Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa perlu pendaki tahu tentang gunung berapi aktif?

Letusan maut baru-baru ini di Gunung Dukono, Indonesia, menyorot risiko mendaki gunung berapi aktif.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 May 2026 10:40AM Dikemas Kini : 24 May 2026 11:01PM
SINGAPURA: Letusan maut baru-baru ini di Gunung Dukono, Indonesia, menyorot risiko mendaki gunung berapi aktif.

Pakar memberitahu Mediacorp bahawa walaupun ekspedisi seperti itu mempunyai risiko tertentu, pendaki masih boleh mengambil langkah berjaga-jaga.

“Jangan takut dengan gunung berapi. Tidak semua gunung berapi sama.

"Ada yang lebih aktif, ada yang kurang aktif … sentiasa buat kajian, buat persediaan dan bertanya,” kata Encik Jeremy Tong, yang mengendalikan syarikat ekspedisi pelancongan JTrace dan sudah mengetuai ekspedisi selama lebih 12 tahun.

Salah satu risiko yang sering dipandang ringan ialah sifat letusan yang tidak dapat dijangka, kata Dr Mirzam Abdurrachman dari Kumpulan Penyelidikan Petrologi, Vulkanologi dan Geokimia di Institut Teknologi Bandung.

Gunung Dukono sudah meletus hampir berterusan sejak 1933, namun ramai pendaki meremehkan betapa cepat keadaan boleh berubah.

Letusan pada Jumaat mengorbankan tiga pendaki, termasuk dua warga Singapura. Tujuh lagi warga Singapura adalah antara 17 orang yang terselamat.

Bahaya gunung berapi bukan hanya lahar, jelas Dr Abdurrachman. Penyedutan abu, batu jatuh, letupan kawah dan lahar (aliran lumpur akibat hujan) selalunya lebih berbahaya.

Sesetengah gunung berapi lebih berisiko bergantung kepada jenis letusan, kekerapan, pelepasan gas dan akses ke kawah.

Angka korban akibat gunung berapi aktif juga pernah tinggi sbeelum ini.

Pada 2023, Gunung Marapi di Indonesia mengorbankan 23 pendaki, manakala letusan di Pulau Whakaari, New Zealand pada 2019 membunuh 22 orang.

Letusan jenis tertentu sangat berbahaya kerana berlaku tanpa amaran jelas.

Letusan freatik - letupan wap secara tiba-tiba - boleh mengejutkan pendaki.

Letupan seperti ini di Gunung Ontake, Jepun pada 2014 mengorbankan 63 pendaki.

Gunung berapi yang mempunyai letusan kecil harian, yang boleh dilihat dari jauh, biasanya kurang berisiko.

“Jika anda tahu ia sedang meletus, anda tidak akan berada terlalu dekat untuk menghadapi risiko,” kata beliau.

Gunung berapi yang tidak menunjukkan tanda aktiviti juga biasanya selamat, bergantung kepada maklumat rasmi.

RAMALAN GUNUNG BERAPI

Langkah terbaik ialah menyemak sumber pemantauan rasmi sebelum mendaki, kata Prof Madya Taisne.

Jika tahap amaran meningkat, pendaki perlu merujuk laman web pihak berkuasa tempatan seperti platform MAGMA dan laman Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi.

Dr Abdurrachman, yang juga setiausaha agung Ikatan Ahli Geologi Indonesia, berkata pendaki perlu memahami bahawa penilaian risiko ini adalah penilaian bahaya berasaskan sains, bukannya sekadar cadangan.

“Status amaran Tahap II atau lebih tinggi tidak bermaksud gunung berapi itu selamat untuk pelancongan; ia bermaksud aktiviti vulkanik meningkat dan kawasan berbahaya mesti dielakkan,” katanya.

Walaupun ramalan gunung berapi sudah bertambah baik sejak beberapa dekad kebelakangan ini, menentukan masa dan skala tepat sesuatu letusan masih amat mencabar, kata Profesor Madya Taisne.

Saintis bergantung kepada gabungan alat pemantauan, termasuk aktiviti seismik, perubahan bentuk permukaan bumi, pelepasan gas dan pemerhatian haba, untuk mengenal pasti perubahan dalam sistem gunung berapi.

“Perubahan boleh berlaku dalam tempoh masa yang berbeza, daripada beberapa jam hingga berhari-hari atau berbulan-bulan,” katanya.

Bagi mereka yang sudah dalam perjalanan ke gunung berapi, tanda amaran termasuk pelepasan gas yang jelas, bau sulfur yang semakin kuat atau gegaran pada tanah.

Encik Vivek Vaidya, pengasas Trekkers@Heart, berkata kumpulan ekspedisi perlu mendapatkan maklumat daripada jurupandu tempatan mengenai sebarang tanda bahaya.

Kesilapan biasa yang dilakukan pendaki ialah mengambil jurupandu tempatan yang tidak bertauliah untuk menjimatkan kos, katanya. Jurupandu tempatan yang berpengalaman dan berpengetahuan mampu mengesan perubahan kecil dalam cuaca, bau atau bunyi yang mungkin menandakan bahaya.

BUAT PERSEDIAAN

Langkah keselamatan bermula jauh sebelum perjalanan, kata jurupandu ekspedisi.

Syarikat Encik Vaidya menjalankan pendakian bulanan di Malaysia dan mingguan di Singapura merentasi pelbagai jenis laluan bagi membina pengalaman sebenar.

“Kami menegaskan bahawa pendaki perlu mengambil serius persediaan fizikal, mental dan peralatan,” katanya.

Cik Joanne Soh, 55 tahun, pengasas Ace Adventure Expeditions, berkongsi sentimen serupa.

Dalam tempoh 30 tahun pengalaman mendaki, beliau sudah mengetuai ekspedisi ke gunung berapi aktif termasuk Gunung Rinjani di Indonesia dan Gunung Fuji di Jepun.

Beliau menasihatkan pendaki supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada penganjur untuk mendapatkan maklumat.

“Setiap pendakian gunung sentiasa mempunyai risiko. Jadi penting untuk kita sebagai individu memahami risiko yang kita ambil, dan sejauh mana kita benar-benar bersedia untuk mencubanya,” katanya.

Yang penting, pendaki mesti bersedia untuk berpatah balik jika keadaan berubah, kata Encik Tong.

“Ada yang berkata, ‘Kami hanya berada di sini sekejap sahaja. Kami belum pernah datang ke sini. Kami mahu cuba sampai ke puncak kerana belum tentu akan datang lagi.’ Pemikiran itu perlu dihapuskan,” katanya.

“Jika zon larangan telah ditetapkan, maka ia mesti dipatuhi sepenuhnya.”
Sumber : CNA/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita