Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bagaimana gaji pemegang jawatan politik di Singapura ditentukan?

Semakan gaji pemegang jawatan politik akan menjadi antara tumpuan apabila Parlimen bersidang pada Selasa (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bagaimana gaji pemegang jawatan politik di Singapura ditentukan?

Gambar fail: CNA/Syamil Sapari

Diterbitkan : 07 Sep 2026 04:57PM
  • Parlimen Singapura akan membincangkan semakan gaji pemegang jawatan politik, dengan maklum balas daripada Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Chan Chun Sing.
  • Gaji pemegang jawatan politik ditetapkan melalui formula yang menggabungkan komponen tetap dan berubah-ubah, serta ditanda aras dengan pendapatan warga Singapura berpendapatan tertinggi.
  • Tiada perubahan gaji dibuat sejak 2011 walaupun semakan dijadualkan setiap lima tahun, kerana faktor ekonomi dan ketidaktentuan global.
  • Jawatankuasa bebas telah menyelesaikan semakan terkini, namun pemerintah menangguhkan keputusan dan akan mengumumkan respons pada masa sesuai.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Semakan gaji pemegang jawatan politik akan menjadi antara tumpuan apabila Parlimen bersidang pada Selasa (8 Sep).

Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing akan menyampaikan maklum balas pemerintah mengenai semakan tersebut.

Gaji pemegang jawatan politik disemak oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dilantik setiap lima tahun.

Namun, tiada perubahan dibuat pada gaji menteri dan Anggota Parlimen sejak 2011.

Rangka kerja itu merangkumi gaji Presiden, Perdana Menteri, Speaker Parlimen, Timbalan Speaker Parlimen, Anggota Parlimen (AP), Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Anggota Parlimen Dilantik (NMP) serta pemegang jawatan politik.

jelasBERITA menerangkan bagaimana gaji tersebut dikira dan ditanda aras dengan sektor swasta.

BAGAIMANAKAH GAJI PEMEGANG JAWATAN POLITIK DIKIRA?

Formula gaji pemegang jawatan politik terdiri daripada komponen tetap dan berubah-ubah.

Komponen itu merangkumi gaji tetap 13 bulan dan komponen berubah-ubah tahunan yang biasanya ditetapkan pada satu bulan.

Ia juga merangkumi bonus prestasi individu bersamaan tiga bulan bagi prestasi yang baik serta bonus nasional sebanyak tiga bulan jika sasaran yang ditetapkan dicapai.

Jika kesemua komponen tersebut diberikan sepenuhnya, seseorang pemegang jawatan politik boleh menerima gaji tahunan bersamaan 20 bulan.

BAGAIMANAKAH GAJI MENTERI DITANDA ARAS?

Gaji menteri peringkat permulaan ditanda aras berdasarkan pendapatan median 1,000 warga Singapura berpendapatan tertinggi.

Potongan sebanyak 40 peratus kemudian dikenakan bagi mencerminkan semangat pengorbanan dalam perkhidmatan politik.

Menteri peringkat permulaan dilantik pada gred MR4 dan boleh dilantik ke gred lebih tinggi, iaitu MR3, MR2 dan MR1.

Seorang menteri boleh bermula pada bahagian bawah julat MR4 dengan gaji bulanan S$46,750.

Ini bersamaan gaji tahunan S$935,000, dengan S$607,750 merupakan komponen tetap dan bakinya berubah-ubah.

Pada paras penanda aras pula, gaji bulanan ialah S$55,000 atau S$1.1 juta setahun.

Daripada jumlah itu, S$715,000 merupakan komponen tetap manakala bakinya berubah-ubah.

Bonus nasional pula berdasarkan empat petunjuk sosioekonomi yang diberi wajaran sama.

Ia merangkumi pertumbuhan pendapatan median sebenar warga Singapura secara purata, pertumbuhan pendapatan sebenar bagi 20 peratus warga Singapura berpendapatan paling rendah, kadar pengangguran warga Singapura serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar.

BERAPAKAH GAJI PERDANA MENTERI DAN PRESIDEN?

Gaji Perdana Menteri ditetapkan pada dua kali gaji seorang menteri MR4, iaitu S$2.2 juta setahun.

Oleh sebab tiada pihak yang menentukan bonus prestasi Perdana Menteri, bonus beliau hanya berdasarkan bonus nasional.

Presiden pula menerima gaji bulanan yang sama seperti Perdana Menteri, termasuk komponen tetap bulan ke-13 serta komponen berubah-ubah tahunan.

Namun, Presiden tidak menerima bonus prestasi dan bonus nasional.

Gaji Presiden berjumlah S$1.54 juta setahun.

Ini mengambil kira bahawa meskipun Presiden merupakan ketua negara dan mempunyai kuasa penjagaan yang penting, beliau tidak menetapkan dasar negara atau mempunyai tanggungjawab eksekutif secara langsung dalam pentadbiran negara, kecuali berkaitan peranan penjagaan tersebut.

Pemegang jawatan politik pula hanya menerima satu pakej gaji tanpa mengira jumlah jawatan yang disandang.

Antara prinsip yang menjadi panduan rangka kerja itu ialah gaji perlu berdaya saing supaya individu berkaliber tidak terhalang daripada tampil memimpin negara.

Ia juga berlandaskan prinsip "gaji bersih", tanpa faedah tersembunyi.

BAGAIMANAKAH FORMULA GAJI BERUBAH SEPANJANG TAHUN?

Sebelum 1994, tiada penanda aras rasmi bagi gaji menteri dan perbandingan dengan sektor swasta dibuat secara tidak rasmi.

Pada 1994, penanda aras mengambil kira purata pendapatan empat individu berpendapatan tertinggi dalam enam profesion atau sektor.

Ia melibatkan sektor perbankan, perakaunan, kejuruteraan, undang-undang, pengilangan tempatan dan syarikat berbilang negara (MNC).

Sasarannya ditetapkan pada dua pertiga daripada jumlah tersebut.

Formula itu disemak pada 2000 dengan kumpulan rujukan diperluaskan kepada lapan individu berpendapatan tertinggi daripada enam profesion tersebut.

Gaji menteri turut dipotong semasa kemelesetan ekonomi dan kemudian dipulihkan apabila keadaan ekonomi bertambah baik.

Semasa kemelesetan akibat krisis kewangan global pada 2009, gaji menteri dikurangkan 22 peratus mengikut formula yang ditetapkan.

Selepas Pilihan Raya Umum Mei 2011, Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong melantik sebuah jawatankuasa untuk menyemak gaji Presiden, Perdana Menteri, pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen.

Jawatankuasa itu menyerahkan laporannya pada 30 Disember 2011 dan pemerintah menerima semua sarannya.

Rangka kerja baharu itu berkuat kuasa secara retrospektif mulai 21 Mei 2011.

Kertas Putih bertajuk "Salaries for a Capable and Committed Government" kemudian diluluskan Parlimen pada Januari 2012 selepas perbahasan selama dua setengah hari.

Rangka kerja baharu memperluaskan kumpulan penanda aras kepada 1,000 individu dan mengehadkannya kepada warga Singapura yang bekerja di negara ini.

Dengan penanda aras baharu itu serta pemansuhan pencen, gaji tahunan seorang menteri turun 37 peratus kepada S$1.1 juta.

Gaji tahunan Perdana Menteri pula turun 36 peratus.

MENGAPA TIADA PERUBAHAN GAJI SEJAK 2011?

Salah satu saranan laporan 2011 adalah supaya Perdana Menteri melantik sebuah jawatankuasa setiap lima tahun untuk menyemak rangka kerja gaji.

Pada 2017, jawatankuasa semakan menyarankan supaya paras gaji diselaraskan dengan penanda aras yang dikemas kini.

Namun, pemerintah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan kerana ekonomi masih dalam tempoh peralihan.

Semakan yang dijadualkan pada 2023 pula ditangguhkan disebabkan keadaan luar yang tidak menentu serta risiko kemerosotan ekonomi global.

Pada Januari tahun ini, Encik Chan berkata sebuah jawatankuasa bebas sudah dibentuk untuk menjalankan semakan yang ditangguhkan itu.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan Pengerusi Singapore LNG Corporation Gan Seow Kee, yang juga anggota gantian Majlis Penasihat Presiden.

Pada Mei, Encik Chan berkata jawatankuasa itu sudah menyelesaikan semakannya.

Namun, pemerintah memutuskan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap saranan tersebut berikutan ketidaktentuan akibat perang di Timur Tengah.

Pemerintah berkata laporan jawatankuasa itu akan dikeluarkan bersama responsnya pada masa yang sesuai.

Respons tersebut akan disampaikan di Parlimen pada Selasa (8 Sep).
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita