Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Apa itu virus HMPV yang sedang tular di China? Perlukah anda bimbang?

China sedang menyaksikan lonjakan dalam jumlah kes jangkitan pernafasan, termasuk kes-kes human metapneumovirus (HMPV) yang serupa dengan selesema.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu virus HMPV yang sedang tular di China? Perlukah anda bimbang?

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Jan 2025 11:14AM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 12:42AM
SINGAPURA: China sedang menyaksikan lonjakan dalam jumlah kes jangkitan pernafasan, termasuk kes-kes human metapneumovirus (HMPV) yang serupa dengan selesema.

Ini berlaku di tengah-tengah musim sejuk tahunan di wilayah utara negara itu, terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak berusia 14 tahun dan ke bawah.

Tanpa mendedahkan sebarang perangkaan, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China pada 2 Januari lalu telah melaporkan trend meningkat bagi keseluruhan jangkitan pernafasan yang dicatatkan antara 23 dengan 29 Disember.

Ini menyusuli kenaikan dalam jumlah kes yang dilaporkan pada minggu 16 hingga 22 Disember, menurut pegawai CDC China.

Mereka turut mengumumkan usaha merintis sistem pemantuan bagi "penyakit radang paru-paru yang tidak diketahui sumbernya" iaitu termasuk melakarkan protokol untuk makmal dan agensi-agensi kawalan penyakit mengenal pasti dan mengendalikan kes-kes tersebut.

Gambar dan video yang tular di laman media sosial China menunjukkan orang ramai berkumpul dan beratur panjang di hospital, klinik dan pusat perubatan.
(Gambar: Xiaohongshu)
China kini masih dalam "musim di mana terdapat jumlah tinggi jangkitan pernafasan", menurut CDC China.

Ia turut mengingatkan orang awam supaya mengamalkan langkah-langkah perlindungan seperti memakai pelitup, memastikan mereka mendapatkan jadual vaksinasi terkini dan menjaga kebersihan peribadi.

"Jangkitan pernafasan sering mencapai kemuncaknya pada musim sejuk di hemisfera utara," kata jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning di sidang media di Beijing pada 3 Januari lalu, di mana beliau menjawab soalan mengenai penularan jangkitan pernafasan dan potensi sekatan terhadap perjalanan.

"Jangkitan ini kurang serius dan merebak pada skala lebih kecil berbanding tahun lalu," katanya.

APA ITU HMPV?

HMPV atau human metapneumovirus adalah jangkitan pernafasan dengan simptom serupa dengan selesema biasa.

Ini termasuk batuk, demam, hidung tersumbat dan sesak nafas.

Dalam kes-kes serius, virus itu boleh menimbulkan komplikasi seperti radang paru-paru (pneumonia) atau bronkitis.

"Ia boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan atas dan bawah dalam individu dari semua peringkat usia, terutama sekali kanak-kanak, golongan lebih dewasa dan individu dengan sistem daya imun yang lemah," menurut CDC AS dalam satu makluman kesihatan.

Ia menambah anggaran tempoh inkubasi bagi penyakit itu adalah antara tiga hingga enam hari.

Virus itu juga "paling aktif" pada lewat musim sejuk dan musim bunga di negara-negara beriklim sederhana.

Kanak-kanak kecil, warga emas dan mereka dengan sistem daya keimunan lemah paling mudah terjejas, ia menambah.

Seperti penyakit pernafasan lain seperti COVID-19 dan selesema, virus HMPV merebak melalui:

- Kontak rapat dengan individu yang dijangkiti, seperti menyentuh atau berjabat tangan

- Titisan cecair daripada bersin dan batuk

- Sentuhan pada objek atau permukaan yang mempunyai virus tersebut

MENGAPA JUMLAH KES HMPV MENINGKAT?

Para pakar penyakit berjangkit memberitahu Mediacorp bahawa kenaikan dalam jumlah kes HMPV di China adalah "konsisten dengan trend global", di mana jumlah kes lazimnya meningkat pada lewat musim sejuk.

Lonjakan kes HMPV di China berlaku disebabkan oleh cuaca sejuk yang sedang dialami oleh negara itu dan suhu rendah itu diramalkan berterusan sehingga Mac.

Perunding Kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Paul Tambyah berkata pihak berkuasa kesihatan China telah mempertingkatkan langkah pemantauan jangkitan pernafasan akut menerusi penggunaan teknologi dan diagnostik yang lebih baik.

"Tdak menghairankan apabila lebih banyak kes HMPV dikesan. Ini sering berlaku di China pada setiap musim sejuk, terutama sekali di utara China," kata Profesor Tambyah.

Jika dibandingkan dengan COVID-19, HMPV merebak lebih meluas dalam kalangan kanak-kanak, katanya.

Namun beliau menambah, virus itu boleh memudaratkan keadaan seseorang yang menghidap kondisi kesihatan seperti asma, yang boleh menyebabkan penyakit pernafasan sederhana dan kadangkala memerlukan mereka mendapatkan rawatan di hospital.

"HMPV jarang sekali membawa maut," kata Profesor Tambyah, sambil menambah bahawa kematian berkaitan HMPV sering berlaku apabila virus itu dikesan dengan virus yang lebih serius seperti radang paru-paru.

Namun tidak seperti COVID-19, di mana terdapat vaksin dan rawatan antivirus seperti Paxlovid, tiada rawatan antivirus khusus bagi merawat HMPV dan buat masa ini juga tiada vaksin bagi mencegah penyakit itu walaupun ia dikesan beberapa dekad lalu.

DI MANA HMPV TURUT MEREBAK?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi menggolongkan HMPV sebagai kecemasan kesihatan global namun beberapa negara di benua Asia di tahap berjaga-jaga dan sedang memantau jumlah kes serta menggesa orang ramai supaya berwaspada dan menjaga kebersihan.

Di Asia Tenggara, negara-negara seperti Malaysia, Kemboja dan Vietnam telah mengeluarkan makluman kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 327 kes HMPV pada 2024, iaitu kenaikan 45 peratus daripada 225 kes pada 2023.

Pada Ahad (5 Jan), Vietnam mengumumkan ia sedang memantau situasi di tengah-tengah penularan 'virus radang paru-paru dalam kalangan manusia' di tanah besar China.

Di Singapura, "HMPV sudah lama dikenal pasti," kata Profesor Tambyah.

"Sebenarnya, ia dilaporkan sebagai penyakit pernafasan kedua yang paling kerap dijangkiti kanak-kanak, selepas virus sinsitial respiratori (RSV), hampir 20 tahun lalu."

Mediacorp sudah pun menghubungi Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengetahui lanjut mengenai situasi HMPV sedia ada di negara ini.

BAGAIMANA KITA BOLEH LINDUNGI DIRI?

Kenaikan dalam jumlah kes HMPV berlaku lima tahun selepas seluruh dunia pertama kali dimaklumkan mengenai kemunculan virus korona di Wuhan, China di mana ia menjadi satu pandemik global.

Di Singapura, pengajaran yang diraih daripada pandemik COVID-19, seperti sistem pemantauan lebih baik hingga ke amalan kebersihan peribadi seperti membasuh tangan dengan betul dan memakai pelitup di tempat-tempat sibuk, dapat membantu diri kita," kata Dr Khoo dari Duke-NUS.

Memandangkan kebanyakan jangkitan HMPV berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil, Profesor Tambyah menasihati keluarga yang pergi bercuti sambil membawa anak-anak kecil supaya berhati-hati.

"Jika rakyat Singapura membawa anak-anak kecil untuk bercuti, mereka perlu mengawasi bagi sebarang jangkitan pernafasan yang kelihatan berpanjangan atau lebih teruk daripada biasa dan segera mendapatkan rawatan perubatan."

"Sistem pemantauan kita juga berupaya mengesan sebarang kes dalam negara jika ada dan kami telah mengikuti perkembangan data pemantauan global bagi penyakit berjangkit," kata Dr Khoo.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan