Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu untuk lindungi diri daripada sakit campak

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu untuk lindungi diri daripada sakit campak
Gambar hiasan. (Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Singapura menyaksikan peningkatan kes jangkitan campak, dengan 11 kes dicatatkan pada bulan Januari - hampir enam kali ganda jumlah yang dilaporkan pada bulan yang sama tahun lepas.

Dua puluh tujuh kes dicatatkan sepanjang tahun 2025, dan 11 sepanjang 2024.

Sebagai tindak balas kepada peningkatan ini, pihak berkuasa mengumumkan langkah-langkah baharu, termasuk pengasingan wajib untuk kes campak, pengesanan kontak dan kuarantin beberapa kontak rapat.

Berikut adalah apa yang anda perlu tahu tentang campak, dan bagaimana melindungi diri anda.

APAKAH ITU PENYAKIT CAMPAK?

Campak adalah penyakit virus akut dan mudah berjangkit yang disebabkan oleh virus campak. Ia hanya menjangkiti manusia dan merebak dari manusia ke manusia.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), virus itu hidup dalam lendir hidung dan tekak orang yang dijangkiti. Ia boleh merebak melalui batuk dan bersin.

Virus tersebut boleh kekal berjangkit di udara atau pada permukaan sehingga dua jam.

Manusia boleh dijangkiti dengan menyedut udara yang tercemar atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar sebelum menyentuh mata, hidung atau mulut mereka.

APAKAH GEJALA PENYAKIT CAMPAK?

Gejala-gejala biasanya muncul sekitar 10 hingga 12 hari selepas terdedah kepadanya.

Tanda-tanda awal termasuk demam, batuk, hidung berair, mata merah dan mata berair.

Dua hingga empat hari selepas gejala awal muncul, bintik-bintik putih kebiruan yang dikenali sebagai bintik Koplik mungkin muncul di bahagian dalam pipi. Ia mungkin disertai dengan ruam kulit yang merebak ke seluruh muka, leher, tubuh, kaki, lengan, tapak tangan dan tapak kaki.

Sesetengah orang juga mungkin mengalami cirit-birit, muntah-muntah dan radang mata.

Dalam kes-kes yang teruk, penyakit campak boleh menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru atau radang otak - yang boleh mengakibatkan kerosakan kekal atau kematian.

BAGAIMANA MELINDUNGI DIRI DARIPADA PENYAKIT CAMPAK?

Cara terbaik untuk melindungi diri daripada campak ialah vaksinasi.

Vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) adalah selamat dan sangat berkesan, dan memberikan perlindungan jangka panjang selepas melengkapkan dos yang disyorkan, menurut Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA) pada Jumaat (6 Feb).

Menurut CDC, dua dos vaksin MMR adalah sekitar 97 peratus berkesan dalam mencegah campak, manakala satu dos adalah sekitar 93 peratus berkesan.

DI MANA ANDA BOLEH MENDAPATKAN VAKSIN DAN BAGAIMANA ANDA TAHU JIKA ANDA MASIH IMUN?

Di bawah Akta Penyakit Berjangkit Singapura, vaksinasi penyakit campak adalah wajib untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang tinggal di negara ini.

Dua dos pertama vaksinasi MMR disyorkan pada usia 12 bulan dan 15 bulan.

Orang dewasa yang belum divaksin, atau yang tiada bukti jangkitan atau kekebalan masa lalu, juga harus menerima dua dos vaksin MMR.

Mereka yang tidak pasti tentang status vaksinasi mereka harus berunding dengan penyedia jagaan kesihatan mereka. Ujian darah boleh dilakukan untuk memeriksa antibodi campak.

Vaksin MMR tersedia di poliklinik, klinik doktor keluarga dan klinik pediatrik swasta.

Rakyat Singapura yang memenuhi kriteria untuk vaksinasi akan menerima subsidi di klinik GP Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dan poliklinik.

Subsidi-subsidi akan diberikan kepada penduduk tetap yang memenuhi kriteria untuk vaksinasi di poliklinik.

Dua dos vaksin MMR cukup untuk memberikan kekebalan seumur hidup dalam kebanyakan kes, kata Profesor Dale Fisher dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).

APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN JIKA ANDA BERSENTUHAN DENGAN SESEORANG YANG MENGHIDAP PENYAKIT CAMPAK?

"Jika anda telah menerima vaksinasi, tiada langkah berjaga-jaga khas diperlukan," kata Prof Fisher. Namun mereka yang tidak menerima vaksinasi berisiko dan perlu berjumpa doktor, katanya.

Orang yang menghidap penyakit campak boleh menjangkiti orang lain dari beberapa hari sebelum gejala muncul sehingga selepas ruam terbentuk, tambahnya. Ini bermakna virus boleh tersebar sebelum seseorang menyedari mereka sakit.

Pengasingan wajib bagi kes yang disahkan campak adalah antara langkah-langkah baharu yang diambil Singapura selepas jumlah kes jangkitan meningkat.

Mereka yang dijangkiti mesti diasingkan sehingga mereka tidak lagi berjangkit, menurut CDA pada Jumaat.

Kes-kes yang tidak perlu dimasukkan ke hospital akan diletakkan dalam pengasingan di rumah, dengan panggilan video rambang dilakukan untuk memastikan mereka mematuhi perintah.

Kontak rapat yang tidak menerima vaksinasi akan diletakkan dalam kuarantin di rumah, kecuali rumah mereka dianggap tidak sesuai. Kuarantin boleh berlangsung sehingga 21 hari, dan pemeriksaan rambang juga akan dijalankan.

Terdapat pilihan rawatan bagi mereka yang berisiko mengalami komplikasi, seperti bayi, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, kata Prof Fisher.

Kontak rapat berisiko tinggi kepada orang yang dijangkiti akan ditawarkan vaksinasi pasca pendedahan, yang melibatkan pemberian vaksin MMR untuk mengurangkan risiko penyakit teruk jika jangkitan berlaku.

Mereka yang pernah menghidap penyakit campak semasa kanak-kanak juga tidak berisiko dijangkiti lagi, kata Professor Ooi Eng Eong, dari program penyakit berjangkit baharu di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Walau bagaimanapun, seseorang masih perlu berjumpa doktor jika tidak pasti, nasihatnya. 

BAGAIMANAKAH KEADAAN DI SELURUH DUNIA?

Penyakit campak adalah salah satu penyakit paling mudah berjangkit di dunia, menurut WHO.

WHO melaporkan 11 juta jangkitan campak di seluruh dunia pada tahun 2024, melebihi tahap sebelum pandemik, iaitu sebanyak 800,000 kes.

Pakar-pakar mengaitkan kemunculan semula penyakit campak global dengan gangguan pada vaksinasi rutin semasa pandemik COVID-19, serta keraguan terhadap vaksin di beberapa negara.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEMASA MELANCONG?

Selain mendapatkan vaksinasi, memakai topeng N95 dan mengamalkan kebersihan tangan yang baik boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan, kata Prof Fisher.

Pelancong juga perlu ambil perhatian bahawa vaksin mula memberikan perlindungan dua minggu selepas dos pertama tetapi paling berkesan selepas dua dos yang diambil sekurang-kurangnya empat minggu antara satu sama lain, katanya.

Profesor Leo Yee Sin dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS menasihati para pelancong agar memeriksa risiko penyakit campak di destinasi mereka sebelum perjalanan dan memastikan vaksinasi mereka adalah yang terkini sebelum berlepas.

Kawasan yang sesak perlu dielakkan, terutamanya bagi ibu bapa dengan bayi yang terlalu muda untuk divaksinasi, tambahnya.

"Amalkan apa yang kita telah pelajari semasa pandemik COVID-19, pakai topeng, dan (pastikan) kerap mencuci tangan," katanya.

APAKAH RISIKO PADA SINGAPURA?

Memandangkan Singapura sangat terhubung, tidak menghairankan jika ada peningkatan kes berikutan lonjakan global, kata Prof Leo.

Risiko penyakit campak terhadap penduduk bergantung pada imuniti kelompok dan pematuhan terhadap langkah-langkah pencegahan, katanya.

Dalam kes Singapura, Prof Fisher percaya negara ini tidak akan melihat penularan meluas jangkitan disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi.

CDA menyatakan bahawa semua 11 kes campak yang dicatatkan pada Januari melibatkan individu yang tidak divaksinasi sepenuhnya, dan tujuh daripadanya baru-baru ini melakukan perjalanan ke luar negara.

Ujian makmal mengesahkan bahawa tiga daripada kes-kes tersebut mempunyai kaitan genetik walaupun tidak mempunyai hubungan yang diketahui antara satu sama lain. Ini membayangkan kemungkinan penularan tempatan yang tidak dikesan.

Prof Fisher mengatakan pemerhatian agensi tersebut mungkin membayangkan bahawa beberapa kes merebak di negara ini melalui kes-kes yang sangat ringan yang tidak dikesan, serta pendedahan melalui udara atau permukaan yang tercemar.

Tiada risiko penularan meluas, katanya, tetapi individu yang rentan yang dijangkiti boleh mengalami penyakit yang teruk.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita