jelasBERITA: Apa yang anda perlu tahu tentang e-dompet pelbagai mata wang di SG?
SINGAPURA: Dompet mudah alih pelbagai mata wang semakin popular dalam kalangan pelancong, terutamanya disebabkan oleh kemudahan dan kadar pertukaran yang biasanya lebih baik daripada bank tradisional atau pengurup wang.
Selain kadar pertukaran yang kurang menggalakkan, pengguna yang menggunakan kad kredit di luar negara juga perlu membayar yuran transaksi asing sekitar 2 hingga 3 peratus.
Revolut menyatakan para pengguna aktifnya meningkat hampir dua kali ganda dari tahun ke tahun sejak ia dilancarkan di Singapura pada 2019. YouTrip menyatakan satu daripada lima rakyat Singapura kini menggunakan khidmatnya. Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pengguna masing-masing.
Sedang rakyat Singapura bersiap sedia untuk tempoh percutian hujung tahun, Mediacorp meninjau tiga dompet pelbagai mata wang yang popular di Singapura: Revolut, Wise dan YouTrip.
Bagaimanakah syarikat-syarikat ini menjamin kadar pertukaran yang lebih baik dan apakah risiko yang boleh dijangkakan?
BAGAIMANA APLIKASI ITU BERFUNGSI?
Revolut, Wise dan YouTrip membolehkan para pengguna untuk memegang mata wang yang berbeza dalam e-dompet mereka. Seorang pengguna di Singapura mungkin menyimpan dolar Singapura dalam dompet dan menukarnya dengan dolar Amerika, sebagai contoh.
Aplikasi itu akan menunjukkan kepada anda kadar pertukaran dan yuran berkaitan sebelum anda membuat transaksi, dan kedua-dua mata wang kemudiannya akan disimpan dalam dompet yang sama. Revolut dan Wise mengenakan bayaran setiap kali anda menukar mata wang.
Jika pengguna kehabisan dolar Amerika untuk urus niaga, mata wang lain dalam dompet akan ditukar kepada dolar Amerika untuk membuat pembayaran.
Dompet Wise boleh menyimpan sebanyak 40 mata wang, manakala Revolut dan YouTrip masing-masing boleh menyimpan 33 dan 10 mata wang. Pengguna bagaimanapun boleh berbelanja menggunakan lebih daripada 150 mata wang, dengan penukaran dilakukan serta-merta.
Ketiga-tiga aplikasi itu mempunyai had dompet sebanyak S$5,000 disebabkan oleh syarat-syarat yang ditetapkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Had itu akan dinaikkan kepada S$20,000 menjelang hujung tahun ini.
Para pengguna juga boleh mengirim wang kepada rakan mereka dan mengeluarkan wang menggunakan mesin ATM luar negara, dengan setiap syarikat menawarkan jumlah pengeluaran percuma yang berbeza sebelum bayaran dikenakan.
YouTrip tidak membenarkan pindahan keluar dari dompet ke akaun bank, tetapi Wise dan Revolut berbuat demikian.
KADAR PERTUKARAN YANG MENARIK
Jumlah transaksi yang tinggi dan operasi yang lebih cekap adalah antara sebab mengapa aplikasi pelbagai mata wang sebegini mempunyai kelebihan.
Dalam wawancara bersama Mediacorp pada awal tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif YouTrip Caecilia Chu berkata kadar pertukaran asing yang ditawarkan syarikat itu semakin bertambah baik sejak ia mula dilancarkan sekitar lima tahun lalu.
"Apabila jumlah urus niaga kami meningkat, kami juga mendapat kadar FX (pertukaran asing) yang lebih baik, dan dari semasa ke semasa kami menawarkannya kepada para pengguna kami," katanya.
Cik Ashley Thomas, ketua strategi dan operasi di Revolut Singapore, berkata syarikat itu cuba menjadi lebih cekap dan menawarkan "harga terbaik mungkin" untuk penggunanya.
“Dengan platform Revolut yang mengutamakan khidmat mudah alih, ini bermakna para penggunanya mendapat manfaat daripada yuran yang lebih rendah, hasil daripada pengurangan kos buruh yang dikaitkan dengan operasi fizikal,” katanya.
Encik Tan Kiang Khiang, pengerusi kursus untuk diploma perbankan dan kewangan Politeknik Singapura, berkata ini juga terpakai bagi syarikat-syarikat digital yang lain.
“Mereka (a) tidak memerlukan ramai tenaga kerja berbanding bank-bank tradisional. Lantaran itu, kos operasi mereka lebih rendah,” katanya.
Syarikat-syarikat sedemikian juga mungkin mengekalkan pelbagai mata wang di negara berbeza bagi memastikan urus niaga rentas sempadan tidak memerlukan pindahan wang sebenar, di mana yuran dan kadar pertukaran akan dikenakan, katanya.
BOLEHKAH BANK-BANK BERSAING?
Bank-bank boleh menggunakan sesetengah strategi ini dan bank-bank tempatan mempunyai akaun berbilang mata wang di mana yuran urus niaga asing tidak dikenakan, tetapi kadar pertukaran biasanya tidak begitu baik.
Sebagai contoh, pada Jumaat (24 Nov), kadar pertukaran untuk dolar Singapura berbanding yen Jepun di YouTrip adalah S$1 berbanding 111.5 yen, yang hampir sama dengan kadar yang ditunjukkan di Google. Kadar yang ditawarkan oleh DBS pula ialah 110.34 yen.
Bank-bank mungkin lebih selamat sedikit berbanding aplikasi berbilang mata wang, tetapi perbezaannya adalah minimum, kata para pakar.
“Risiko keselamatan siber tetap wujud dalam khidmat digital, sekalipun bagi bank-bank yang mantap,” kata Encik Tan dari Politeknik Singapura.
Para pengguna harus mengamalkan langkah-langkah keselamatan siber dan mengurangkan jumlah yang disimpan dalam dompet mereka.
“Jika anda menggunakan aplikasi pertukaran wang ini dan memasukkan wang ke dalam e-dompet, pastikan ia mencukupi untuk tujuan tersebut dan jangan terlalu komited dan tinggalkan lebihan wang tunai dalam e-dompet,” katanya.
Encik Lee dari NUS berkata potensi kelemahan untuk pengguna termasuk pergantungan kepada teknologi, yang boleh menimbulkan masalah jika khidmat internet kurang baik.
Pengurup wang fizikal masih mempunyai peranan untuk dimainkan, walaupun mereka perlu mendakapi teknologi untuk terus kekal relevan, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.