jelasBERITA: Apakah punca berlakunya tanah jerlus di Tanjong Katong?
Penutupan jalan raya dan perintah berhenti kerja di sebuah tapak binaan PUB dilaksanakan menyusuli kejadian tanah jerlus di Tanjong Katong Road South pada lewat petang Sabtu (26 Jul).
Tanah jerlus di Tanjong Katong Road South pada 27 Julai 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Sebuah kereta terjunam ke dalam tanah jerlus itu dan pemandu wanita tersebut diselamatkan oleh beberapa pekerja hijrahan dan dibawa ke Hospital Raffles dalam keadaan sedar.
Tanah jerlus itu juga mencetuskan gangguan sementara terhadap bekalan air para penduduk berhampiran pada Sabtu.
Insiden itu sekali gus mencetuskan keprihatinan terhadap keselamatan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran.
Dalam responsnya, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyatakan pada Isnin (28 Jul) bahawa pasukan juruteranya menjalankan pemantauan sepanjang masa untuk memastikan bangunan, jalan raya dan prasarana berhampiran kekal selamat dari segi struktur.
BCA juga menyatakan ia akan menjalankan siasatan bebas, memandangkan keadaan tanah di kawasan itu sudah stabil.
Namun siasatan itu boleh mengambil masa beberapa bulan, disebabkan oleh kerumitan kejadian itu.
PERKEMBANGAN TERKINI DARI PIHAK BERKUASA
Kawasan di mana berlakunya tanah jerlus itu terletak bertentangan dengan sebuah tapak pembinaan PUB melibatkan pembinaan pembetung sedalam 16 meter bagi menghubungkan tiga saluran pembetung sedia ada.
Pada kira-kira masa yang sama, tanah jerlus berlaku pada jalan raya bertentangan.
PUB menyatakan masih tidak jelas apa yang menyumbang kepada kegagalan komponen itu, yang dikenali sebagai 'caisson' iaitu struktur penahan kedap air yang membolehkan air dipam keluar bagi memastikan kawasan kerja kering.
Sebagai langkah berjaga-jaga, PUB menyatakan ia mengarahkan tempoh berhenti kerja bagi memeriksa dan memastikan keselamatan kerja-kerja pembinaan pembetung serupa di merata Singapura.
APAKAH ITU PEMBETUNG DAN 'CAISSON'?
Pembetung sedemikian biasanya adalah sementara dan diperlukan bagi pembinaan lurang kumbahan, yang membentuk bahagian penting dalam sistem pembetungan terowong dalam negara yang sepanjang 206 kilometer.
Ia juga berfungsi sebagai pusat akses untuk penyenggaraan saluran pembetungan bawah tanah.
'Caisson' - dalam kes ini dirujuk sebagai gelung kerana ia berbentuk bulat - adalah tembok konkrit yang dibina secara berperingkat selepas pembetung itu dikorek untuk memastikan air dan tanah tidak masuk ke dalam, kata Encik David Ng, pengerusi jawatankuasa teknikal kejuruteraan sivil dan struktur di Institut Jurutera Singapura (IES).
Kajian intensif tanah sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan perlu dilaksanakan bagi menentukan reka bentuk gelung 'caisson' itu dan sama ada langkah-langkah perlindungan tanah perlu dilaksanakan.
APA YANG MUNGKIN MENYEBABKAN TANAH JERLUS?
Antara sebab-sebab gelung 'caisson' itu gagal berfungsi mungkin disebabkan mutu kerja yang rendah, seperti bagaimana struktur itu tidak dibina mengikut reka bentuk asal dan ketidakseimbangan dalam "keadaan pemuatan" (loading).
"Bayangkan bentuk gelung itu adalah bulat. Jika anda meletakkan tekanan yang sama pada sekeliling gelung itu, ia akan menjadi stabil... tetapi jika anda mengurangkan tekanan pada satu sisi, seperti tanah pada satu bahagian, ia adalah keadaan pemuatan yang berbeza," kata Encik Ng.
"Memandangkan 'caisson' itu 'gagal' berfungsi pada masa yang sama berlakunya tanah jerlus itu, mungkin terdapat ruang kosong berhampiran yang menghasilkan kondisi pemuatan yang tidak seimbang pada gelung caisson itu, justeru ia runtuh".
Berhubung bagaimana ruang kosong itu mungkin terbentuk, Encik Ng berkata ia terlalu awal untuk mengetahui sebabnya - tetapi antara sebab-sebab termasuk pergerakan tanah yang dicetuskan oleh kerja-kerja penggalian atau paip bawah tanah yang bocor.
Kenyataan penduduk dan rakaman orang awam mencadangkan berlaku kejadian paip bocor di kawasan itu, pada malam sebelum tanah jerlus itu berlaku.
Namun Profesor Madya Wu Wei dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata hakisan tanah bawah tanah "tidak berlaku semalaman".
Ruang kosong bawah tanah "mengambil masa untuk dibentuk" kerana tanah di sekelilingnya terhakis dan ia menghasilkan ruang kosong lebih besar, katanya.
PERNAHKAH BERLAKU KEJADIAN TANAH JERLUS DI SG?
Walaupun jarang berlaku, tanah jerlus kadangkala berlaku di Singapura dan sering disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan seperti penggalian bawah tanah atau terowong bawah tanah serta kebocoran paip bawah tanah, kata Encik Ng.
Namun beliau menegaskan geologi dan tanah semula jadi di Singapura tidak begitu terdedah kepada tanah jerlus kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri batu larut seperti batu kapur.
Kejadian tanah jerlus yang pernah berlaku sebelum ini termasuk satu kejadian pada 2022, di mana tanah jerlus dan beberapa rekahan dilihat berlaku pada susur keluar di Farrer Road di mana kerja-kerja penggalian terowong sedang dijalankan.
Pada 2014, sebahagian daripada Upper Changi Road East runtuh, menyebabkan sebuah lori tersangkut.
Kejadian itu berlaku berhampiran tapak pembinaan Laluan Downtown.
APA YANG SEDANG DILAKUKAN?
BCA sebelum ini menyatakan langkah-langkah dilaksanakan bagi menangani risiko berlaku tanah jerlus semasa kerja-kerja penggalian bawah tanah berskala besar.
Sebagai contoh, seorang individu bertauliah yang merupakan jurutera profesional perlu menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan dan menyarankan langkah-langkah pencegahan sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.
Peralatan bagi memantau pergerakan tanah dan bangunan harus dipasang sepanjang proses pembinaan, di samping langkah-langkah keselamatan tambahan seperti mengerahkan seorang kakitangan sepanjang masa bagi memantau sebarang tanda-tanda berlaku penempatan tanah, apabila perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.