Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Apa berlaku beberapa saat sebelum gelora udara dahsyat landa SQ321 pada 2024?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 May 2026 11:41PM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 12:28PM
SINGAPURA: Dalam tempoh kurang satu saat saja, daya graviti dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 berubah dengan begitu mendadak sehingga penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke udara.

Dalam tempoh empat saat berikutnya pula, satu lagi perubahan pantas daya graviti menyebabkan mereka terhempas kembali ke tempat duduk dan lantai pesawat.
Apa yang sebenarnya berlaku dalam beberapa minit sebelum dan selepas detik-detik tersebut kini dibentangkan dalam laporan muktamad itu yang dikemukakan oleh Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB).

7:30 pagi Waktu Selaras Sejagat (UTC) atau 3.30 petang waktu Singapura: Pesawat itu sedang terbang pada ketinggian 37,000 kaki ketika menghampiri pantai barat Myanmar di bahagian barat daya negara itu. Anak kapal penerbangan sedang menyediakan hidangan sarapan, manakala para penumpang sedang dibangunkan.

Tiada paparan radar cuaca muncul pada skrin navigasi anak kapal penerbangan, dan mereka mendapati laluan penerbangan di hadapan bebas daripada awan, dengan hanya awan tinggi kelihatan di kejauhan.

7:44 pagi UTC: Anak kapal penerbangan menghubungi kawalan trafik udara Yangon untuk meminta sedikit perubahan dalam laluan, atas alasan cuaca - meskipun TSIB menyatakan ini adalah langkah taktikal dan bukannya kebimbangan sebenar.

“(Faktor) cuaca digunakan sebagai alasan untuk meningkatkan kemungkinan (kawalan trafik udara) meluluskan permintaan mereka bagi laluan langsung,” menurut laporan itu.

Kawalan trafik udara Yangon menawarkan laluan alternatif, yang diterima oleh anak kapal.

7:45 pagi UTC: Anak kapal penerbangan menyesuaikan jarak paparan navigasi mereka bagi perancangan laluan penerbangan. Seorang juruterbang berkata tiada penunjuk cuaca, dan langkah penyesuaian yang diambil itu adalah rutin. Perakam suara kokpit tidak merakam sebarang perbincangan tentang cuaca dalam kalangan juruterbang itu.

7:49:23 pagi UTC: SQ321 mula mengalami gelora udara, dengan pecutan menegak (vertical accelerations) antara +0.44G hingga +1.57G selama 17 saat.

Seorang juruterbang menyedari kelajuan pesawat meningkat menghampiri julat laju melebihi had, lalu memaklumkan rakan setugasnya dan mengaktifkan brek kelajuan. Seorang lagi juruterbang mengurangkan kelajuan daripada Mach 0.84 kepada Mach 0.82 - iaitu kelajuan yang diperlukan ketika melalui gelora udara bagi mengelakkan pesawat melebihi had reka bentuk strukturnya.

Beliau turut menyalakan isyarat tali pinggang keledar sambil menyebut “seat belt on”. Tiada masa untuk membuat pengumuman kepada kabin.

Meter altitud pesawat merekodkan peningkatan ketinggian, dan 'autopilot' menundukkan muncung pesawat bagi mengekalkan paras 37,000 kaki, namun pesawat itu terus naik ke ketinggian 37,362 kaki.

7:49:40 pagi UTC: Gelora udara dahsyat melanda. Pecutan menegak jatuh daripada +1.35G kepada -1.5G dalam masa 0.6 saat, kemudian melonjak kembali kepada +1.5G dalam empat saat berikutnya.

Sistem amaran diaktifkan seketika. Anak kapal penerbangan mematikan 'autopilot' dan menerbang secara manual selama 21 saat untuk menstabilkan pesawat, sebelum menghidupkan semula 'autopilot' pada 7:50:05 pagi UTC.

7:51 pagi UTC: Kawasan di luar pesawat kelihatan jelas. Perakam suara kokpit merakam juruterbang utama berkata: "Kenapa tiba-tiba… biar saya keluarkan ini dan lihat." ("How come suddenly … let me remove this and see") - tetapi tiada perbincangan lanjut mengenai apa yang dilihatnya.

TSIB menjelaskan juruterbang itu terkejut dengan berlakunya gelora udara secara tiba-tiba, dan mengeluarkan pelindung cahaya matahari untuk melihat ke luar tingkap.

7:53 pagi UTC: Juruterbang utama berkata: "Kita terlanggar sesuatu, tetapi saya sudah berada pada MAX … saya sudah pada MAX, saya tak nampak apa-apa di sini." ("We hit something, but I was on MAX … I was on MAX, I don't see anything here") – merujuk kepada tetapan gandaan radar cuacanya.

Kedua-dua juruterbang itu melaporkan tidak melihat awan di luar, dan kedua-dua paparan navigasi tidak menunjukkan penunjuk cuaca.

Selepas pesawat stabil dan gelora udara reda, juruterbang yang lain berkata: “Okay, kita sudah melepasi kawasan itu … Cuaca pun okay. ("Okay we are clear already … The weather is okay.")

Juruterbang ketua bersetuju: "Sekarang memang agak jelas." ("Quite clear now.")

Anak kapal penerbangan kemudian memaklumkan kokpit tentang pelbagai kecederaan yang berlaku di kabin tersebut.

7:55 pagi UTC: Anak kapal penerbangan melaporkan gelora udara dahsyat itu kepada kawalan trafik udara Yangon dan bertanya sama ada pesawat lain turut membuat laporan serupa. Namun, tiada sebarang laporan diterima.

Pegawai kanan pertama, yang ketika itu sedang berehat di ruang rehat kru, segera menuju ke kokpit. Dalam perjalanan, beliau melihat troli perkhidmatan terbalik, peralatan hidangan rosak serta seorang anak kapal yang cedera sedang diberi rawatan.

8:01 pagi UTC: Anak kapal penerbangan mengisytiharkan kecemasan (Mayday) dan meminta lencongan ke Bangkok.

8:06 pagi UTC: Kawalan trafik udara Yangon mengarahkan pesawat menurunkan altitud dari 37,000 kaki ke 31,000 kaki.

Semasa penurunan altitud, juruterbang utama melihat awan altostratus - sejenis lapisan awan kelabu atau kebiruan - serta awan kumulus di hadapan. Namun, paparan navigasi masih tidak menunjukkan sebarang penunjuk cuaca.

Menurut mereka, hanya selepas pesawat turun di bawah paras 31,000 kaki barulah penunjuk cuaca muncul pada paparan.

8:45 pagi UTC: SQ321 mendarat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok. Pesawat itu tiba di ruang meletak pesawat yang ditetapkan kira-kira lima minit kemudian, di mana kakitangan perubatan sudah menunggu. Mereka yang cedera diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita