Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu tentang had 2 'power bank' untuk penerbangan dari Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu tentang had 2 'power bank' untuk penerbangan dari Singapura

Gambar hiasan. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 11 Apr 2026 11:26AM Dikemas Kini : 11 Apr 2026 11:27AM
  • Mulai 15 April, penumpang dari Singapura hanya boleh membawa maksimum dua power bank dalam penerbangan, tanpa mengira kapasiti.
  • Peraturan baharu ini diumumkan oleh CAAS selepas panduan ICAO dikemas kini, berikutan insiden kebakaran power bank dan risiko bateri litium-ion.
  • Syarikat penerbangan seperti SIA dan Scoot melarang penggunaan dan pengecasan power bank di dalam pesawat, dan penumpang mesti melupuskan peranti berlebihan sebelum berlepas.
  • Penumpang yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 atau S$20,000, dan maklumat sekatan dipaparkan serta pegawai dilatih untuk penguatkuasaan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mulai 15 April, penumpang yang berlepas dari Singapura melalui udara hanya boleh membawa maksimum dua 'power bank'.

Langkah ini diumumkan selepas panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dikemas kini pada 2 April, yang mengetatkan peraturan mengenai penggunaan power bank di dalam pesawat.

Sebelum ini, penumpang boleh membawa sejumlah power bank, selagi setiap satu mematuhi had kapasiti tenaga.

Menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), bateri litium dalam power bank boleh menjadi terlalu panas atau berlaku litar pintas (short circuit), yang boleh menimbulkan risiko kebakaran semasa penerbangan.

Beberapa insiden baru-baru ini yang melibatkan power bank terbakar telah meningkatkan kebimbangan. Singapore Airlines (SIA) dan Scoot telah melarang penggunaan dan pengecasan power bank di dalam pesawat.

Berikut apa yang anda perlu tahu:

Apakah sekatan baharu?

Setiap penumpang yang berlepas dari Singapura boleh membawa maksimum dua power bank, tanpa mengira kapasiti kuasanya.

Ini termasuk peranti yang dibeli di lapangan terbang - walaupun power bank yang baru dibeli itu akan diambil kira dalam had tersebut.

Penumpang yang membawa lebih daripada dua power bank perlu melupuskan peranti berlebihan sebelum menaiki pesawat. SIA menegaskan bahawa penumpang bertanggungjawab untuk berbuat demikian sebelum melakukan penerbangan.

Dari segi kapasiti, power bank sehingga 100Wh dibenarkan. Peranti melebihi 100Wh dan tidak melepasi 160Wh memerlukan kelulusan syarikat penerbangan terlebih dahulu. Peranti melebihi 160Wh tidak dibenarkan di dalam pesawat.

Penumpang SIA dan Scoot yang ingin mendapatkan kelulusan mesti menghubungi syarikat penerbangan tersebut terlebih dahulu dan memberikan butiran seperti jenama, model dan rating Wh peranti.

Peraturan untuk power bank antara 100Wh dan 160Wh mungkin berbeza mengikut syarikat penerbangan, jadi sebaik-baiknya penumpang dinasihatkan supaya memeriksa dan menyemak peraturan semasa membuat persiapan untuk perjalanan anda.

Sesetengah syarikat penerbangan, termasuk AirAsia, EVA Air dan China Airlines, memerlukan kelulusan terlebih dahulu, manakala yang lain - seperti Japan Airlines dan ANA - tidak.

Syarikat-syarikat penerbangan juga mungkin mengenakan had yang lebih ketat. Sebagai contoh, Emirates hanya membenarkan satu power bank bawah 100Wh bagi setiap penumpang, manakala Southwest Airlines, yang kebanyakannya beroperasi di Amerika Syarikat, menguatkuasakan sekatan yang serupa.

Apakah peraturan sedia ada yang masih terpakai?

Beberapa sekatan semasa masih dikuatkuasakan.

Power bank tidak dibenarkan dalam bagasi berdaftar dan mesti dibawa di dalam kabin.

Ia harus disimpan secara berasingan untuk mengelakkan litar pintas - contohnya, dengan menyimpannya di dalam bungkusan asalnya, meletakkan setiap peranti di dalam beg plastik atau kantung pelindung yang berasingan, atau melekatkan pita pada terminal yang terdedah. Ini bagi menebatnya.

Penumpang dinasihatkan supaya menyimpan power bank di lokasi yang mudah diakses, seperti poket tempat duduk atau di bawah tempat duduk di hadapan mereka, dan bukannya di dalam kompartmen atas tempat duduk.

Bagaimanakah saya mengira rating Wh power bank saya?

Semak label pada peranti atau pembungkusan anda. Jika ia menyatakan 100Wh atau kurang daripada itu, ia memenuhi had tersebut.

Jika hanya mAh (miliampere-jam) dan voltan (V) disenaraikan, anda boleh mengira rating watt-jam menggunakan formula ini: Wh = (mAh × V) ÷ 1000.

Sebagai contoh, peranti dengan 20,000mAh dan 3.7V mempunyai rating Wh sebanyak 74.

Sebagai panduan am, 100Wh secara kasarnya bersamaan dengan 27,000mAh, bermakna kebanyakan power bank pengguna berada dalam had yang boleh diterima.

"Jika spesifikasi tidak jelas atau tidak pasti tentang pengiraannya, kakitangan syarikat penerbangan dilatih untuk membantu menentukan watt dan boleh membantu penumpang semasa daftar masuk," kata Encik Foong Ling Huei, pengarah piawai penerbangan CAAS.

Peranti manakah yang dianggap sebagai power bank?

Power bank ditakrifkan oleh CAAS sebagai "peranti mudah alih yang direka terutamanya untuk membekalkan kuasa kepada peralatan lain".

Ini termasuk pengecas mudah alih, pek kuasa dan pek bateri luaran.

Telefon bimbit dengan keupayaan pengecasan tidak dianggap sebagai power bank, begitu juga komputer riba, atau bateri boleh dicas semula seperti yang digunakan dalam kamera.

Walau bagaimanapun, sarung telefon boleh tanggal (removable phone cases) yang mengandungi pek bateri dianggap sebagai power bank.

Mengapakah peraturan semakin ketat?

Menurut ICAO, panduan yang dikemas kini mencerminkan maklumat baharu tentang risiko yang ditimbulkan oleh bateri litium, dan bertujuan untuk meningkatkan keselamatan penumpang dan syarikat penerbangan.

Walaupun insiden kebakaran power bank agak jarang berlaku, terdapat kes di mana power bank terbakar, termasuk satu kes dalam penerbangan Scoot dari Taiwan ke Singapura sebelum berlepas.

Memandangkan persekitaran pesawat yang terhad, kebakaran kecil sekalipun boleh menimbulkan risiko yang serius.

Bagaimanakah kebakaran bateri litium-ion berlaku?

Bateri litium-ion, yang digunakan secara meluas dalam peralatan elektronik pengguna, boleh terbakar dalam keadaan tertentu.

Punca biasa termasuk terlalu panas, litar pintas, kerosakan fizikal, kecacatan pengilangan dan pengecasan berlebihan.

Risiko utama ialah 'thermal runaway', di mana sel bateri terlalu panas tanpa kawalan.

Ini berlaku apabila haba terkumpul lebih cepat daripada yang boleh dihapuskan. Dan kerana sel litium-ion tersusun padat dalam bateri, haba ini boleh merebak ke sel bersebelahan, mencetuskan tindak balas berantai. Peningkatan suhu yang cepat merentasi pek bateri boleh menyebabkan asap, kebakaran atau letupan.

Kebakaran ini boleh berlaku pada suhu melebihi 1,500°C, sukar dipadamkan dan boleh melepaskan gas toksik seperti karbon monoksida.

Bateri lama juga berisiko lebih tinggi.

Power bank jenis murah juga mungkin kekurangan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada produk yang lebih terkenal.

Apakah hukuman yang dikenakan?

Penumpang yang tidak mematuhi peraturan power bank boleh dianggap melakukan kesalahan jenayah.

CAAS menegaskan bahawa di bawah Peraturan Navigasi Udara (Barang Berbahaya) 2022, penumpang yang melanggar peraturan barangan berbahaya, termasuk power bank, boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000, manakala pesalah berulang boleh menghadapi denda sehingga S$20,000.

"Penumpang diingatkan supaya mematuhi had dan peraturan power bank yang ditetapkan dalam penerbangan," kata Encik Foong dari CAAS.

Menurut CAAS, ia sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan dan pihak-pihak berkepentingan penerbangan yang lain untuk melaksanakan peraturan baharu dengan "lancar dan teratur".

Penumpang akan dimaklumkan tentang peraturan oleh syarikat penerbangan mereka sebelum melakukan perjalanan.

"Pegawai perkhidmatan penumpang dan pemeriksaan keselamatan akan dilatih. Maklumat mengenai sekatan baharu juga akan dipaparkan di seluruh lapangan terbang sebagai peringatan kepada penumpang," kata CAAS.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita