Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu tentang larangan basikal, PMD di laluan pejalan kaki bersebelahan laluan berbasikal

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu tentang larangan basikal, PMD di laluan pejalan kaki bersebelahan laluan berbasikal

Salah satu laluan berbasikal di Tampines. (Gambar fail: Facebook/Baey Yam Keng)

Diterbitkan : 16 Aug 2024 09:54AM Dikemas Kini : 16 Aug 2024 02:00PM
SINGAPURA: Laluan yang disediakan bersebelahan laluan berbasikal akan secara bertahap-tahap diubah menjadi laluan hanya untuk para pejalan kaki - dan dengan langkah itu, basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) tidak akan dibenarkan di laluan berkenaan.

Tindakan penguatkuasaan akan mula dilaksanakan pada Julai 2025, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Maka ada masa bagi kedua-dua pengayuh dan penunggang serta pejalan kaki untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu.

Ini apa yang anda perlu tahu:

DI MANA ANDA BOLEH KAYUH BASIKAL ATAU GUNA ALAT PERIBADI LAIN?

Buat masa ini, basikal dan PMD tidak bermotor seperti skuter tolak (kick-scooter) dibenarkan di laluan pejalan kaki. Namun para penunggang perlu mematuhi had kelajuan 10 kilometer sejam dan digalakkan kekal di laluan masing-masing.

Namun ini akan berubah dari suku keempat 2024 apabila LTA mengubah laluan sedemikian menjadi laluan hanya buat para pejalan kaki.

Apabila ini dilaksanakan kelak, hanya pengguna alat bantuan peribadi seperti skuter mobiliti dan kerusi roda elektrik akan dibenarkan di laluan pejalan kaki jika ada laluan berbasikal di sebelahnya.

Para pengguna alat itu bagaimanapun harus memastikan mereka mematuhi had kelajuan tidak lebih 6km/j, iaitu serupa dengan kelajuan seseorang berjalan pantas.

Basikal, skuter elektrik, skuter tolak dan papan selaju cuma boleh digunakan di laluan berbasikal.



BAGAIMANA PULA BAGI KANAK-KANAK YANG KAYUH BASIKAL RODA TIGA?

Kanak-kanak yang mengayuh "mainan beroda" dianggap sebagai pejalan kaki. Maka itu, mereka akan dibenarkan di laluan pejalan kaki, menurut LTA.

"Mainan beroda" merujuk kepada mainan seperti kereta kayuh kanak-kanak, skuter, basikal roda tiga kanak-kanak yang digunakan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

MENGAPA PERUBAHAN INI DILAKSANAKAN?

Langkah ini bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan buat semua, terutama sekali para pejalan kaki yang muda dan lanjut usia.

Pihak berkuasa sedang melaksanakan perubahan berkenaan sekarang kerana Singapura sudah membina lebih 200 kilometer laluan berbasikal bersebelahan laluan pejalan kaki.

"Sebelum ini, kami tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk mengasingkan (pejalan kaki dan penunggang)," kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat kepada media pada Rabu (14 Ogos).

"Kini kami mempunyai 200km daripada 600km laluan khas buat pengayuh basikal, kami berpandangan ini masa yang tepat untuk mengambil langkah sedemikian," tambah beliau.

"Tujuannya adalah untuk mempertingkatkan keselamatan buat para penduduk kami, terutama sekali warga emas dan kanak-kanak kecil apabila mereka sedang berjalan."

Encik Chee seterusnya menjelaskan bahawa sebab langkah ini dilaksanakan bukan disebabkan kenaikan pada jumlah kemalangan mobiliti aktif.

Justeru, angka kemalangan mobiliti aktif di laluan pejalan kaki terus menyusut sejak 2019.

"Pada 2019, kami mempunyai kira-kira 303 kes. Pada tahun lalu (2023), angkanya turun kepada lebih 70 kes. Jadi langkah ini bukan kerana laluan-laluan sudah menjadi lebih berbahaya," katanya.

APA HUKUMAN LANGGAR PERATURAN?

Mereka yang disaman kerana melanggar peraturan dengan menunggang di laluan pejalan kaki, sedangkan ada laluan berbasikal di sebelahnya, boleh didenda sehingga S$2,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga bulan.

Demi membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dengan peraturan baharu, akan ada tempoh tangguh sebelum tindakan penguatkuasaan bermula dari 1 Julai 2025.

Sementara itu, LTA menyatakan pasukannya di lapangan akan "mendampingi dan mendidik" para pengguna PMD tidak bermotor dan basikal jika mereka menunggang di laluan yang salah.

"Makluman juga akan disediakan kepada para pengguna laluan untuk mendidik mereka," tambah agensi itu.

ADA TIDAK PERTIMBANGAN LAIN?

Encik Chee menerangkan bahawa LTA perlu "fleksibel dan munasabah" dalam pendekatan penguatkuasaannya.

Jika pengayuh basikal perlu mengelak sesuatu lalu masuk ke lorong pejalan kaki buat seketika waktu secara selamat, ini tidak boleh dianggap sebagai "tidak boleh diterima", tegas Encik Chee.

"Begitu juga (bagi pejalan kaki). Saya tidak rasa ia sesuatu yang tidak boleh diterima jika pejalan kaki ke lorong basikal untuk mengelak sebarang halangan, tetapi kami menggalakkan mereka menggunakan laluan masing-masing."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, LTA menekankan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menunggang dengan laju atau secara terburu-buru dan tanpa menghiraukan keselamatan orang lain, tidak kira laluan mana yang digunakan.



ADAKAH HUKUMAN AKAN DIKENAKAN TERHADAP PEJALAN KAKI DI LALUAN BASIKAL?

Tiada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap para pejalan kaki yang menggunakan laluan berbasikal.

Jika pegawai penguatkuasaan mobiliti aktif ternampak pejalan kaki di laluan berbasikal, pendekatan yang akan diambil adalah menasihati mereka agar menggunakan laluan pejalan kaki.

BAGAIMANA PERATURAN BAGI LALUAN BERSAMA?

Laluan bersama boleh digunakan para pejalan kaki mahupun pengguna alat mobiliti aktif yang harus mematuhi had kelajuan 25km/j.

Menurut kod tatalaku bagi penggunaan laluan awam, antara amalan baik bagi pejalan kaki termasuk terus berada di bahagian kiri selagi boleh, kecuali apabila ingin memotong jalan seorang lagi pejalan kaki.

Seorang pengayuh basikal atau pengguna PMD tidak bermotor, juga perlu melakukan sama kecuali apabila perlu memotong jalan seorang pejalan kaki atau penunggang lain.

Kod tatalaku turut menyatakan mereka perlu sentiasa memberi laluan kepada sebarang pejalan kaki di laluan bersama atau di persimpangan antara laluan pejalan kaki dengan laluan bersama.
 
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita