Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa itu belas kasihan kehakiman?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Apa itu belas kasihan kehakiman?

Ng Beng Seng meninggalkan Mahkamah Negara selepas mengaku bersalah pada 4 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 04 Aug 2025 09:51PM Dikemas Kini : 04 Aug 2025 09:52PM
SINGAPURA: Hartawan hartanah Ong Beng Seng mengaku bersalah pada Isnin (4 Ogos) atas tuduhan bersubahat dengan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran dalam menghalang proses keadilan.

Satu lagi tuduhan kerana menghasut Iswaran untuk memperoleh penerbangan dan penginapan hotel daripada Ong akan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan, yang sudah ditangguhkan ke 15 Ogos.

Pihak pendakwa dan pembela kedua-duanya memohon agar mahkamah menggunakan belas kasihan kehakiman dan hanya mengenakan denda, mengambil kira apa yang digambarkan oleh peguam Ong sebagai "gabungan masalah kesihatan yang dahsyat".

APA ITU BELAS KASIHAN KEHAKIMAN?

Ia adalah satu langkah luar biasa, di mana hukuman terhadap seseorang tertuduh diringankan atas dasar peri kemanusiaan, kata peguam jenayah Adrian Wee dari Lighthouse Law.

Beliau berkata faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menerapkan belas kasihan kehakiman termasuk tahap keseriusan jenayah dan juga risiko untuk mengulangi kesalahan.

“Akhirnya ia adalah satu proses yang menyeimbangkan antara keperluan untuk menghukum pesalah dan risiko yang dihadapi individu itu, contohnya seseorang yang menghidap penyakit teruk,” kata Encik Wee.

Cik Joyce Khoo dari syarikat Quahe Woo & Palmer menggambarkan belas kasihan kehakiman sebagai pengurangan hukuman berdasarkan keadaan peribadi pesalah.

“Mahkamah akan mengambil kira keadaan luar biasa pesalah dan mengurangkan hukuman untuk mencerminkan peri kemanusiaan mahkamah dan masyarakat terhadap penderitaan pesalah,” katanya.

Encik Sanjiv Vaswani dari Vaswani Law Chambers pula mentakrifkannya sebagai kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih ringan berdasarkan faktor yang luar biasa.

Dalam melaksanakan belas kasihan kehakiman, mahkamah “pada dasarnya menggantikan tahap kesalahan pesalah sebagai pertimbangan utama dengan pertimbangan kemanusiaan,” tambah beliau.

Dalam kes Ong, mahkamah diberitahu bagaimana barah merosakkan sistem rangka beliau dan melemahkan sistem imun secara serius, menjadikannya terdedah kepada jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

Beliau juga mengalami komplikasi yang boleh memburukkan lagi risiko jangkitan dan gangren.

Peguamnya Cavinder Bull berkata risiko jangkitan bagi Ong akan meningkat di dalam penjara kerana pergerakan manusia, yang seterusnya meningkatkan risiko kematian.

Sebaliknya, persekitaran rumah Ong lebih terkawal, dan beliau mempunyai akses kepada kakitangan perubatan yang merawatnya selama bertahun-tahun.

BAGAIMANA IA BERBEZA DARIPADA FAKTOR YANG RINGANKAN HUKUMAN?

Cik Khoo berkata mahkamah hanya menimbangkan sama ada belas kasihan kehakiman wajar digunakan selepas semua faktor pengurangan hukuman dinilai, dan hukuman ditentukan.

Jika dilaksanakan, hukuman akhir akan diringankan untuk mencerminkan simpati mahkamah terhadap pesalah.

Peguam Chooi Jing Yen, yang mengendalikan syarikat guamannya sendiri, berkata setiap orang berhak untuk mengemukakan faktor pengurangan hukuman apabila mengaku bersalah, tetapi tidak semua orang berhak mendapat belas kasihan kehakiman.

Peguam jenayah veteran Ramesh Tiwary berkata belas kasihan kehakiman adalah “lebih daripada sekadar faktor pengurangan hukuman kerana ia mengubah tumpuan hukuman kepada keadaan kesihatan,” dan bukannya semata-mata bersifat menghukum.

Peguam Mark Yeo dari Fortress Law berkata tujuan menggunakan masalah kesihatan sebagai faktor pengurangan hukuman adalah untuk meyakinkan mahkamah bahawa tempoh hukuman penjara yang panjang akan memberi kesan tidak seimbang kepada pesalah berbanding seseorang yang tidak mempunyai keadaan kesihatan yang sama.

MENGAPA TETAP DIDAKWA JIKA BELAS KASIHAN KEHAKIMAN DIBERIKAN?

Walaupun keputusan untuk mendakwa adalah hak mutlak pihak pendakwa, beberapa peguam memberi pandangan mereka.

Cik Khoo berkata mensabit seseorang pesalah menunjukkan bahawa mereka bersalah.

Hanya disebabkan belas kasihan kehakiman digunakan tidak bermaksud pesalah itu tidak bersalah atau tidak bertanggungjawab.

Encik Chooi pula menyatakan ia mungkin bertindak sebagai "kesan isyarat" dalam bentuk mesej pencegahan kepada orang awam.

Beliau juga berkata bahawa jika mahkamah melaksanakan belas kasihan kehakiman, ia tetap tidak boleh melangkaui batas perundangan atau dalam kes hukuman wajib.

Ini bermaksud bahawa jika satu kesalahan mempunyai hukuman penjara minimum wajib, atau perlu dihukum mati - seperti dalam kesalahan berat melibatkan pembunuhan dan penyeludupan dadah - maka hukuman itu mesti dijatuhkan.

Dalam kes Ong, kesalahan bersubahat dalam menghalang proses keadilan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya.

Walaupun kedua-dua pihak pendakwa dan pembelaan memohon agar belas kasihan kehakiman dilaksanakan, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada ingin berbuat demikian.

Kesemua peguam memberitahu Mediacorp bahawa pelaksanaan belas kasihan kehakiman adalah sesuatu yang “amat jarang” berlaku di Singapura.

Encik Tiwary berkata: “Tertuduh mestilah menghidap penyakit yang boleh mengancam nyawa dalam persekitaran penjara.”

Encik Chooi berkata tahap untuk menggunakannya adalah “amat tinggi” dan hanya digunakan dalam kes yang sangat luar biasa, lazimnya atas dasar kesihatan.
 
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita