jelasBERITA: Apa yang perlu diketahui tentang skim baharu bagi pulangkan bekas minuman?
Satu skim baharu bagi memulangkan bekas minuman sebagai ganjaran untuk mendapatkan bayaran balik deposit bermula pada Rabu (1 Apr).
Bekas minuman dengan tanda deposit dan kod bar. (Gambar: BCRS Ltd)
Di bawah skim pemulangan bekas minuman itu, para pengguna boleh memulangkan bekas minuman yang layak di mesin pemulangan untuk menerima bayaran balik sebanyak S$0.10.
Skim tersebut diuruskan oleh BCRS Ltd, pengendali bukan untuk mengaut keuntungan yang diluluskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), dan ditubuhkan oleh konsortium pengeluar minuman yang terdiri daripada Coca-Cola Singapore Beverages, F&N Foods dan Pokka.
BCRS Ltd bertanggungjawab mengumpulkan dan mengitar semula bekas minuman bagi pihak pengeluar.
Bercakap dalam podcast Deep Dive terbitan CNA, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BCRS Ltd Stephanie Yip berkata deposit 10 sen itu disalurkan menerusi rantaian bekalan – daripada pengeluar kepada peruncit dan kemudian kepada pengguna – mengikut pergerakan bekas minuman tersebut. Apabila bekas minuman dipulangkan di mesin, S$0.10 akan dikembalikan kepada pengguna.
Berikut adalah perkara lain yang perlu anda ketahui mengenai skim tersebut:
BEKAS MINUMAN YANG MANA SATU LAYAK MENERIMA BAYARAN BALIK?
Ia merujuk kepada bekas minuman siap dibungkus yang diperbuat daripada plastik atau logam, dengan isi padu antara 150 mililiter (ml) hingga 3,000ml.
Bekas-bekas minuman yang layak akan mempunyai tanda deposit dan akan mula dibekalkan dari 1 April.
Bekas minuman tersebut boleh dipulangkan di mesin-mesin pemulangan yang ditempatkan di seluruh Singapura. Bekas minuman tersebut tidak boleh diremukkan kerana ia memerlukan kod bar yang tidak rosak dan boleh diimbas semasa dipulangkan. Ia juga mesti dikosongkan.
Cik Yip menggalakkan para pengguna supaya membilas bekas-bekas tersebut sebelum memulangkannya.
"Kami menggalakkan anda untuk mencucinya jika boleh, kerana sudah tentu semakin bersih bekas tersebut maka semakin kurang sisa yang tertinggal, dan ia akan menjadi lebih selesa untuk semua pihak yang terlibat dalam keseluruhan proses pengumpulan dan pengasingan," kata Cik Yip.
Mesin-mesin pemulangan tersebut akan disediakan dan dikendalikan oleh tiga pengendali rangkaian tempat pemulangan yang telahpun dilantik: RVM Systems, SG Recycle dan TOMRA. Para pengendali juga akan menguruskan pengumpulan bekas yang dipulangkan.
Bekas minuman tanpa tanda deposit akan terus berada dalam pasaran sehingga 30 September, memandangkan para pengeluar diberikan masa untuk menghabiskan stok sedia ada. Bekas-bekas berkenaan tidak termasuk dalam skim tersebut dan tidak boleh dipulangkan – ia akan ditolak jika dimasukkan ke dalam mesin pemulangan.
Mulai 1 Oktober, semua produk minuman yang dikawal selia dan dibekalkan di Singapura mesti mempunyai tanda deposit dan merangkumi deposit sebanyak S$0.10. Industri minuman dan runcit dijangka menghabiskan stok tanpa deposit sebelum tarikh tersebut.
BAGAIMANA JIKA SAYA MINUM DI LUAR?
Ini bergantung kepada premis makanan dan sama ada ia menyertai skim Return Right F&B.
Premis-premis yang menyertai skim Return Right F&B mesti menyimpan bekas-bekas minuman yang digunakan di premis mereka dan memulangkannya kemudian hari. Dalam kes sedemikian, premis tidak perlu mengenakan deposit ke atas para pelanggan. Pelanggan pula perlu meninggalkan bekas tersebut selepas selesai meminumnya.
Jika pelanggan ingin membawa pulang bekas tersebut, deposit perlu dikenakan.
Premis yang tidak menyertai skim Return Right F&B mesti mengenakan deposit ke atas para pengguna. Dalam hal ini, para pengguna bertanggungjawab untuk memulangkan bekas-bekas kosong bagi mendapatkan bayaran balik.
Ini termasuk pusat penjaja dan kedai kopi, di mana pesanan yang dibungkus adalah suatu perkara biasa.
BAGAIMANA UNTUK SAYA TAHU DI MANA UNTUK MEMULANGKAN BEKAS MINUMAN?
Para penduduk boleh mencari lokasi mesin pemulangan serta waktu operasinya di laman web returnright.sg.
Sebanyak 1,070 mesin akan ditempatkan di seluruh Singapura, dengan lebih 90 peratus isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berada dalam jarak lima minit berjalan kaki dari mesin tersebut. Lebih banyak mesin akan ditambah pada tahun pertama pelaksanaan skim tersebut.
Selain estet-estet perumahan, lebih 430 pasar raya dan premis runcit akan menempatkan mesin-mesin tersebut. Ia juga akan ditempatkan di lebih 610 kawasan yang diuruskan oleh Majlis Bandaran serta 17 pusat penjaja yang mempunyai jumlah pengunjung yang tinggi.
Dalam masa beberapa bulan akan datang, semua pusat penjaja akan mempunyai sama ada mesin di lokasinya atau terletak berhampiran.
Lokasi utama lain termasuk universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal, masing-masing akan mempunyai sekurang-kurangnya satu mesin. Di kawasan perindustrian, 36 lokasi dengan jumlah pengunjung yang tinggi juga akan dilengkapi dengan mesin tersebut dalam masa beberapa bulan akan datang.
BAGAIMANA UNTUK SAYA MENDAPATKAN BAYARAN BALIK?
Di mesin-mesin pemulangan, para pengguna perlu memasukkan bekas terpakai satu persatu ke dalam slot untuk disahkan mesin. Selepas proses pengesahan, pengguna boleh menggunakan kad SimplyGo EZ-Link atau mengimbas kod QR DBS PayLah! untuk menerima bayaran balik sebanyak S$0.10, di samping kaedah lain yang diterima.
Bekas-bekas minuman yang dikumpulkan setiap hari akan dihantar ke sebuah kemudahan khusus yang diuruskan oleh Cora Environment, di mana ia akan dikira, diasingkan dan dibungkus sebelum dihantar kepada pengitar semula.
Matlamatnya adalah untuk mencapai kadar pemulangan bekas minuman sebanyak 60 peratus dalam tahun pertama, kata Cik Yip.
MENGAPA SKIM INI DIPERKENALKAN?
BCRS diperkenalkan untuk meningkatkan kadar kitar semula yang masih rendah. NEA menyatakan bahawa sisa pembungkusan merangkumi sepertiga daripada sisa domestik di Singapura.
Skim tersebut mula disarankan pada 2019 oleh Recycle Right Citizen's Workgroup bagi meningkatkan kadar kitar semula isi rumah dan mengurangkan pencemaran dalam tong-tong kitar semula. Ia akan meliputi lebih satu bilion bekas minuman yang digunakan setiap tahun, dengan lebih 16,000 tan bahan dijangka dapat dikitar semula setiap tahun.
NEA menyatakan skim tersebut akan menggalakkan rakyat Singapura supaya menjadi lebih peka terhadap pembungkusan yang digunakan.
BCRS beroperasi di bawah rangka kerja Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan, yang mewajibkan para pengeluar untuk bersikap bertanggungjawab terhadap bekas-bekas minuman yang mereka bawa ke pasaran dan memastikan ia dikumpul dan dikitar semula.
Pengarah Eksekutif Zero Waste SG, Lionel Durai berkata kesiapsiagaan awam terhadap inisiatif kitar semula seperti BCRS telah meningkat, namun lebih banyak pendidikan masih diperlukan. Lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk membina semula keyakinan terhadap kitar semula, menjelaskan kepentingannya dan mengajar orang ramai cara-cara untuk mengitar semula dengan betul – memandangkan ramai yang beranggapan bahawa mereka sudah melakukannya dengan betul sekalipun hakikatnya tidak begitu, kata beliau.
Beliau menambah BCRS merupakan langkah permulaan ke arah kitaran semula pelbagai aliran yang lebih luas, yang melibatkan pengasingan bahan berbeza-beza sebelum dikitar semula.
"Kini terdapat dorongan sebenar untuk para individu mula memikirkan tentang bahan tertentu ... dan sejauh mana matlamatnya," kata beliau, sambil menambah bahawa pembangunan infrastruktur kitar semula pelbagai aliran di seluruh Singapura serta pendidikan yang lebih baik mungkin dapat menjadikan amalan kitar semula sebagai satu kebiasaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.