Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Apa tugas sebenar kader parti politik di SG?

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Apa tugas sebenar kader parti politik di SG?

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP pada 6 Nov 2022. (Gambar: PAP)

SINGAPURA: Semasa perbicaraan kes ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh kerana didakwa berbohong di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), seorang bekas kader parti dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.

Istilah itu akan sekali lagi menjadi tajuk berita bulan depan, apabila beberapa kader daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) berhimpun untuk sidang parti mereka.

Malah, banyak yang telah dibincangkan di ruang online oleh warganet yang tertanya-tanya tentang tugas sebenar seorang kader.

Empat parti politik terbesar di Singapura - PAP, WP, Parti Kemajuran Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) - kesemuanya mempunyai sistem kader dalam parti masing-masing.

Bagaimana sistem kader ini tercetus?

Menurut Kamus Inggeris Oxford, perkataan "kader" muncul pada sekitar lewat tahun 1700-an.

Ia berasal daripada bahasa Perancis, yang merujuk kepada sekumpulan pegawai tentera yang bertanggungjawab untuk melatih seluruh unitnya.

Pada abad ke-19, kader parti dibangunkan dalam politik Eropah dan mendominasi landskap politiknya, di samping memanfaatkan pilihan raya dan parlimen untuk menggunakan bidang kuasa semasa pergolakan besar sosial dan ekonomi.

Dalam konteks politik, kader adalah individu yang dilatih, biasanya dalam negara sosialis, untuk membantu mencapai matlamat parti dan menyebar serta menguatkuasakan ideologi rasmi.

Misalnya, Kongres Kebangsaan Afrika di Afrika Selatan, yang telah mentadbir sejak aparteid berakhir pada 1994, mengerahkan kader dalam kedudukan strategik di beberapa peringkat pemerintah.

Parti Komunis China pula memiliki sekitar 40 juta kader di merata negara, yang ditempatkan dalam kedudukan dalam parti, negara, tentera, perniagaan dan pertubuhan lain.

Sistem kader diperkenalkan kepada landskap politik Singapura kerana pemimpin terdahulu seperti Lee Kuan Yew dan David Marshall meraih pendidikan di Britain dan terdedah kepada politik di sana, jelas Profesor Madya Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Bilveer Singh.

Mereka kemudian membawa pulang apa yang dipelajari dan menerapkan konsep itu ke dalam sistem Singapura pada tahun 1950-an, kata beliau.

Mengapa struktur kader penting?

Penolong Profesor Elvin Ong dari Jabatan Sains Politik NUS berkata sistem kader membantu sesebuah parti "mengekalkan kesepaduan pertubuhan, dari segi ideologi, ketaatan dan disiplin bagi jangka pertengahan hingga panjang".

"Ia adalah sistem keahlian berperingkat yang mencegah penggulingan secara paksa," kata Profesor Madya Daniel Goh, Provos Madya Pendidikan Siswa NUS dan mantan NCMP dari WP.

"Ia adalah perkara yang baik untuk mengekalkan sedikit kestabilan demi demokrasi bersandarkan parti politik yang bersaing antara satu sama lain bagi meraih undi."

Beliau menarik perhatian, misalnya, sistem kader PAP diperkenalkan pada 1958 selepas berlaku percubaan oleh anggota sayap kiri untuk memegang kuasa parti itu.

WP juga sudah menjadi parti kader sejak ia ditubuhkan pada 1957, kata Profesor Madya Singh.

Penolong Profesor Ong berkata: "Kita mengharapkan pemimpin parti untuk hanya memilih anggota yang yakin dengan misi parti untuk menjadi kader.

"Anggota kader yang dinaikkan pangkat dan diberi hak mengundi, malah, diharapkan menjadi lebih setia kepada parti dan kurang mudah terpengaruh berbanding anggota biasa."

Kader juga perlu bertindak sejajar dengan arahan kepimpinan parti, dan "kurang menukar fikiran berbanding anggota biasa", kata Penolong Profesor Ong.

Ini akan membantu parti menjadi lebih utuh terhadap sebarang halangan semasa pilihan raya dalam jangka pendek dan dapat terus bertakat bagi jangka panjang."

Apa tugas seorang kader?

Anggota kader memiliki hak untuk membuat undian bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Ini bermakna mereka mempunyai kuasa untuk memutuskan siapa yang menyertai badan tertinggi dalam parti.

Mereka juga layak bertanding bagi pemilihan ke dalam CEC.

Semasa sidang parti baru-baru ini pada November 2022, lebih 3,000 kader berhimpun di Pusat Konvensyen Resorts World Sentosa.

Perlembagaan WP juga membenarkan CEC melantik kader, dengan menekankan bahawa anggota itu mesti dilihat sebagai "individu yang wajar".

Persidangan Anggota Kader diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali, di mana kader akan melantik badan eksekutif parti, sambil "dipandu oleh keperluan bagi perwakilan yang rencam".

Sidang khas juga boleh diadakan pada bila-bila masa oleh pengerusi atau anggota CEC, atau "10 peratus keahlian kader atau sekurang-kurangnya 20 anggota kader parti (mana-mana yang lebih tinggi)", jelasnya.

"Seseorang itu perlu menyumbang kepada tujuan tersebut dengan menyertai dan menjadi relawan aktif dalam kegiatan akar umbi parti, kerja-kerja pembangunan parti, menyokong Anggota Parlimen (AP) bagi kerja-kerja di Parlimen dan kempen pilihan raya," kata Profesor Madya Goh.

WP mempunyai sekitar 100 kader, menurut bekas anggotanya. Profesor Madya Goh menganggarkan sekitar sepertiga anggota parti adalah kader.

Dalam SDP, kader dilantik oleh CEC "biasanya dalam kumpulan kecil yang dipilih dengan teliti setiap dua tahun, mengikut putaran Sidang Parti Biasa," menurut seorang jurucakap kepada Mediacorp.

Parti itu kini mempunyai lebih 50 kader, membentuk kira-kira 15 peratus keahlian parti, tambah jurucakap itu.

Tiada senarai rasmi kader yang disediakan bagi mana-mana parti.

"Ia agak dirahsiakan kerana ia mewakili urusan dalaman sesebuah parti," jelas anggota PAP, yang sudah menjadi kader selama sekitar enam tahun.

"Ada kemungkinan seseorang anggota itu tidak tahu seorang lagi anggota adalah kader."

Mereka yang menjadi kader tidak perlu membayar yuran keahlian tambahan.

Bagaimana seseorang itu menjadi kader?

Jurucakap SDP berkata kader parti "biasanya anggota yang sudah lama berkhidmat dengan sumbangan yang disifatkan sebagai berharga kepada kesejahteraan parti itu".

Tiada tempoh tetap bagi seseorang itu menjadi anggota biasa dahulu, tetapi pelantikan itu perlu diluluskan secara sebulat suara oleh CEC, menurut jurucakap itu.

Bagi PAP, tiada "peraturan tetap" untuk layak sebagai kader, "tetapi apa yang dicari oleh parti ialah usaha yang konsisten", jelas seorang kader.

Kader PAP memberitahu Mediacorp bahawa ia biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun bagi seorang anggota untuk menjadi kader.

Bekas anggota WP yang tampil sebagai saksi dalam perbicaraan kes Encik Pritam, Encik Yudhishthra Nathan menjadi anggota selama enam tahun sebelum meninggalkan parti itu pada 2022. Beliau menjadi anggota biasa pada awal tahun 2016, sebelum menjadi seorang kader pada pertengahan tahun yang sama.

Profesor Madya Goh, yang meninggalkan WP pada Mei tahun lalu, berkata tempoh untuk menjadi seorang kader berbeza-beza, kerana ia bergantung kepada sumbangan setiap anggota dan keyakinan CEC, sambil menambah bahawa pelantikan beliau sebagai kader "agak pantas".

Kader PAP itu menjelaskan: "Sekali sekala, akan ada pencalonan bagi keahlian kader, dan pengerusi cawangan dan setiausaha cawangan akan memberi saranan mereka."

Penilaian itu berdasarkan prestasi anggota itu semasa kegiatan cawangan dan parti, seperti kegiatan pilihan raya umum.

PAP secara kerap mengambil masuk kader baharu bagi menyuntik kesegaran dan secara semula jadi menggantikan anggota yang sudah lama berkhidmat, kata kader itu.

"Mana-mana anggota kader yang tidak hadir bagi dua sidang parti secara berturut-turut tanpa notis awal mungkin boleh dibatalkan keahlian kadernya oleh CEC, jelas Perlembagaan PAP.

Anggota itu akan mempunyai peluang untuk menjelaskan ketidakhadirannya kepada CEC. Sekiranya keahlian kadernya dibatalkan, individu itu kembali menjadi anggota biasa, menurutnya.

 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan