Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa yang perlu anda tahu tentang skim baharu cuti dikongsi ibu bapa?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang perlu anda tahu tentang skim baharu cuti dikongsi ibu bapa?

(Gambar: iStock/Edwin Tan)

Diterbitkan : 19 Aug 2024 12:16PM Dikemas Kini : 19 Aug 2024 03:39PM
SINGAPURA: Satu skim baharu akan memberi ibu bapa di Singapura 10 minggu cuti berbayar tambahan yang boleh dikongsi bersama, apabila ia dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April 2026.

Diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (18 Ogos), skim itu sebahagian daripada usaha pemerintah bagi memberikan ibu bapa lebih banyak masa untuk menjaga bayi mereka.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu.

BUTIRAN SKIM

Cuti tambahan 10 minggu akan ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah, dengan had sehingga S$2,500 seminggu (sehingga kira-kira S$10,000 sebulan).

Ia tambahan kepada peruntukan cuti bersalin dan cuti paterniti yang ditanggung pemerintah.

Skim terbaharu itu akan menggantikan skim sedia ada yang membolehkan seorang ibu bekerja berkongsi sehingga empat daripada 16 minggu cuti bersalin yang ditanggung pemerintah, bersama suaminya. Ini akan dihentikan dari 1 Apr 2025.

Skim baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat untuk menangani kesan terhadap para majikan, selain memberi mereka masa untuk menyesuaikan aturan operasi dan tenaga kerja masing-masing.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Apr 2026, ia akan membawa jumlah cuti berbayar kepada 30 minggu atau 7.5 bulan, naik daripada 20 minggu buat masa ini.

SIAPA YANG LAYAK?

Ibu bapa kepada bayi rakyat Singapura, termasuk ibu belum berkahwin, menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD).

Bagi golongan bapa pula, hanya mereka yang sah sudah berkahwin akan layak.

Di bawah skim berfasa ini, ibu bapa bayi yang dilahirkan dari 1 Apr 2025 akan layak bagi enam minggu cuti dikongsi ibu bapa.

Pasangan masih akan layak jika si ibu dijangka bersalin pada tarikh dari 1 Apr 2025, tetapi bayi dilahirkan sebelum itu.

Apabila skim berkenaan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April 2026, ibu bapa bayi baru lahir akan layak bagi 10 minggu pertama cuti dikongsi ibu bapa.



BOLEHKAH SUAMI ATAU ISTERI MENGGUNAKAN SENDIRI SEMUA CUTI YANG DIKONGSI?

Ya. Secara umumnya, cuti akan dibahagikan rata antara ibu dengan bapa bayi.

Ini bermakna, setiap seorang akan mendapat tiga minggu bagi bayi yang dilahirkan antara 1 April 2025 dengan 31 Mac 2026.

Jumlah cuti akan ditambah kepada lima minggu bagi setiap seorang untuk bayi yang dilahirkan dari 1 Apr 2026.

Namun, NPTD menyatakan ibu bapa akan diberikan fleksibiliti untuk memperuntukkan semula cuti masing-masing, berdasarkan keperluan aturan penjagaan bayi.

Ibu bapa boleh melihat peruntukan cuti yang dikongsi dan menyerahkan perubahan terhadap aturan jagaan bayi, dalam tempoh empat minggu dari tanggal kelahiran anak, menerusi aplikasi LifeSG.

Selepas empat minggu pertama ini, ibu bapa yang mahu mengubah aturan itu boleh berbuat demikian jika majikan mereka bersetuju.

Majikan juga boleh memeriksa pembahagian cuti pekerja menerusi portal skim cuti ditanggung pemerintah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, bermula 1 April tahun depan.

BAGAIMANA KALAU NOTIS TIDAK MENCUKUPI DIBERIKAN?

Tempoh empat minggu membolehkan majikan mengetahui bila pekerja mereka akan mengambil cuti.

Ini akan membantu mempermudah aturan agar tugasan mereka tetap dijalankan oleh pihak lain, menurut NPTD.

Jika majikan tidak dapat mengatur rancangan tepat pada masanya, mereka berhak tidak meluluskan cuti yang diminta, tanpa notis mencukupi.

Syarikat-syarikat juga boleh meminta ibu bapa menangguhkan atau menyesuaikan pelan cuti masing-masing.

BAGAIMANA PULA BAGI MEREKA YANG BEKERJA SENDIRI, ATAU TERIKAT KONTRAK JANGKA PENDEK?

Ibu bapa yang bekerja sendiri akan diletakkan di bawah skim baharu cuti yang dikongsi, asalkan mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan tertera di atas. Mereka hanya perlu menyerahkan tuntutan menerusi portal cuti ditanggung pemerintah MSF.

Bagi ibu bapa dengan aturan pekerjaan tidak tetap - seperti pekerja kontrak jangka pendek - mereka boleh menikmati manfaat cuti ibu bapa di bawah skim Manfaat Cuti Dikongsi Ibu Bapa (SPB).

Ibu bapa yang layak - mereka yang bekerja selama 90 hari sepanjang 12 bulan - boleh menuntut pembayaran balik daripada pemerintah bagi masa yang diambil untuk berehat dan menjaga bayi.

NPTD menyatakan lebih banyak butiran mengenai proses pembayaran balik bagi skim SPB ini akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelaksanaan.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita