Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa itu perlindungan suaka dan siapa layak dapatkannya?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu perlindungan suaka dan siapa layak dapatkannya?

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 24 Oct 2024 08:46AM Dikemas Kini : 24 Oct 2024 11:27AM
SINGAPURA: Anak bongsu mendiang Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew pada Selasa (22 Okt) berkata beliau sudah memohon perlindungan suaka di Britain pada 2022 dan kini merupakan seorang pelarian politik.

Encik Lee Hsien Yang, adik lelaki mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, meninggalkan Singapura bersama isterinya Lee Suet Fern pada tahun yang sama, selepas tidak menghadiri soal siasat polis berhubung kemungkinan kesalahan-kesalahan memberi keterangan palsu dalam prosiding mahkamah berkait wasiat bapanya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, para jurucakap dari Pejabat Dalam Negeri Britain dan Suruhanjaya Tinggi Britain di Singapura berkata ia merupakan dasar kerajaan "yang sudah lama wujud" untuk tidak mengulas mengenai pertanyaan berkait individu dan suaka.

APA ITU PERLINDUNGAN SUAKA?

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat pertengahan 2024, terdapat hampir lapan juta pemohon suaka di merata dunia, dengan lebih 128,000 membuat permohonan tersebut di Britain.

Laman kerajaan Britain menyatakan bahawa seseorang boleh memohon perlindungan suaka di negara lain jika mereka bimbang dianiaya atau tidak berasa selamat dan merasakan nyawa mereka dalam bahaya di negara sendiri.

Pemohon akan kekal sebagai rakyat negara asal mereka.

Suaka tidak akan diluluskan dengan serta-merta, tetapi seorang pemohon mesti memohon suaka untuk terus menetap di negara itu sebagai pelarian, menurut kerajaan Britain.

Ia menambah bahawa seseorang yang memohon suaka di sana dinasihatkan supaya segera membuat permohonan sebaik sahaja tiba atau sebaik sahaja mereka berasa tidak selamat untuk pulang ke tanah air mereka. Permohonan boleh ditolak jika pemohon menunggu terlalu lama.
APA KRITERIA & PROSES PERMOHONAN?

Menurut kerajaan Britain, rasa takut dianiaya mestilah berdasarkan faktor-faktor seperti kaum, agama, kerakyatan, pandangan politik atau lain-lain seperti kecenderungan seksual atau keadaan politik negara pemohon.

Pemohon juga mesti sudah memfailkan perlindungan daripada pemerintah negara masing-masing terlebih dahulu.

Pemohon suaka yang baru tiba di Britain perlu memaklumkan kepada para pegawai sempadan bahawa mereka berniat untuk memohon suaka.

Mereka mesti mendaftar dengan menghubungi talian janji temu, di mana mereka akan ditanya soalan-soalan mudah tentang diri dan keluarga mereka, dan sama ada mereka memerlukan bantuan untuk mencari tempat penginapan.

Semasa janji temu itu, mereka akan ditanya tentang latar belakang dan mengapa mereka memohon suaka.

Cap jari dan gambar mereka akan diambil; dan mereka mesti menyediakan maklumat perubatan yang diperlukan, menurut kerajaan Britain.

Tiga senario boleh berlaku selepas itu.

Pertama, jika pemohon suaka lulus pemeriksaan tersebut, mereka akan dipanggil untuk menghadiri satu lagi janji temu untuk menjelaskan dengan lebih lanjut apakah punca penganiayaan ke atas mereka dan mengapa mereka takut untuk pulang ke tanah air. Seorang peguam boleh turut hadir di sesi tersebut.

Seseorang yang diberikan status pelarian perlu tinggal di Britain bagi tempoh minimum selama lima tahun. Tanggungan mereka akan dapat tinggal di negara itu bagi tempoh yang sama.

Selepas lima tahun, pelarian dan tanggungan mereka dibolehkan memohon apa yang dipanggil kebenaran untuk terus tinggal di sana tanpa had. Ini memberikan pelarian hak untuk menetap, bekerja dan belajar di Britain selama mana mereka mahu. Pelarian juga akan dapat memohon kerakyatan Britain.

Kedua, bagi sesetengah kes, seorang pemohon suaka diberikan status perlindungan tanpa perlu menjalani janji temu. Ini berlaku apabila terdapat cukup bukti daripada pemeriksaan dan jawapan kepada soalan-soalan yang diberikan, jika mereka memfailkan permohonan terlebih dahulu.

Ketiga, pemohon suaka juga boleh ditempatkan di sebuah pusat imigresen sementara menunggu keputusan permohonan mereka.

Mereka kemudian sama ada akan dilepaskan untuk terus tinggal di Britain atau ditahan dan diusir dari negara itu. Mereka juga mungkin dipaksa untuk meninggalkan Britain jika negara lain menawarkan suaka.

APA HAK PEMOHON SUAKA?

Pemohon suaka dibenarkan membawa pasangan dan anak-anak yang berusia bawah 18 tahun sebagai tanggungan jika mereka berada di Britain juga, dan mereka boleh terus tinggal di sana sepanjang tempoh yang sama dengan pemohon. Namun mereka tidak akan diberikan status pelarian kecuali jika mereka sendiri memohon suaka.

Jika tidak diberikan kebenaran, pemohon suaka tidak dibenarkan bekerja sementara menunggu keputusan permohonan mereka, menurut kerajaan Britain.

Untuk menyokong mereka, penginapan akan disediakan namun ia mungkin bukan di kawasan seperti London. Setiap orang dalam keluarga itu akan menerima £49.18 (S$85) seminggu, tetapi hanya £8.86 (S$15) jika penginapan mereka menyediakan makanan.

Pemohon suaka juga ditempatkan di bawah sistem Khidmat Kesihatan Nasional (NHS) Britain dan mendapat ubat, khidmat pergigian dan ujian mata secara percuma.

Anak-anak pemohon yang berusia lima hingga 17 tahun mesti bersekolah, di mana mereka juga mungkin mendapat makanan percuma.

APA PENDIRIAN SG TERHADAP PERLINDUNGAN SUAKA?

Terdapat 322 pemohon suaka rakyat Singapura setakat pertengahan 2024, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Profesor Madya Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan, memberitahu Mediacorp "tiada apa" yang melarang rakyat Singapura daripada memohon suaka di negara lain. "Ia bukan satu kesalahan untuk rakyat Singapura melakukan demikian."

Sebagai perbandingan, Singapura "secara amnya tidak menawarkan suaka", kata beliau.

"Sebagai sebuah negara kecil, Singapura bukan dalam kedudukan untuk menerima mana-mana individu yang mahukan status pelarian atau suaka, tidak kira apa pun latar belakang mereka."

Encik Lee Hsien Yang pada Selasa (22 Okt) berkata beliau masih rakyat Singapura dan berharap "suatu hari nanti dapat selamat pulang ke tanah air".

Perlembagaan Singapura menyatakan "tiada rakyat Singapura yang akan diusir atau dikecualikan daripada Singapura", kata Profesor Tan.

Rakyat Singapura lain yang memohon suaka sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk peguam dan mantan pengerusi Parti Reform Charles Yeo, yang pada 2022 berkata beliau "memohon suaka politik" di Britain selepas mendakwa bahawa tuduhan jenayah ke atasnya "bermotif politik".

Bekas penulis blog dan pesalah seks Amos yee, memohon suaka di Amerika Syarikat pada 2016 dan diluluskan pada tahun selepas itu.

Beberapa dekad yang lalu, bekas ketua kesatuan pelajar Tan Wah Piow pada 1976 juga memohon suaka - dan diluluskan - di Britain. Dia melarikan diri dari Singapura selepas disabit kesalahan dalam kes rusuhan, dan kemudian dituduh oleh pihak berkuasa Singapura mendalangi pakatan untuk menggulingkan pemerintah pada 1987.

Kerakyatannya dibatalkan pada tahun yang sama.

Encik Rajan Supramanian, seorang peguam kanan jenayah di Regent Law yang mengendalikan kes sedemikian, berkata kerakyatan seseorang warga Singapura hanya akan dibatalkan bagi kes-kes kegiatan jenayah yang bersifat prejudis terhadap keselamatan awam, keamanan dan ketenteraman negara.

Sekalipun demikian, ia jarang dilaksanakan, kata beliau.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita