jelasBERITA: Apa itu etomidate? Mengapa SG mahu senaraikan sebagai dadah terlarang?
Agen anestetik yang ditemui dalam vape tidak lama lagi akan disenaraikan oleh Singapura sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Ahad (20 Jul).
Pelbagai jenis vape dipaparkan di sebuah kedai di Johor Bahru, Malaysia pada 26 November 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
This audio is generated by an AI tool.
Bahan itu yang dikenali sebagai etomidate, ditemui semasa ujian rawak baru-baru ini dalam sepertiga daripada lebih 100 vape yang dirampas oleh pihak berkuasa.
Produk-produk vape yang dibubuh etomidate dikenali sebagai K-pod.
Penggunaan vape, terutama sekali yang mengandungi etomidate, semakin meningkat, kata Encik Ong.
Pengewap elektronik dilarang dan dikawal di bawah Akta Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan).
"Namun kini pengewap elektronik tidak lagi hanya digunakan untuk pengambilan nikotin, tambah Encik Ong.
"Ia digunakan untuk menyampaikan pelbagai jenis bahan dan apa yang kita saksikan adalah pengambilan etomidate. Ini satu masalah serius."
Encik Ong memberi amaran pengambilan etomidate "sangat membinasakan" dan menggesa mereka yang menggunakan vape yang mengandungi etomidate supaya hentikan penggunaannya sebelum mereka "dibawa ke muka pengadilan".
APAKAH ITU ETOMIDATE?
Etomidate adalah agen yang bertindak dalam masa singkat yang diambil menerusi urat sebagai ubat penenang bagi para pesakit yang menjalani pembedahan.
Ia juga digunakan dalam proses perubatan tertentu sebagai intubasi.
Profesor Madya Adjung Puah Ser Hon dari Hospital Tan Tock Seng menjelaskan: "Ia bertindak pantas. Ia tidak begitu menjejas tekanan darah dan ia adalah agen yang agak stabil."
Namun, ini berlaku dalam konteks perubatan, di mana etomidate digunakan mengikut dos yang terkawal dan dipantau oleh para doktor dan jururawat terlatih, kata perunding kanan itu.
Profesor Madya Adjung Puah adalah ketua jabatan pernafasan dan perubatan jagaan kritikal di hospital itu.
APAKAH KESANNYA?
Apabila digunakan di luar sekitaran perubatan terkawal, etomidate "sangat berbahaya".
Dr Lee Chuen Peng, seorang pakar pernafasan dari klinik swasta The Respiratory Practice berkata penggunaan vape secara umumnya boleh menyebabkan kondisi dikenali sebagai EVALI, iaitu singkatan bagi kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan produk vape atau e-rokok.
Bagi mereka yang mengalami semput, pendedahan kepada vape boleh menyebabkan mereka mengalami serangan asma, yang boleh mengancam nyawa.
Namun, etomidate lazimnya diketahui berupaya menutup kelenjar adrenal, kata Dr Lee.
"Ia boleh menutup kelenjar adrenal anda, yang penting bagi menghasilkan hormon-hormon tekanan tertentu seperti kortisol.
"Proses ini boleh berterusan selama beberapa hari dan menyebabkan tubuh anda tidak dapat menangani tekanan."
BAHAYA JANGKA PANJANG
Penggunaan berterusan etomidate boleh menjejas keupayaan kelenjar adrenal menghasilkan hormon sebagai tindak balas kepada tekanan.
"Ia menjadi kitaran yang tidak henti," kata Dr Tan Sheng Neng, seorang pakar psikiatri perunding kanan dari The Safety Net.
Profesor Madya Adjung Puah berkata ia masih terlalu awal untuk menentukan kesan penggunaan jangka panjang etomidate tetapi apa yang mereka saksikan sekarang "sudah pun membimbangkan".
Walaupun tanpa etomidate, penggunaan vape dan nikotin boleh membantutkan pertumbuhan otak dan menjejas keupayaan dalam memberi perhatian (attention issues).
BAGAIMANA ATASI KETAGIHAN ETOMIDATE?
Dr Munidasa Winslow, seorang pakar psikiatri perunding kanan di klinik Promises Healthcare berkata individu yang mengambil etomidate perlu tahu bahawa mereka boleh mendapatkan bantuan dan mengatasi ketagihan itu.
"Pengambilan bahan terlarang jarang sekali mengenai dadah itu sahaja. Ia sering kali terikat dengan faktor emosi dan psikologi yang lebih mendalam," katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan bantuan boleh meluahkan perasaan kepada individu yang dipercayai terlebih dahulu.
Selepas itu, mereka perlu mendapatkan bantuan seorang karyawan jagaan kesihatan yang bertauliah.
"Elakkan daripada berhenti mendadak secara bersendirian," katanya.
Etomidate adalah ubat penenang yang kuat dan penyalahgunaannya boleh menyebabkan kesan berpotensi berbahaya dan tidak diramalkan.
Bergantung kepada berapa kerap ia digunakan, usaha berhenti secara tiba-tiba boleh mencetus gejala 'withdrawal' dan meningkatkan risiko mereka berbalik ke pengambilan bahan terlarang itu.
APAKAH YANG DILAKUKAN OLEH BIDANG KUASA LAIN?
Di Asia, beberapa pemerintah meningkatkan tahap penguatkuasaan berhubung etomidate.
Pihak berkuasa di China secara rasmi meletakkan etomidate di bawah kawalan pada Oktober 2023, menurut Pejabat Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China.
Baru-baru ini, Hong Kong mengklasifikasikan etomidate di bawah Ordinan Dadah Berbahaya pada Februari lalu.
Di bawah ordinan itu, sesiapa didapati memiliki atau mengambil bahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan denda HK$1 juta (S$163,400).
BAGAIMANA LANGKAH SG LENGKAPI PENDEKATAN KESELURUHANNYA TERHADAP VAPE, DADAH?
Penolong Profesor Yvette van der Eijk dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata dengan meletakkan etomidate sebagai dadah terlarang, ia akan memberi pihak berkuasa lebih banyak kuasa untuk mengawal penyalahgunaannya dalam peranti vape.
Di Singapura, mereka yang didapati bersalah membeli, menggunakan dan memiliki vape, atau pengewap elektronik, kini dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan mereka boleh dikenakan denda sehingga S$2,000.
Etomidate adalah bahan terkawal di bawah Akta Racun.
Namun, sebaik sahaja ia disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, individu yang mengambil bahan itu diberi layanan "serupa" dengan mereka yang mengambil dadah dan narkotik seperti ganja dan kokain, kata Encik Ong.
Ini bermakna sesiapa yang didapati mengambil etomidate akan tertakluk kepada pengawasan, perlu menjalani pemulihan wajib dan mungkin dimasukkkan ke pusat pemulihan dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.