jelasBERITA: Bagaimana BCRS ubah tabiat pengguna SG?
Setiap beberapa minggu, Cik Tan Mui Sng, 79 tahun, membawa troli dan beg berisi bekas minuman kosong ke mesin automatik untuk memulangkan bekas minuman di kolong bloknya di Serangoon.
Cik Tan Mui Sng, 79 tahun, seorang pesara, memasukkan tin ke dalam mesin pemulangan bekas automatik di kolong blok tempat tinggalnya di Serangoon pada 17 September 2026. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
- Singapore's Beverage Container Return Scheme, launched on Apr 1, imposes a 10-cent deposit on eligible containers and allows consumers to redeem it through Return Right machines.
- Ms Tan Mui Sng and Roy have become more motivated to recycle, while BCRS Ltd reported collections rising from 5.5 million on Aug 5 to over 33 million by mid-September.
- However, some consumers such as Jude Theng found the process inconvenient, and Mediacorp's observations found that some people were still throwing containers directly into rubbish bins.
- Experts Dr Adrian Kuah and Eugene Or said the scheme has already delivered environmental benefits, but its real success depends on return rates, material quality and the formation of consistent habits.
- Skim Pulangkan Bekas Minuman Singapura, dilancarkan pada 1 April, mengenakan deposit 10 sen bagi bekas layak dan membolehkan pengguna menebusnya melalui mesin Return Right.
- Cik Tan Mui Sng dan Roy semakin terdorong mengitar semula, manakala BCRS Ltd melaporkan kutipan meningkat daripada 5.5 juta pada 5 Ogos kepada lebih 33 juta menjelang pertengahan September.
- Namun, sebahagian pengguna seperti Jude Theng menganggap proses itu menyusahkan, dan pemerhatian Mediacorp mendapati ada yang masih membuang bekas terus ke tong sampah.
- Pakar Dr Adrian Kuah dan Eugene Or berkata skim ini sudah memberi hasil alam sekitar, tetapi kejayaan sebenar bergantung pada kadar pemulangan, mutu bahan dan pembentukan tabiat konsisten.
Pesara itu memulangkan berpuluh-puluh bekas minuman setiap kali dan memperoleh beberapa dolar daripada wang deposit - hasil daripada waktu berjam-jam yang digunakan untuk mengumpul tin dan botol minuman yang dibuang di sekitar kawasan kejiranannya.
Meskipun sudah biasa mengumpul bekas minuman sebelum Skim Pulangkan Bekas Minuman (BCRS) dilancarkan di seluruh negara pada 1 April, pulangan lebih tinggi menerusi mesin automatik itu mendorong Cik Tan untuk mengumpul lebih banyak bekas minuman.
Skim itu, yang masih dalam tempoh peralihan sehingga Khamis (1 Okt), mungkin tidak mengubah minatnya mengitar semula tin dan botol terbuang, tetapi kini membolehkan beliau meraih lebih banyak hasil daripada usaha mingguannya.
"Yang ini, dapat lebih banyak wang," kata beliau dalam bahasa Mandarin, sambil menambah bahawa sebelum ini beliau hanya memperoleh S$0.50 bagi setiap satu kilogram bekas minuman yang dijual kepada pengutip barangan terpakai.
Di bawah skim tersebut, para pengguna perlu membayar deposit 10 sen yang boleh dikembalikan bagi bekas minuman yang layak, merangkumi bekas plastik atau logam bagi minuman berbungkus dengan isi padu antara 150 mililiter dengan 3,000 mililiter.
Deposit tersebut boleh dituntut semula dengan memulangkan bekas minuman yang mempunyai tanda khas di salah satu daripada sekitar 1,300 mesin automatik Return Right di seluruh Singapura.
Pada 21 September, BCRS Ltd, pengendali skim tersebut, melaporkan bahawa lebih 33 juta botol dan tin sudah dikumpulkan setakat pertengahan September, meningkat daripada 5.5 juta pada 5 Ogos.
Pengendali tersebut belum menyatakan pecahan bekas minuman layak yang sudah dijual, yang dipulangkan.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), lebih satu bilion bekas minuman digunakan di Singapura setiap tahun.
Profesor Strategi dan Kemampanan di Universiti James Cook, Dr Adrian Kuah, berkata meskipun 33 juta bekas yang dipulangkan mungkin "kelihatan sedikit" berbanding lebih satu bilion yang digunakan setiap tahun, kedua-dua angka itu tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana skim tersebut masih berada dalam tempoh peralihan.
"Yang lebih penting ialah peningkatan pesat - daripada 5.5 juta bekas yang dipulangkan pada awal Ogos kepada lebih 33 juta menjelang pertengahan September - menunjukkan penyertaan yang semakin meningkat."
Menurut beliau, kadar bekas minuman layak yang dijual dan dipulangkan akhirnya akan menjadi ukuran yang lebih bermakna untuk menilai keberkesanan skim tersebut.
Meskipun ia masih terlalu awal untuk menentukan bagaimana kadar kitar semula secara keseluruhan berubah kerana skim tersebut masih di peringkat awal, terdapat tanda-tanda bahawa deposit sebanyak 10 sen sudah mula mempengaruhi tingkah laku sesetengah pengguna.
Beberapa pengguna memberitahu Mediacorp bahawa skim itu mengukuhkan tabiat mereka untuk mengitar semula, manakala para pengumpul seperti Cik Tan giat mencari bekas minuman yang dibuang orang lain. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa proses tersebut terlalu menyusahkan.
NILAI BAHARU BAGI BEKAS MINUMAN TERPAKAI
Cik Tan menunjukkan proses memasukkan 32 bekas minuman ke dalam mesin. Namun, hanya 14 diterima kerana selebihnya sama ada tidak mempunyai tanda khas atau kemek meskipun mempunyai tanda deposit.
Pengguna lain memberitahu Mediacorp bahawa mereka kini mempunyai tabiat tetap memulangkan tin dan botol minuman yang sudah digunakan. Mendapatkan semula wang deposit menjadi sebab utama mereka berbuat demikian.
Seorang lagi individu yang mula mengamalkan kitar semula, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Roy, berkata mesin tersebut mendorongnya untuk mengitar semula dengan lebih kerap.
Lelaki berusia 71 tahun itu berkata sebelum ini beliau "jarang" mengitar semula tin atau botol selepas menghabiskan minuman, sebaliknya meninggalkannya di stesen pulangkan dulang atau sesekali memasukkannya ke dalam tong kitar semula biru jika beliau terjumpa tong berkenaan.
BUKAN SEMUA PIHAK SAMBUT BAIK BCRS
Namun, bukan semua menyambut baik skim tersebut, dengan sesetengah pengguna berpendapat bahawa usaha memulangkan tin dan botol mungkin tidak berbaloi hanya untuk mendapatkan semula deposit sebanyak 10 sen.
Pada satu petang Isnin, Mediacorp meluangkan masa 20 minit memerhatikan tiga mesin automatik berbeza di kawasan timur laut yang terletak berhampiran dengan tong sampah.
Kira-kira dua daripada lima orang yang dilihat membuang bekas minuman mereka memilih untuk membuangnya terus ke dalam tong sampah dan bukannya menggunakan mesin tersebut.
Jude Theng, 30 tahun, merupakan antara pengguna yang masih belum yakin dengan skim tersebut meskipun terdapat mesin pemulangan bekas automatik berhampiran rumahnya.
Dengan tempoh peralihan skim tersebut yang bakal berakhir, Encik Theng berkata beliau perlu memilih antara bersusah payah memulangkan bekas minuman atau kehilangan wang deposit yang sudah dibayar.
"Ia seperti cukai yang boleh dikembalikan tetapi anda perlu berusaha untuk mendapatkannya semula. Bagi saya, ia bukan satu insentif. Saya rasa seperti dipaksa untuk mengitar semula dan ini menjadikan proses tersebut lebih menyusahkan."
SKIM SUDAH BERI KESAN: PAKAR
Pensyarah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Eugene Or, merujuk kepada 553 tan bahan yang berjaya dikumpulkan menerusi skim tersebut, sambil menyifatkannya sebagai "hasil sebenar bagi alam sekitar".
"Namun, seorang pakar ekonomi juga akan bertanya tentang keadaan sebaliknya: Apakah yang akan berlaku kepada bekas-bekas minuman ini tanpa BCRS?" kata Dr Or, yang mengkhusus dalam bidang ekonomi alam sekitar.
"Jika bekas-bekas itu sebelum ini dibuang sebagai sampah biasa, manfaat tambahan kepada alam sekitar adalah besar. Jika ia sememangnya akan dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna biru Singapura, masih terdapat manfaat penting kerana BCRS menghasilkan aliran bahan kitar semula yang lebih bersih."
Skim pulangkan deposit di luar negara terbukti berkesan dalam mengubah tingkah laku para pengguna, kata Dr Kuah.
Jerman mencatat kadar bekas minuman yang dijual dan dipulangkan sekurang-kurangnya 96 peratus setakat Jun tahun ini, menurut Deutsche Pfandsystem, pertubuhan di sebalik rangka kerja sistem deposit negara tersebut. Di Norway, 92.4 peratus botol plastik dan 93.1 peratus tin dipulangkan menerusi mesin pulangkan bekas automatik pada 2025, menurut laporan tahunan pengendali Infinitum.
Namun, negara-negara tersebut mempunyai masa berdekad-dekad untuk membangunkan prasarananya, tabiat dan norma sosial berkaitan usaha pulangkan bekas minuman, sedangkan Singapura baru mula membangunkan ekosistem sedemikian.
Dr Or berkata individu seperti Cik Tan menunjukkan bagaimana penetapan nilai kewangan kepada bekas minuman kosong boleh mengubah apa yang berlaku kepadanya.
Dr Or dan Dr Kuah berkata bekas minuman yang akhirnya dikitar semula masih boleh memberi hasil positif dari segi bahan yang dikumpulkan, namun mengingatkan bahawa pemulihan bahan tidak semestinya mencerminkan perubahan tingkah laku yang lebih meluas.
Dr Or turut merujuk kepada jurang antara kadar penyertaan dalam kitar semula yang dilaporkan dengan hasil sebenar kitar semula.
Tinjauan NEA pada 2025 berhubung tabiat kitar semula isi rumah mendapati 78 peratus isi rumah melaporkan bahawa mereka mengitar semula, meskipun kadar kitar semula domestik Singapura hanya mencapai 11 peratus.
Meskipun angka tersebut tidak boleh dibandingkan secara langsung, Dr Or berkata ia, secara bersama kadar pencemaran kira-kira 40 peratus dalam tong dan pelongsor kitar semula isi rumah, menunjukkan bahawa penyertaan meluas tidak semestinya menghasilkan kadar kitar semula yang tinggi.
"Bagi Singapura, BCRS bukan sahaja boleh menyumbang dengan menggalakkan kitar semula, malah ia boleh meningkatkan mutu bahan yang dikumpulkan."
APA LAGI YANG BOLEH DILAKUKAN
Bagi mereka yang masih tidak terdorong untuk menggunakan skim tersebut, para pakar berkata cabarannya mungkin bukanlah untuk meyakinkan mereka supaya mengitar semula, tetapi menjadikan usaha memulangkan bekas minuman berbaloi.
"Para pengguna yang paling sukar didekati tidak semestinya mereka yang tidak mengambil berat tentang alam sekitar. Mereka mungkin kesuntukan masa, mengutamakan kemudahan atau sekadar belum membentuk tabiat untuk mengitar semula," kata Dr Kuah.
Ini termasuk mereka yang mengambil minuman ketika berada dalam perjalanan atau mereka yang menganggap bahawa bayaran balik sebanyak 10 sen terlalu kecil berbanding kesulitan yang perlu dihadapi.
Dr Or berkata cabaran lebih besar adalah untuk mengubah kesediaan mengitar semula kepada amalan yang betul dan konsisten sehingga menghasilkan bahan yang boleh dikitar semula.
"Saya melihat perubahan berkekalan sebagai satu proses daripada insentif, kepada tabiat, kemudian menjadi norma. Deposit 10 sen pada mulanya mengubah pertimbangan kos dan manfaat; penyertaan berulang kemudian boleh menjadikan usaha pulangkan bekas sebagai satu tabiat; dan akhirnya ia menjadi sesuatu yang dilakukan orang ramai secara hampir automatik," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.