Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Apa yang kita tahu tentang tumpahan minyak yang jejas pantai SG

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang kita tahu tentang tumpahan minyak yang jejas pantai SG

(Gambar: CNA/Davina Tham)

Diterbitkan : 19 Jun 2024 11:06AM Dikemas Kini : 19 Jun 2024 05:31PM
SINGAPURA: Tumpahan minyak yang berlaku pada Jumaat (14 Jun) menyebabkan beberapa pantai sekitar Singapura ditutup.

Kerja-kerja pembersihan masih dijalankan, dengan minyak merebak ke tarikan pelancong di Pulau-Pulau Selatan dan boleh dilihat sejauh kawasan Changi di timur.
BERAPA JAUH MINYAK TERSEBAR?

Pada Sabtu (16 Jun), minyak melitupi beberapa pantai termasuk pulau Sentosa dan Taman East Coast, serta pinggir pantai Hutan Simpanan Labrador.

Pada keesokan harinya, pantai di Pulau Sekijang Bendera (St John's Island), Sekijang Pelepah (Lazarus Island) dan Pulau Kusu ditutup. Minyak juga dilihat di Marina South Pier.

Pada Isnin (17 Jun), minyak juga dilaporkan di Changi.

BAGAIMANA KEADAAN TUMPAHAN MINYAK KALI INI BERBANDING KEJADIAN PADA MASA LALU?

Laporan Perisikan Tumpahan Minyak 1999 menyatakan Selat Singapura dianggap sebagai salah satu kawasan terkenal disebabkan reputasinya sebagai laluan laut paling sibuk di dunia.

Tumpahan minyak terbesar di Singapura berlaku pada 1997, apabila dua kapal minyak berlanggar kira-kira 5 kilometer (km) selatan dari Had Pelabuhan Singapura. Kira-kira 28,000 tan minyak tertumpah, iaitu 70 kali ganda berbanding insiden pada Jumaat.

Bantuan kecemasan daripada kerajaan Jepun diminta untuk membantu membendung tumpahan, yang merosakkan hutan bakau dan terumbu karang di sekitar Rumah Api Raffles.

Perairan di barat Singapura dipenuhi dengan tompok-tompok minyak, dengan minyak turut merebak ke Pulau Sebarok dan Pulau Hantu.

Pada 2000, kira-kira 7,000 tan minyak mentah tertumpah apabila sebuah kapal terkandas hanya 8 km dari Sentosa. Minyak itu merebak ke pantai Sentosa, Pulau Sekijang Bendera dan Sekijang Pelepah.

Sedekad kemudian, sebuah kapal tangki berlanggar dengan kapal pengangkut pukal kira-kira 13km dari pantai Changi, yang menumpahkan kira-kira 2,500 tan minyak mentah ke laut.

Sepuluh tahun lalu, tiga kapal berbeza berlanggar dalam tempoh dua bulan, yang menumpahkan 760 tan minyak bahan api ke laut Singapura dan mencemarkan pantai di luar Pulau Kusu dan Pulau Sekijang Bendera.

BAGAIMANA MINYAK DIBERSIHKAN?

Pada Sabtu, 18 kapal pembersihan dikerah untuk mengawal dan membersihkan tumpahan.

Kira-kira 100 pekerja juga dikerah pada keesokan hari untuk membantu kerja-kerja pembersihan di pantai Sentosa, dengan pam vakum digunakan untuk menghapuskan minyak di permukaan air.
 
(Gambar: LinkedIn/Eng Dih Teo)
Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) juga menggunakan dron untuk mengawas kawasan yang terjejas.
Namun, syarikat kapal layar dan syarikat sukan air memberitahu Mediacorp bahawa mereka perlu menggantung khidmat lawatan dan penyewaan pada hujung minggu, yang menanggung kerugian beribu dolar.

Pakar biologi marin Toh Tai Chong memberitahu Mendaicorp bahawa organisme yang hidup dekat dengan permukaan air seperti burung laut, hutan bakau dan batu karang boleh dilitupi minyak dan akhirnya termakan kimia.

Dr Toh, seorang pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pengasas bersama pertubuhan bukan untung Our Singapore Reefs, memberi amaran bahawa kesan pencemaran tersebut boleh dirasakan untuk beberapa bulan akan datang.

Sejumlah toksin daripada minyak juga boleh memberi kesan kepada pembiakan batu karang.

Jika minyak meresap ke tanah di pantai, ia sukar untuk dibersihkan, seperti yang berlaku ketika tumpahan minyak di Changi pada 2010. Minyak sedemikian boleh diserap organisme seperti kerang dan cacing, dan kemudian meracuni pemangsa mereka.

Dr Toh menasihatkan orang ramai supaya tidak memancing dan mencari hidupan liar marin buat masa terdekat.

"Cuba untuk tidak mengambil dan makan hidupan liar buat tempoh tiga bulan akan datang, terutamanya kerang," katanya.

"Kerang menyerap lebih banyak toksin".
Sumber : CNA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan