jelasBERITA: Apa yang membentuk elaun AP dan bagaimana ia digunakan?
Semakan gaji pemegang jawatan politik turut melibatkan perubahan pada elaun semua Anggota Parlimen (AP).
Anggota Parlimen mengangkat sumpah semasa pembukaan Parlimen Singapura ke-15. (Gambar: CNA)
- Elaun bulanan Anggota Parlimen Singapura akan dinaikkan daripada S$13,750 kepada S$18,500 bermula 15 Oktober 2026, selepas cadangan jawatankuasa semakan bebas.
- Kenaikan ini adalah yang pertama sejak 2011 dan bertujuan mengambil kira inflasi serta memastikan AP dapat menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.
- Elaun turut melibatkan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), AP Dilantik (NMP), dan Ketua Pembangkang, dengan penyesuaian kadar mengikut peranan masing-masing.
- Elaun digunakan untuk menampung kos tugas kemasyarakatan dan perundangan, serta membantu menarik calon berkualiti dari pelbagai parti politik.
Elaun bulanan AP akan meningkat daripada S$13,750 kepada S$18,500 mulai 15 Oktober 2026.
Ini merupakan perubahan pertama terhadap elaun AP sejak 2011 dan dibuat berdasarkan saranan jawatankuasa semakan bebas mengenai gaji pemegang jawatan politik serta elaun AP.
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata elaun itu adalah jumlah yang besar bagi membolehkan AP menjalankan tanggungjawab di Parlimen dan kawasan undi masing-masing.
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata kenaikan elaun itu dijangka menambah perbelanjaan pemerintah sekitar S$6.6 juta setahun.
APA YANG MEMBENTUK ELAUN AP?
Elaun bulanan seorang AP kini berjumlah S$13,750 dan akan meningkat kepada S$18,500 mulai 15 Oktober.
Elaun tersebut tertakluk kepada caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan potongan cukai. AP juga menyumbang sebahagian daripada elaun mereka kepada parti politik masing-masing.
AP tidak menerima pencen. Faedah perubatan mereka pula adalah di bawah Skim Medisave dan Rawatan Pesakit Luar Bersubsidi, selaras dengan skim yang digunakan dalam perkhidmatan awam.
SIAPA MENERIMA ELAUN AP?
AP Dipilih yang memenangi pilihan raya umum menerima elaun penuh.
AP yang memegang jawatan menteri atau jawatan politik lain turut menerima elaun AP, di samping menjalankan tugas sepenuh masa menguruskan ehwal harian negara.
Elaun AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) pula akan meningkat daripada 15 peratus kepada 30 peratus daripada elaun tahunan AP, atau S$5,550 sebulan.
Menurut Encik Chan, kenaikan itu mengambil kira hak mengundi penuh yang diberikan kepada NCMP sejak 2017 serta menyelaraskan elaun mereka dengan lebih baik kepada tanggungjawab di Parlimen.
Elaun AP Dilantik (NMP) kekal pada 15 peratus daripada elaun AP.
Ketua Pembangkang, jawatan yang kini kosong, akan terus menerima elaun seganda daripada elaun AP. Elaun tahunan jawatan itu akan meningkat daripada S$385,000 kepada S$518,000.
BAGAIMANA ELAUN DIGUNAKAN?
Elaun itu membantu AP menjalankan tugas kemasyarakatan dan perundangan, termasuk menjaga keperluan penduduk serta membangkitkan keprihatinan mereka di Parlimen.
Antara perbelanjaan yang lazim ditanggung ialah kos pengangkutan untuk menghadiri kegiatan akar umbi, sesi jawatankuasa Parlimen dan taklimat rasmi.
Elaun itu juga boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan minuman bagi sukarelawan, serta memberi sumbangan takziah, kepada keluarga yang berkabung di kawasan undi.
AP yang mempunyai rangkaian penyokong akar umbi lebih kecil mungkin lebih bergantung pada elaun tersebut untuk membiayai kegiatan sedemikian.
MENGAPA ELAUN DINAIKKAN?
Encik Chan berkata kenaikan tersebut mengambil kira inflasi.
Menurut PM Wong, pemberian elaun yang bersesuaian membolehkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) menarik calon berkeupayaan untuk bertanding dalam pilihan raya.
Jawatankuasa semakan bebas turut menyatakan pertimbangan bagi peranan berasaskan masyarakat, termasuk AP, mungkin berbeza daripada pemegang jawatan politik sepenuh masa.
Jawatankuasa itu mengesyorkan agar pemerintah mengkaji sama ada elaun AP perlu dipisahkan daripada penanda aras gaji pemegang jawatan politik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.