jelasBERITA: Bagaimana fahaman berhaluan kanan, ketuanan kulit putih boleh mempengaruhi remaja SG menjadi radikal
Gambar hiasan: Unsplash
Pada Rabu (24 Jan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya ideologi sedemikian dan bagaimana ia boleh bertapak di sini. Remaja itu adalah warga Singapura kedua yang menjadi radikal selepas terpengaruh dengan ideologi berhaluan kanan yang ditangani di bawah undang-undang.
Ini meskipun ideologi pelampau berhaluan kanan sedemikian belum "bertapak dengan ketara" di Singapura, menurut ISD.
"Ideologi berhaluan kanan, yang biasanya menyokong ketuanan kulit putih, anti-Islam, xenofobik dan kepercayaan antipendatang, boleh diubah suai dalam landskap Singapura."
Ditakrifkan sebagai kepercayaan bahawa orang yang berkulit cerah kebanyakannya berketurunan dari Eropah adalah bangsa yang lebih unggul daripada kaum-kaum lain, ideologi itu secara palsu mendakwa bahawa kumpulan kaum ini oleh itu harus menguasai masyarakat, biasanya dengan mengenepikan atau mengecualikan kumpulan kaum dan etnik lain.
Menjadi radikal dengan ideologi tersebut, remaja rakyat Singapura itu menanam hasrat untuk melancarkan serangan ke atas kumpulan-kumpulan minoriti di luar negara. Dia dikenakan Arahan Sekatan pada November 2023.
Kes tersebut diumumkan selepas pihak berkuasa mendedahkan pada 2021, seorang rakyat Singapura, yang merupakan pelajar sekolah menengah ketika itu, menjadi radikal setelah terpengaruh dengan ideologi-ideologi pelampau berhaluan kanan. Pelajar terbabit, seorang Protestan berbangsa India dan beragama Kristian, sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganas menggunakan parang di dua masjid di Singapura.
Dia sudahpun dibebaskan daripada tahanan dan dikenakan arahan penggantungan di bawah ISA.
Mediacorp menemui para penganalisis untuk meninjau apakah sebenarnya ideologi berhaluan kanan seperti ketuanan kulit putih, mengapa ia menarik minat golongan muda di sini walaupun mereka bukan berkulit putih.
BAGAIMANA WUJUD KETUANAN KULIT PUTIH
Politik berhaluan kanan adalah cabang politik yang cenderung kepada konservatif secara radikal, ultra nasionalis dan autoritarian.
Sebahagian daripada ideologi berhaluan kanan, ketuanan kulit putih mempunyai akar sejarah dalam pemerdagangan hamba Atlantik dan dasar pengasingan kaum di Amerika dari tahun 1500-an hingga 1900-an, jelas Encyclopaedia Britannica.
Ketuanan kulit putih juga merangkumi gerakan kontemporari yang merangkumi nasionalisme kulit putih, neo-Nazisme, dan gerakan Identiti Kristian. "Musuh" ketuanan kulit putih termasuk orang Afrika-Amerika, orang asli, orang Asia, Muslim, orang Yahudi dan orang yang dikenal pasti sebagai LGBTQ.
Ideologi sedemikian telah menyebabkan tindakan ekstremis dilakukan di seluruh dunia.
Ini termasuk serangan di Norway pada 2011 oleh pelampau berhaluan kanan, Anders Behring Breivik yang menyebabkan 77 kematian, dan serangan ke atas masjid Christchurch pada 2019 oleh penyokong ketuanan kulit putih Brenton Tarrant yang membunuh 51 orang di New Zealand.
Baru-baru ini, ketuanan kulit putih mula mendapat sokongan yang kian meningkat dalam kalangan orang muda, jelas seorang pakar silang agama dan budaya.
Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, pengarah pengasas Dialogue Centre, sebuah pertubuhan bukan untuk meraih untung yang menganjurkan dialog awam meliputi perbezaan, mengatakan bahawa sesetengah remaja yang menjadi radikal "mungkin mengagung-agungkan 'keberanian' ketuanan kulit putih (kerana) memperjuangkan 'aturan antarabangsa' yang diterajui oleh 'golongan elit yang merosakkan akhlak' dan 'nilai liberal, kosmopolitan' mereka."
MENGAPA INDIVIDU BUKAN BERKULIT PUTIH TERTARIK DENGANNYA?
Salah satu sebabnya ialah pelbagai ideologi yang terkait dalam ketuanan kulit putih seperti anti-Semitisme, anti-Islam dan anti-LGBT yang memudahkan golongan muda yang mempunyai latar belakang berbeza terpengaruh dengan ideologi sedemikian, kata seorang lagi pakar.
Encik Kalicharan Veera Singam, penganalisis kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) yang bidang penyelidikannya adalah berhubung ideologi berhaluan kanan, menarik perhatian bahawa ini adalah antara ideologi-ideologi ketuanan kulit putih "yang mungkin juga mendapat perhatian orang yang tidak berkulit putih".
Memandangkan kedua-dua kes pelampau berhaluan kanan di Singapura tidak melibatkan mereka yang berkulit putih, beliau menjelaskan bahawa ideologi sedemikian jelas bersifat menyeluruh dan generik, sekali gus membolehkan golongan muda untuk mempercayainya tanpa mempedulikan beberapa percanggahan yang wujud dalam ideologi tersebut.
Para pakar turut mengatakan bahawa golongan muda, terutama remaja, adalah yang paling mudah terdedah kepada fahaman radikal seperti itu berbanding kumpulan-kumpulan usia yang lain di sini, sekalipun ideologi tersebut tidak sesuai dengan identiti mereka.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
Dr Shashi Jayakumar, yang merupakan pengarah eksekutif di firma perunding politik dan risiko SJK Geostrategic Advisory, berkata bahawa strategi pemulihan melalui kaunselor agama perlu berkembang memandangkan wadah untuk menjadikan seseorang radikal semakin bertambah rumit.
Beliau berkata bahawa Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) telah berjaya memulihkan mereka yang terpengaruh dengan ideologi pelampau sejak beberapa tahun ini, tetapi mesti ada beberapa saluran lain untuk membantu golongan muda yang menjadi radikal di luar konteks agama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.