meskipun berdepan tekanan kos yang lebih meluas”.

PERUBAHAN PADA JADUAL PELAYARAN

Beberapa pengendali kapal persiaran lain turut menyesuaikan laluan mereka sebagai tindak balas terhadap situasi geopolitik dan krisis tenaga.

Oceania Cruises, yang mempunyai 14 pelayaran berjadual dari Singapura antara 2026 hingga 2028, menyatakan ia mengubah laluan kapalnya, Oceania Vista, yang belayar dari Singapura ke Southampton di Britain.

Jurucakap syarikat itu berkata, daripada melalui Terusan Suez seperti yang dirancang pada asalnya, kapal tersebut kini akan belayar melalui Cape Town di Afrika Selatan dan menyusuri pantai barat benua tersebut.

“Keselamatan tetamu serta kakitangan kami adalah kepentingan utama dan selepas mengambil kira konflik semasa di negara-negara Teluk, langkah paling wajar ketika ini adalah untuk mengubah jadual pelayaran secara rasmi,” kata jurucakap itu.

Syarikat kapal persiaran lain turut mengambil langkah serupa.

Regent Seven Seas Cruises memaklumkan pelayaran selama 20 malam dari Bangkok awal bulan ini. Pada asalnya ia dijadual berakhir di Doha, Qatar, tetapi kini ia akan ditamatkan di Mumbai, India.

Bagi StarDream Cruises, Encik Goh berkata pelayaran kapalnya kekal tertumpu di Asia Tenggara dan Asia Timur, “sekali gus membantu mengurangkan pendedahan kepada rantau yang terjejas”.

Mediacorp turut menghubungi Royal Caribbean International dan Norwegian Cruise Line, tetapi kedua-duanya enggan memberi ulasan.

PERMINTAAN BAGI PERCUTIAN KAPAL PERSIARAN KEKAL KUKUH: STB

Di sebalik cabaran tersebut, permintaan bagi percutian atas kapal persiaran kekal kukuh, kata Cik Chitra.

“Industri kapal persiaran menunjukkan daya tahan, dengan syarikat-syarikat kapal persiaran terus menerima tempahan yang stabil bagi bulan-bulan mendatang,” kata beliau.

“Ini disokong oleh minat global yang berterusan terhadap kapal-kapal persiaran, kekuatan pasaran serantau dan keterhubungan penerbangan kami yang sangat baik.”

Encik Goh berkata StarDream Cruises tidak melihat sebarang penurunan ketara dalam permintaan bagi pelayarannya di Asia, yang terus meraih manfaat daripada permintaan kukuh serantau dan terbang-belayar (fly-cruise).

“Trend permintaan kekal stabil dan menggalakkan, dengan lebih ramai pelancong turut mempertimbangkan kapal persiaran sebagai pilihan yang mudah dan berbaloi, yang menawarkan kestabilan harga berbanding pelancongan darat yang kosnya boleh berubah-ubah,” kata beliau.

Tambah Encik Goh, meskipun masih terlalu awal untuk membuat kaitan secara langsung, syarikat itu menyaksikan minat berterusan terhadap pilihan kapal persiaran yang berpangkalan di Asia, khususnya daripada para pelancong yang mengutamakan destinasi yang “dianggap sebagai stabil dan mudah diakses”.

Namun, cabaran tetap wujud.

Selain tekanan kos yang meningkat, Cik Chitra berkata gangguan penerbangan turut menjejaskan akses bagi sesetengah penumpang.

“Syarikat kapal persiaran sedang memantau perkembangan ini dengan teliti,” kata beliau.

Melangkah ke hadapan, STB akan terus bekerjasama dengan para pengendali kapal persiaran untuk meneroka peluang bagi menawarkan lebih banyak “pelayaran sepanjang tahun” di Asia.

“Ini termasuk menggalakkan pendekatan ‘Asia untuk Asia’, di mana kapal-kapal belayar di rantau ini untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat,” kata Cik Chitra.

Beliau menambah bahawa Singapura terus menyaksikan tempahan awal yang stabil, mencerminkan permintaan pelanggan yang berterusan.

