jelasBERITA: Bagaimana cara mohon VEP sebelum masuk Malaysia?
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke mengumumkan demikian pada Selasa (28 Mei). Beliau turut menjelaskan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia dari tarikh itu, boleh didenda sehingga RM2,000 (S$574) atau dipenjara sehingga enam bulan.
Ini antara perkara yang perlu anda tahu mengenai VEP dan langkah-langkah yang diambil untuk mendapatkannya.
SIAPA YANG PERLU MOHON BAGI VEP?
Para pemilik semua kategori kenderaan asing - termasuk kenderaan privet dan komersil - dikehendaki untuk mendaftar bagi VEP sebelum memasuki Malaysia. Ini termasuk motosikal berdaftar di Singapura.
Kenderaan kedutaan atau pemerintah juga perlu mendaftar.
APAKAH LANGKAH-LANGKAH UNTUK MOHON BAGI VEP?
Pemilik kenderaan tersebut, atau wakil yang dilantik pemilik kenderaan itu, mesti mendaftar online menerusi laman rasmi Jabatan Trafik Jalan Raya.
Setelah menyertakan butiran anda, termasuk identiti log masuk dan kata laluan, anda akan menerima pengesahan melalui emel dan diarahkan ke portal VEP di https://vepams.jpj.gov.my untuk melengkapkan proses pendaftaran.
Pastikan anda sudah memuat turun dan mendaftar akaun eDompet Touch N’ Go anda sebelum ke portal VEP itu. eDompet tersebut boleh dimuat turun daripada stor aplikasi telefon bimbit anda.
Selepas mendaftar masuk ke portal itu, anda akan dikehendaki untuk menghantar beberapa dokumen termasuk insurans motor anda, salinan kad pengenalan (NRIC) serta Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
Sejurus permohonan tersebut diluluskan, anda akan menerima pemberitahuan emel untuk memilih kaedah mendapatkan tag VEP RFID – sama ada melalui pos ke alamat anda, atau ambil sendiri di pusat pengambilan VEP di Johor Bahru.
Setelah membuat pilihan, anda perlu membuat pembayaran online. Ini boleh dilakukan dengan kad kredit. Tag berharga RM10 (S$2.87) tidak termasuk caj penghantaran dan perkhidmatan.
Sebaik sahaja anda menerima tag RFID anda, anda perlu melakukan "pengakuan tag" dengan log masuk ke portal VEP dan menekan butang pengakuan pada nombor kenderaan anda.
Anda juga harus menyertakan nombor siri RFID bagi pengesahan.
BAGAIMANA PASANG TAG RFID ITU PADA KENDERAAN SAYA?
Tag RFID itu boleh dilekatkan sama ada di sudut kiri atas cermin depan atau lampu depan kiri. Ia mesti dipasang sekurang-kurangnya 5 sentimeter dari mana-mana bahagian logam badan kereta tersebut.
Tampal tag pada permukaan yang bersih dan kering. Perlahan-lahan kupas tag RFID dari tepinya dan tampalkannya secara mendatar pada lampu depan kiri yang terletak di bahagian penumpang kenderaan. Tag tidak boleh dipasang pada bahagian melengkung lampu depan.
Bagi mereka yang memasangnya pada cermin depan, pastikan ia tidak dihalang oleh bilah pengelap.
Anda akan dimaklumkan apabila tag anda diaktifkan.
APAKAH FUNGSI TAG RFID?
Anda boleh membayar caj jalan dan bayaran tol dengan tag RFID dengan menggunakan lorong RFID yang ditetapkan di plaza tol lebuh raya di seluruh negara itu.
Ia boleh digunakan selama lima tahun bermula dari hari tag diaktifkan.
BOLEHKAH VEP DIPINDAHKAN, SEKIRANYA SAYA BELI KENDERAAN BAHARU?
Tidak, tag RFID VEP itu unik kepada setiap kenderaan dan tidak boleh dipindahkan. Anda perlu mendaftar bagi tag RFID baharu sekiranya anda mempunyai sebuah kenderaan baharu.
APA YANG BERLAKU JIKA TAG ITU ROSAK?
Jika tag VEP dicuri, hilang atau rosak dalam kemalangan, anda dikehendaki mengemas kini status kenderaan anda di portal online dan mengemukakan salinan laporan polis kejadian itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan Raya apabila anda mengambil tag VEP RFID baharu. Yuran pentadbiran akan dikenakan.
Jika tag VEP anda rosak, anda akan diberikan yang baharu untuk digantikan secara percuma. Ini bagaimanapun tidak diberikan bagi tag yang telah dihapuskan atau diusik - dalam kes sedemikian, pemandu akan dikenakan bayaran untuk tag baharu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.