Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa itu Zika dan apakah risikonya terhadap kesihatan?

Pemantauan telah dipertingkatkan di Boon Lay selepas satu kes jangkitan Zika dilaporkan pada Disember 2023, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu Zika dan apakah risikonya terhadap kesihatan?

Nyamuk Aedes aegypti. (Gambar fail: AFP/Miguel SCHINCARIOL)

SINGAPURA: Pemantauan telah dipertingkatkan di Boon Lay selepas satu kes jangkitan Zika dilaporkan pada Disember 2023, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Khamis (22 Feb).

Walaupun tiada kes baharu Zika dilaporkan di kawasan tersebut sejak itu, ujian nyamuk dan air sisa membayangkan berlaku penularan Zika yang berterusan dan pihak berkuasa telah meningkatkan langkah-langkah pencegahan.

Namun apa itu Zika dan bagaimana ia boleh menjejas anda?

APA ITU ZIKA?

Sama seperti denggi, Zika adalah jangkitan virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes.

Menurut MOH, kira-kira 20 peratus orang yang dijangkiti Zika menunjukkan simptom, dan walaupun jangkitan Zika secara amnya ringan, ia boleh menyebabkan komplikasi neurologi atau keabnormalan pada janin.

Tiada vaksin atau penawar terhadap Zika, walaupun gejalanya boleh dirawat.

BAGAIMANA ZIKA BERJANGKIT?

Virus Zika disebarkan kepada orang ramai melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti virus tersebut.

Seekor nyamuk terkena virus tersebut selepas ia menggigit individu yang dijangkiti semasa tempoh virus itu boleh ditemui dalam darah individu tersebut. Ini biasanya semasa minggu pertama jangkitan.

Nyamuk yang dijangkiti kemudian boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain melalui gigitan.

Wanita hamil yang terjangkit juga boleh menularkan virus Zika kepada janinnya semasa kehamilannya. Ini amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kecacatan pada kelahiran bayi tersebut.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, penularan virus Zika melalui susu badan belum disahkan, walaupun ia telah ditemui pada susu badan.

Zika juga boleh disebarkan melalui hubungan seks daripada individu yang terjangkit kepada pasangannya, walaupun individu itu tidak menunjukkan sebarang gejala ketika itu.

APAKAH SIMPTOM-SIMPTOMNYA?

Sebahagian besar individu yang dijangkiti virus Zika tidak mengalami gejala atau hanya akan mengalami gejala ringan. Dalam satu daripada lima kes, mereka mungkin mengalami simptom berikut:

- Demam
- Ruam
- Sakit sendi
- Sakit otot
- Pening kepala
- Konjunktivitis

Simptom-simptom itu lazimnya muncul dalam masa tiga hingga 14 hari selepas mereka digigit oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti, menurut MOH, dan ia boleh bertahan selama empat hingga tujuh hari.

Disebabkan simptom jangkitan Zika lazimnya ringan dan mereka yang dijangkiti tidak jatuh sakit sehingga perlu dibawa ke hospital, ramai orang tidak menyedari bahawa mereka telah dijangkiti virus tersebut, menurut CDC.

APAKAH RISIKO KESIHATAN JANGKITAN ZIKA?

MOH menyatakan buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa wanita hamil lebih cenderung terkena jangkitan Zika.

Namun jangkitan Zika yang berlaku semasa kehamilan boleh menimbulkan kecacatan pada janin seperti mikrosefali.

Bayi yang menghidap mikrosefali lazimnya mempunyai kepala yang berukuran lebih kecil daripada biasa dan otak lebih kecil yang tidak dapat berfungsi dengan betul, menurut CDC.

BAGAIMANA UNTUK CEGAH PENULARAN ZIKA?

Memandangkan Zika sebahagian besarnya menular melalui gigitan nyamuk Aedes, langkah-langkah bagi mencegah denggi dan menghalang pembiakan nyamuk adalah cara paling berkesan bagi menghadkan jangkitan Zika.

MOH menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti membuang air bertakung di rumah dan tempat kerja bagi mencegah pembiakan nyamuk.

Orang ramai juga boleh menggunakan penghalau serangga dan memakai pakaian yang panjang.

Mereka juga boleh tidur dalam kelambu atau di dalam bilik yang dipasang tabir jejaring wayar atau dalam bilik yang berhawa dingin.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita