jelasBERITA: Apa yang perlu anda tahu tentang kod QR bagi pelepasan imigresen
Penerangan mengenai penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di Pusat Pemeriksaan Woodlands oleh ICA pada 12 Mac 2024. (Gambar: CNA/Eugene Goh)
Namun, buat masa ini, inisiatif ini hanya dijalankan di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas. Para pelancong masih perlu menyerahkan pasport fizikal mereka di pusat pemeriksaan Malaysia.
Berikut ini antara perkara yang perlu anda tahu tentang penggunaan kod QR untuk melepasi imigresen di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas:
APA YANG PERLU DILAKUKAN?
Para pelancong perlu terdahulu memuat turun aplikasi mudah alih MyICA untuk mendapatkan kod QR. Semua pelancong dalam kereta yang sama boleh memilih antara berkongsi satu kod QR sahaja atau menjananya secara perseorangan.
Sehingga 10 butiran pasport pelancong boleh disertakan ke dalam kod QR bagi satu kumpulan. Setiap kod bagi satu kumpulan boleh disimpan dan dinamakan di dalam aplikasi tersebut.
Mereka yang melancong dengan kumpulan individu lain juga akan mempunyai pilihan untuk menghasilkan beberapa kod QR.
Selepas anda memuat turun aplikasi MyICA, anda boleh menggunakannya untuk menjana satu kod QR.
Untuk berbuat demikian, anda perlu menyertakan butiran pasport ke dalam aplikasi itu. Para penduduk Singapura - termasuk rakyat, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang - boleh memilih menggunakan Singpass untuk menyertakan butiran pasport secara automatik, apabila menggunakan aplikasi MyICA.
Anda juga boleh menggunakan fungsi kamera untuk mengimbas muka surat pasport yang mengandungi biodata anda, atau khususnya bahagian yang boleh dibaca mesin (dua atau tiga barisan aksara di bawah muka surat) sebagai alternatif.
Para pelawat asing yang pernah berkunjung ke Singapura sebelum ini, boleh juga menggunakan fungsi kamera untuk mengimbas laman yang mengandungi biodata pasport agar butiran pasport mereka dapat diisi secara automatik.
Jika anda pelawat kali pertama, atau memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza daripada kunjungan terakhir, anda perlu menyerahkan pasport fizikal untuk melepasi imigresen. Anda bagaimanapun boleh menggunakan kod QR bagi lawatan seterusnya.
Anda juga boleh memilih untuk tidak menggunakan kod QR dan menyerahkan pasport fizikal untuk melepasi imigresen.
Kod QR yang dijana bagi setiap individu, sah bagi tempoh setahun selepas ia dijana, atau sehingga pasport tamat tempoh, mana-mana yang berlaku dahulu.
Kod QR yang dijana untuk sesebuah kumpulan juga akan tamat tempoh setahun selepas ia dijana atau pada tarikh tamat tempoh paling awal sesiapa dalam kumpulan berkenaan.
Para pengunjung boleh mengimbas kod QR yang disimpan dalam aplikasi MyICA dengan menggunakan pengimbas kod QR di kaunter-kaunter ketibaan dan keberangkatan bagi kereta di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.
Sebaik sahaja kod itu diimbas, para pegawai ICA akan melakukan pengesahan dengan memeriksa identiti para pelancong dan menggunakan data yang diterima melalui kod QR tersebut.
Jika anda melancong secara berkumpulan, anda harus memastikan anda menggunakan kod QR kumpulan yang mengandungi butiran pasport mereka yang sedang melakukan perjalanan dalam kenderaan yang sama.
Seandainya kod QR anda tidak sepadan dengan butiran dan bilangan pengunjung dalam kenderaan, ia akan ditolak.
APA KELEBIHAN PELEPASAN IMIGRESEN MENGGUNAKAN KOD QR?
Menurut ICA, inisiatif tersebut membolehkan para pengunjung menikmati pengalaman yang lebih pantas dan mudah di imigresen, dengan penjimatan masa sekitar 20 saat bagi kereta dengan empat penumpang dan seminit bagi kereta dengan 10 penumpang.
Masa menunggu secara keseluruhan dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus jika kebanyakan pelancong yang menaiki kereta menggunakan kod QR untuk pelepasan, tambah ICA.
Inisiatif berkenaan turut menawarkan pengunjung pelepasan imigresen yang bebas kontak dan bersih.
Secara berasingan pada Selasa (12 Mac), ICA menyatakan trafik di pusat pemeriksaan di Woodlands dan Tuas dijangka terus sesak pada musim cuti sekolah Mac yang sedang berlangsung.
Dalam satu kemas kini mengenai keadaan trafik di pusat-pusat pemeriksaan, penguasa itu menasihati para pelancong agar menjangkakan masa menunggu lebih lama, selain mengambil kira tempoh lebih panjang bagi pelepasan imigresen.
ICA menyatakan pihaknya akan terus menyemak operasinya di pusat pemeriksaan, memperkenalkan pelbagai huraian inovatif dan memperhalusi serta mengautomatikkan proses sedia ada demi menjadikan pelepasan imigresen lebih lancar dan pantas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.