Ini disokong oleh unjuran pertumbuhan global yang kukuh, dengan jumlah penumpang kapal persiaran dijangka mencecah 42.1 juta pada 2029 - peningkatan 13 peratus daripada 37.2 juta pada 2025.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan syarikat kapal persiaran untuk menawarkan pengalaman pelayaran bertaraf dunia yang memenuhi pelbagai keperluan pasaran sasaran kami,” kata beliau.

Seorang penumpang yang kerap menaiki kapal persiaran, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Zheng, memberitahu Mediacorp bahawa kapal persiaran masih dianggap sebagai “pilihan percutian yang agak mesra dari segi perbelanjaan”, terutamanya jika tempahan dibuat lebih awal.

Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu berkata beliau menempah percutian kapal persiaran pada penghujung Mac yang akan belayar pada 2028 dan tidak menyedari tentang sebarang caj tambahan.

“Harganya masih dalam jangkaan saya,” kata beliau.

“Kapal persiaran secara amnya popular di Singapura dalam kalangan pesara dan keluarga yang mempunyai anak kerana ia agak selesa berbanding percutian tradisional ke luar negara,” kata beliau.

MENGAPA SEKTOR KAPAL PERSIARAN LEBIH BERDAYA TAHAN TERHADAP KETIDAKSTABILAN HARGA BAHAN API

Para pemerhati industri berkata sektor kapal persiaran lebih berdaya tahan berbanding penerbangan dan perkapalan komersial kerana ia mempunyai lebih banyak kelonggaran untuk menyesuaikan jadual pelayaran dan kelajuan pelayarannya.

Pengarah urusan firma perunding pelancongan MasterConsult Services, Encik Christopher Khoo, berkata industri kapal persiaran “kurang terdedah” kepada kos bahan api berbanding syarikat-syarikat penerbangan.

Bahan api lazimnya menyumbang sekitar 10 hingga 20 peratus daripada kos operasi syarikat kapal persiaran, berbanding 25 hingga 35 peratus bagi syarikat penerbangan.

“(Syarikat kapal persiaran) mampu melaksanakan strategi seperti pelayaran perlahan (slow steaming), iaitu mengurangkan kelajuan pelayaran bagi mengurangkan penggunaan bahan api,” tambah beliau.

Beliau berkata meskipun para pengendali kapal persiaran menaikkan tambang, mereka berbuat demikian “secara terpilih dan selalunya secara diam-diam”.

“Harga pakej kapal persiaran sangat dinamik; tambang asas mungkin meningkat sedikit tetapi selalunya kenaikan berlaku menerusi caj tambahan bahan api, harga lawatan yang lebih tinggi atau pengurangan promosi,” kata beliau.

Pengarah Centre for Responsible Tourism Singapore, Encik Kevin Phun, berkata gangguan di Timur Tengah mungkin merangsang pasaran kapal persiaran di Asia.

“Laluan dan pakej-pakej kapal persiaran baharu mungkin muncul dengan tumpuan kepada Asia dan ini mungkin menandakan pertumbuhan perniagaan, termasuk bagi para pengendali pelayaran mewah,” kata beliau.

Satu tinjauan yang dilaporkan oleh laman industri Seatrade Cruise News mendapati 39 peratus agensi pelancongan menyebut Asia Utara dan Asia Tenggara sebagai rantau alternatif bagi pelayaran di tengah-tengah konflik tersebut.

Mungkinkah krisis tersebut dapat mempercepat perubahan ke arah amalan yang lebih mesra alam dalam industri itu?

Encik Phun berkata para pengendali mungkin melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan tenaga.

“Krisis ini mungkin membuka peluang untuk mengubah cara tertentu yang selama ini diamalkan dan konflik ini boleh menjadi sebab yang sangat baik bagi para pengendali kapal persiaran untuk beralih kepada operasi yang lebih mesra alam."

Namun, inisiatif tersebut berkemungkinan hanya akan dilaksanakan sekiranya ia dapat menjimatkan kos syarikat kapal persiaran pada jangka pendek.

“Malangnya, para pengendali mungkin merasakan kemampanan adalah sesuatu yang boleh ‘dikorbankan’ bagi tempoh ini,” kata Encik Phun.

“Saya tidak fikir banyak syarikat kapal persiaran akan bergegas untuk melabur dalam usaha penjimatan tenaga sekarang kerana perkara seperti ini memerlukan masa.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita