Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa itu pemandulan kimia dan bolehkah ia kurangkan jenayah seks?

Menteri Kanan merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyatakan Singapura terbuka untuk menimbangkan pemandulan kimia sebagai langkah menangani jenayah seks.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu pemandulan kimia dan bolehkah ia kurangkan jenayah seks?

Seorang petugas perubatan menyediakan picagari untuk suntikan. (Gambar fail: iStock/ipopba)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 12:04AM
  • K Shanmugam menyatakan Singapura terbuka menimbangkan pemandulan kimia untuk menangani jenayah seks, namun hanya jika bukti keberkesanannya jelas.
  • Pemandulan kimia melibatkan penggunaan ubat untuk mengurangkan hormon seks, dan telah digunakan di beberapa negara seperti Korea Selatan, Indonesia, dan Kazakhstan terhadap pesalah seks tertentu.
  • Keberkesanan langkah ini masih diperdebatkan, dengan kajian menunjukkan hasil bercampur dan pakar seperti Paul Cheong menegaskan tiada bukti muktamad.
  • Isu etika dan kesan sampingan turut menjadi kebimbangan, dan Singapura belum membuat keputusan untuk melaksanakannya tanpa bukti kukuh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menteri Kanan merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyatakan Singapura terbuka untuk menimbangkan pemandulan kimia sebagai langkah menangani jenayah seks.

Namun, beliau menegaskan langkah itu hanya akan dipertimbangkan jika terdapat bukti jelas bahawa ia berkesan mengurangkan jenayah.

Setakat ini, bukti mengenai keberkesanan pemandulan kimia dalam mengurangkan kesalahan berulang masih tidak muktamad.

APA ITU PEMANDULAN KIMIA?

Pemandulan kimia melibatkan penggunaan ubat untuk mengurangkan penghasilan atau kesan hormon seks seperti testosteron, sekali gus boleh mengurangkan dorongan seksual.

Rawatan itu lazimnya boleh dipulihkan, meskipun terdapat kes terpencil apabila kesannya kekal.

Dalam sekitaran perubatan, pemandulan kimia juga dikenali sebagai terapi hormon. Ia digunakan bagi merawat sesetengah kes barah prostat dan barah payudara dengan mengurangkan penghasilan atau kesan hormon yang boleh merangsang pertumbuhan ketumbuhan.

Rawatan tersebut turut digunakan bagi sesetengah pesakit barah prostat di Singapura.

Sesetengah negara pula menggunakan pemandulan kimia terhadap pesalah seks yang sabit kesalahan bagi mengurangkan risiko mereka melakukan kesalahan berulang.

Jangkaannya ialah pengurangan dorongan seksual dapat membantu sesetengah pesalah mengawal keinginan seksual yang sukar dikawal atau berlebihan.

BAGAIMANAKAH NEGARA LAIN MENGGUNAKANNYA?

Korea Selatan, Indonesia dan Kazakhstan mempunyai undang-undang yang membenarkan pemandulan kimia secara wajib bagi pesalah seks tertentu.

Korea Selatan menjadi negara pertama di Asia yang memperkenalkan langkah itu pada 2011 bagi pesalah seks tertentu yang sabit kesalahan terhadap mangsa bawah umur.

Indonesia membenarkan pemandulan kimia bagi sesetengah pelaku keganasan seksual terhadap kanak-kanak, untuk tempoh maksimum dua tahun. Ia tertakluk kepada penilaian klinikal dan disertakan dengan pemulihan.

Di Eropah, Poland membenarkan pemandulan kimia secara wajib dalam kes tertentu, manakala Denmark, Jerman dan Sweden membenarkannya secara sukarela.

Sekurang-kurangnya tujuh wilayah di Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang membenarkan pemandulan kimia.

Thailand pula membenarkan pesalah seks tertentu yang berisiko melakukan kesalahan berulang memilih sama ada mahu menjalani pemandulan kimia. Keputusan itu boleh diambil kira dalam pertimbangan bagi pengurangan hukuman atau parol.

ADAKAH LANGKAH INI BERKESAN?

Pemandulan kimia boleh mengurangkan paras testosteron dan dorongan seksual.

Namun, sama ada kesan biologi itu secara konsisten mengurangkan jenayah seks atau risiko kesalahan berulang masih belum dapat dipastikan.

Sesetengah kajian menunjukkan pemandulan kimia boleh mengurangkan kesalahan berulang. Namun, dapatan individu tidak bermakna bukti keseluruhan sudah muktamad.

Pensyarah kanan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Paul Cheong, berkata tiada bukti muktamad bahawa pengurangan paras testosteron dapat mengurangkan kecenderungan melakukan kesalahan seks atau kesalahan berulang dalam kalangan pesalah seks yang sabit kesalahan.

Tidak semua jenayah seks berpunca terutamanya daripada dorongan seksual. Ada yang melibatkan keinginan untuk menguasai atau mengawal mangsa.

Pengkritik juga mempersoalkan etika pemandulan kimia secara wajib, memandangkan ubat yang digunakan boleh membawa kesan sampingan seperti kemurungan, penyakit jantung, kelemahan tulang dan pengurangan jisim otot.

Terdapat kemungkinan bahawa dorongan seksual juga boleh meningkat semula selepas rawatan dihentikan.

Oleh itu, campur tangan psikologi mungkin diperlukan untuk menangani punca lain yang mendorong seseorang melakukan kesalahan.

Singapura belum membuat keputusan untuk melaksanakan pemandulan kimia.

Sebarang pertimbangan hanya akan dibuat jika terdapat bukti jelas bahawa langkah itu berkesan mengurangkan jenayah seks.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita