Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa yang dilakukan AP tanpa jawatan politik di parlimen?

Apabila parlimen terbaharu Singapura dibuka pada Jumaat (5 September), 99 individu akan mengangkat sumpah untuk mewakili rakyat dalam badan perundangan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang dilakukan AP tanpa jawatan politik di parlimen?

Pembukaan sidang parlimen ke-14 pada 2023. (Gambar: Facebook/Parliament of Singapore)

Diterbitkan : 02 Sep 2025 10:20AM Dikemas Kini : 02 Sep 2025 03:03PM
SINGAPURA: Apabila parlimen terbaharu Singapura dibuka pada Jumaat (5 September), 99 individu akan mengangkat sumpah untuk mewakili rakyat dalam badan perundangan negara.

Antara mereka adalah 32 Ahli Parlimen (AP) baharu, termasuk tujuh daripada parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang sudah dilantik sebagai pemegang jawatan politik.

AP lain yang tidak menyandang jawatan politik dipanggil AP tanpa jawatan politik atau "backbencher" - merujuk kepada tempat duduk yang lazimnya mereka duduki dalam dewan.

Namun, duduk di belakang tidak bermakna bersikap pasif.

Mereka dijangka menyoal pemerintah serta meneliti dan mengundi draf undang-undang. Mereka juga boleh memulakan perubahan perundangan.

AP PAP, Christopher de Souza, yang sebagai AP 'backbencher' pada 2014 mencadangkan Rang Undang-undang untuk mencegah pemerdagangan manusia, berkata AP tanpa jawatan politik “sudah tentu bukan sekadar menurut kata”.

“Kami melihat sesuatu yang perlu diperbaiki, kami bersedia untuk tampil dan melakukannya,” katanya kepada Mediacorp.

AP pembangkang, Gerald Giam dari Parti Pekerja (WP), berkata: “Walaupun pemerintah menetapkan agenda rasmi, AP tanpa jawatan politik boleh membangkitkan isu-isu yang mempunyai kepentingan negara yang luas dan mempengaruhi perbicangan negara.”

Beliau berkata usul atau soalan AP tanpa jawatan politik boleh menyoroti isu dan memaksa pemerintah untuk mengatakan sesuatu.

"Usul AP pembangkang sering ditolak atau dipinda secara besar-besaran, tetapi perdebatan awam itu sendiri memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar kedua-dua belah pihak mengenai sesuatu isu, membolehkan perbincangan yang lebih maklum."

Pensyarah undang-undang, Eugene Tan, berkata ia memerlukan seorang AP tanpa jawatan politik yang "berani" untuk menetapkan agenda badan perundangan sendiri - sama ada sejajar atau tidak dengan pemegang jawatan politik.

Namun, ini tidak bermakna mereka tidak berdaya atau kurang peranan, tambah profesor madya di Universiti Pengurusan Singapura, yang juga merujuk kepada mengemukakan usul sebagai salah satu cara AP tanpa jawatan politik memastikan mereka bukan "sekadar penumpang" dalam proses parlimen.

Profesor Madya Tan memetik bagaimana soalan parlimen, terutamanya soalan tambahan, boleh mendorong pemegang jawatan untuk menjawab tanpa bergantung kepada "teks berskrip yang disediakan oleh kakitangan".

“Kadang-kadang, AP tanpa jawatan politik boleh memberikan pengaruh tanpa sengaja,” katanya.

Beliau menambah bahawa bagi AP tanpa jawatan politik PAP, cabarannya adalah untuk menunjukkan sejauh mana mereka relevan dan berpegang pada pendirian mereka sendiri dalam parlimen yang cenderung didominasi oleh pemegang jawatan politik dan AP pembangkang.

Dan AP dari WP - kini satu-satunya parti pembangkang di Parlimen - akan sama bersemangat untuk menunjukkan nilai mereka apabila parlimen ke-15 bermula, kata Profesor Madya Tan.

“(Mereka) akan berusaha untuk menunjukkan bahawa lebih banyak AP pembangkang akan memberi manfaat kepada parlimen dan Singapura - bahawa daripada seorang AP tanpa jawatan politik PAP, seorang AP WP akan menambah kepada parlimen dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh seorang AP tanpa jawatan politik PAP.”

APA YANG BERLAKU DALAM PERSIDANGAN PARLIMEN?

Parlimen bersidang untuk purata 30 hingga 40 hari setahun. Persidangan lazimnya berlangsung pada minggu pertama setiap bulan, walaupun ini boleh berbeza-beza.

Waktu soal jawab: Setiap persidangan bermula dengan 90 minit yang diperuntukkan untuk AP mengemukakan soalan kepada menteri. AP boleh mengemukakan sehingga lima soalan parlimen dalam satu persidangan, dengan notis sekurang-kurangnya tujuh hari. Ini boleh untuk jawapan lisan atau bertulis. Selepas jawapan lisan, AP boleh bertanya soalan tambahan berkaitan di tempat kejadian.

Kenyataan menteri: Kadang-kadang menteri ingin membuat kenyataan mengenai keputusan pemerintah. Kenyataan sedemikian tidak memerlukan notis awal, dan oleh itu boleh digunakan untuk menangani situasi yang sedang berkembang. AP dibenarkan untuk meminta penjelasan selepas itu, tetapi bukan untuk berdebat.

Rang Undang-undang: Ini adalah draf undang-undang yang dibahaskan dan diundi oleh AP. Rang Undang-undang boleh diperkenalkan oleh mana-mana AP. Rang Undang-undang Pemerintah dibentangkan oleh menteri, manakala semua AP lain - termasuk Bukan Kawasan Undi dan Dilantik - boleh mengemukakan Rang Undang-undang AP tanpa jawatan politik.

Usul: Ini adalah cadangan untuk parlimen melakukan sesuatu; mengarahkan sesuatu untuk dilakukan; atau menyatakan pendapat. AP membahaskan dan mengundi usul, dan juga boleh memindanya melalui undi. Usul boleh terdiri daripada yang tidak berkontroversi untuk menghormati atlet negara, kepada cadangan yang lebih dipertikaikan yang berkaitan dengan isu-isu seperti kos sara hidup dan dasar perumahan awam.

DARI MANA DATANGNYA SOALAN PARLIMEN?

Kebanyakannya datang dari interaksi dengan penduduk semasa lawatan ke rumah dan sesi Bertemu Penduduk, menurut AP yang ditemu bual Mediacorp.

Encik De Souza berkata beliau biasanya mendengar tentang kemungkinan jurang dalam bantuan pemerintah, "dasar yang tidak sampai ke masyarakat", atau permintaan bagi pengecualian.

“Jika saya rasa ada isu yang penting dan ada cadangan huraian, saya akan maklumkan kepada pembantu perundangan saya bahawa saya mahu membangkitkan PQ (soalan Parlimen) tentang perkara ini,” katanya.

Encik Giam berkata soalan parlimennya juga berasal dari pengalamannya sendiri. Contohnya, semasa terperangkap dalam gangguan kereta api pada Ogos, beliau memerhatikan isu-isu di lapangan yang beliau mahu bangkitkan di parlimen.

“Bagi AP pembangkang, kami tidak mempunyai akses yang sama kepada sumber pemerintah seperti rakan sejawatan kami, dan oleh itu kami lebih bergantung kepada orang ramai dan sukarelawan kami untuk mendapatkan gambaran penuh,” kata Encik Giam.

“Soalan kami sering kali merupakan hasil daripada penyelidikan bebas dan mendalam untuk memastikan kami dapat menyaring cabaran utama yang dihadapi oleh penduduk kami.”

BAGAIMANA AP TANPA JAWATAN POLITIK BOLEH GUBAL UNDANG-UNDANG?

Dengan memperkenalkan Rang Undang-undang AP tanpa jawatan politik. Parlimen Singapura sudah meluluskan sekurang-kurangnya lima Rang Undang-undang sedemikian sejak kemerdekaan.

Encik De Souza berkata Rang Undang-undang Pencegahan Pemerdagangan Manusia yang dibentangkannya pada 2014 memerlukan kerja kira-kira satu setengah tahun.

Beliau berkata apabila beliau mula melihat isu tersebut, terdapat jurang yang tidak diliputi oleh undang-undang berkaitan seperti Akta Imigresen dan Piagam Wanita.

Beliau mula menyusun draf, dan menghantarnya melalui e-mel kepada Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong.

“Saya menerangkan kepadanya mengapa saya rasa ini perlu dan saya bersedia untuk membentangkan ini… beliau membalas dalam tempoh yang sangat singkat dan berkata 'Saya menyokong inisiatif ini',” kata AP itu.

Rang Undang-undang akhirnya dibangunkan dengan sokongan pasukan petugas antara agensi pemerintah mengenai pemerdagangan, yang ditubuhkan pada 2010.

Kumpulan agama dan masyarakat sivil, masyarakat perniagaan dan orang awam juga berkongsi pandangan mereka dalam pelbagai perbincangan kumpulan fokus, kata Encik De Souza.

Profesor Madya Tan berkata seorang AP tanpa jawatan politik masih perlu mendapatkan sokongan daripada pemerintah semasa untuk Rang Undang-undang ahli persendirian.

“Atas pelbagai sebab, pemerintah mungkin lebih suka Rang Undang-undang tertentu digerakkan oleh AP tanpa jawatan politik,” katanya.

Beliau menyatakan contohnya bahawa Akta Penyenggaraan Ibu Bapa, yang pertama kali dibentangkan oleh AP Dilantik Walter Woon dan diluluskan pada 1995, terus mempunyai pindaan yang dikemukakan oleh Ap tanpa jawatan politik dan bukannya pemerintah.

Profesor Madya Tan juga menunjukkan bahawa walaupun percubaan AP Dilantik Kanwaljit Soin untuk meluluskan Rang Undang-undang Keganasan Keluarga pada 1995 gagal, banyak peruntukannya mengenai keganasan terhadap wanita kemudian dimasukkan ke dalam pindaan kepada undang-undang berkaitan, seperti Piagam Wanita.

BAGAIMANA UNDANG-UNDANG DILULUSKAN?

Draf undang-undang, atau Rang Undang-undang, “dibaca” tiga kali di parlimen.

Bacaan Pertama dan Ketiga sebahagian besarnya adalah formaliti. Selepas Bacaan Pertama, draf undang-undang diedarkan kepada AP dan mereka diberi masa untuk meneliti dan menyediakan ucapan mereka. Sekurang-kurangnya 10 hari mesti berlalu sebelum Bacaan Kedua diadakan, biasanya pada bulan berikutnya.

Sebahagian besar masa dihabiskan untuk Bacaan Kedua ini. Seorang menteri akan memperkenalkan Rang Undang-undang, dan AP kemudian bercakap mengenainya. Selepas perbahasan, menteri akan menutup dengan membalas soalan dan hujah AP.

Undian diambil pada akhir Bacaan Kedua dan Ketiga. AP boleh mengundi menyokong atau menentang; atau berkecuali.

Meluluskan Rang Undang-undang - atau usul - memerlukan sokongan majoriti mudah, atau lebih daripada separuh AP yang hadir.

Perubahan perlembagaan mempunyai piawaian yang lebih tinggi, memerlukan sokongan daripada majoriti dua pertiga. Ini bermakna sekurang-kurangnya 66 daripada 99 AP yang dipilih dan Bukan Kawasan Undi.

Dalam parlimen ke-15 dan terbaharu Singapura, PAP memegang majoriti besar dengan 87 kerusi. WP memegang 12 kerusi, yang terdiri daripada 10 AP yang dipilih dan dua AP Bukan Kawasan Undi.

Ini jarang berlaku, tetapi jika parlimen memutuskan Rang Undang-undang memerlukan pertimbangan khas, ia boleh membentuk jawatankuasa pilihan untuk berbuat demikian sebelum undian akhir.

Jawatankuasa ini boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan awam, dan menjemput anggota masyarakat untuk menulis tentang undang-undang yang dicadangkan.

Ia biasanya mengambil dua persidangan parlimen merentasi dua bulan untuk meluluskan Rang Undang-undang.

APA SUMBER YANG AP ADA?

Mereka mendapat sehingga S$1,300 sebulan untuk mengupah seorang pembantu perundangan, dan S$500 untuk pembantu kesetiausahaan. Jumlah ini hanya dibayar balik jika AP mengupah kakitangan sedemikian.

Encik Giam berkata pembantu adalah "tulang belakang penting" untuk kerja AP pembangkang, yang peranannya melangkaui tugas perundangan untuk memasukkan "kerja akar umbi yang penting seperti menganjurkan acara, menggerakkan sukarelawan dan membantu dengan lawatan ke rumah."

“Elaun yang mereka terima adalah sederhana, dan hanya mencukupi untuk menyokong pembantu sambilan. Mereka adalah penting dalam mengendalikan kerja pentadbiran yang tidak dapat saya lakukan seorang diri.”

Encik De Souza menggambarkan pembantu perundangan sebagai "rakan sekerja utama" dan berkata beliau cenderung untuk mengupah pelajar universiti atau graduan universiti baharu untuk peranan ini.

BAGAIMANA AP TANPA JAWATAN POLITIK BOLEH BENTUK AGENDA LUAR PARLIMEN?

Pakar sosiologi Dr Tan Ern Ser berkata pelibatan tidak rasmi antara AP parti pemerintah dan pemegang jawatan politik boleh menyediakan saluran tambahan untuk memberi maklum balas dan berkongsi isu-isu perbandaran serta kebimbangan penduduk.

“Rasa saya, AP tanpa jawatan politikpemerintah boleh menyumbang kepada penetapan agenda lebih-lebih lagi melalui mesyuarat tidak rasmi dengan pemegang jawatan, berbanding melalui perbahasan parlimen,” katanya.

Zamil penyelidik utama adjung di Institut Kajian Dasar itu juga menunjuk kepada Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) PAP.

Walaupun namanya begitu, ini bukan badan parlimen tetapi kumpulan dalam parti pemerintah dengan matlamat yang dinyatakan untuk meneliti dasar dan perundangan.

Bekas AP PAP Carrie Tan, yang merupakan sebahagian daripada GPC Pembangunan Negara serta GPC Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata kumpulan ini akan bertemu secara kerap menjelang Belanjawan tahunan.

Di antara tempoh Belanjawan itu, “apabila ada usul penting atau Rang Undang-undang penting yang sedang diusahakan, kami akan didaftarkan ke dalam perbualan tersebut”, katanya kepada Mediacorp.

Cik Tan berkata GPC juga membantu agensi pemerintah mendapatkan maklumat dari lapangan.

“Ada perbahasan sebenar yang berlaku, di mana AP di GPC akan memberikan pandangan dan pendapat kami dengan sangat kuat, mencerminkan sentimen dari lapangan dan juga masalah rakyat,” katanya.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita