jelasBERITA: Apa anda perlu tahu tentang kesesakan, pemeriksaan keselamatan NDP2025
Bersiap sedia untuk meredah 'samudera' penduduk dan rakyat Singapura yang berpusu-pusu ke kawasan sekitar Marina Bay pada Sabtu (9 Ogos) bagi meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.
Para penonton di salah satu acara pratonton NDP 2025. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Perbarisan Hari Kebangsaan 2025 (NDP2025) akan berlangsung di Padang, dengan sambutannya menjangkaui kawasan Marina Bay.
“Untuk mengelakkan kesesakan, para pegawai polis (SPF), anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pegawai polis tambahan akan mengawal pergerakan orang ramai di kawasan-kawasan di Marina Bay,” menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan medianya.
Ini termasuk Esplanade Waterfront, Jubilee Bridge, Merlion Park, One Fullerton Waterfront, Marina Boulevard Promenade, Marina Bay Sands Waterfront dan Helix Bridge.
Mereka yang berhasrat untuk mengunjungi Marina Bay dinasihatkan supaya memeriksa peta Crowd@MarinaBay untuk memantau paras kesesakan dalam masa nyata, serta kawasan-kawasan yang mungkin ditutup disebabkan oleh terlalu ramai orang.
Peta tersebut akan dimuat naik secara langsung dari pukul 5.00 petang hingga 10.30 malam pada 9 Ogos.
“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi OneMap pada telefon bijak mereka untuk laluan berjalan kaki yang disarankan bagi membantu mengemudi dan mengelak kawasan-kawasan yang ditutup pada 9 Ogos 2025, dari pukul 7.00 malam hingga 10.30 malam,” menurut SPF.
PENUTUPAN PINTU MASUK ATAU KELUAR STESEN MRT
Pintu masuk atau keluar tertentu stesen MRT di sekitar Marina Bay akan ditutup untuk mengawal pergerakan orang ramai, menurut polis. Khidmat MRT juga boleh melangkaui stesen-stesen yang terjejas jika berlaku kesesakan.
Sesetengah stesen MRT, termasuk Bayfront, City Hall, Esplanade dan Raffles Place, dijangka sangat sesak.
“Orang ramai digalakkan menggunakan stesen MRT lain yang terletak berdekatan seperti Stesen MRT Promenade, Downtown dan Marina Bay,” nasihat pihak polis.
“Dengan kehadiran ramai orang di sekitar Marina Bay, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan menjaga barangan mereka.”
ATURAN KESELAMATAN NDP2025
Bagi mereka yang menghadiri NDP2025, mereka mesti masuk melalui pintu masuk yang ditetapkan dalam tiket mereka.
Mereka dinasihatkan supaya tiba lebih awal untuk memberi masa yang mencukupi untuk pemeriksaan keselamatan dan jangan membawa terlalu banyak barang untuk memudahkan pemeriksaan.
Bekas dengan kapasiti 100ml atau lebih besar yang mengandungi cecair, aerosol atau gel akan dikenakan pemeriksaan tambahan.
Menurut polis, tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang cuba membawa masuk barang terlarang, termasuk senjata api, gas pemedih mata dan sebarang objek tajam yang boleh digunakan sebagai senjata.
Barangan dalam tin, termasuk minuman dalam tin, juga tidak dibenarkan dibawa masuk.
PENUTUPAN JALAN RAYA
Beberapa jalan akan ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya di tempat-tempat tertentu antara 9 dan 10 Ogos disebabkan oleh NDP2025. Ini termasuk beberapa bahagian Fullerton Road dan Beach Road, serta laluan Nicoll Highway ke arah Guillemard Road.
Semasa penutupan jalan raya, akses hanya akan diberikan kepada kenderaan yang dibenarkan, serta kenderaan polis dan kenderaan kecemasan.
“Pegawai polis, pegawai polis tambahan, pegawai keselamatan dan marsyal SAF akan ditempatkan di persimpangan yang terjejas untuk membantu dan mengarahkan pemandu,” menurut polis.
Ia juga memberi amaran bahawa kelengahan dijangka berlaku di:
- Battery Road
- Beach Road
- Bras Basah Road
- Collyer Quay
- Guillemard Road
- Hill Street
- Marina Boulevard
- Mountbatten Road
- North Bridge Road
- Ophir Road
- Raffles Avenue
- Raffles Boulevard
- Raffles Link
- Republic Boulevard
- Rochor Road
- Temasek Avenue
- Temasek Boulevard
- Victoria Street
“Para pemandu dinasihatkan supaya merancang laluan mereka lebih awal dan mengelakkan jalan raya tersebut,” menurut SPF.
"Orang ramai yang pergi ke kawasan-kawasan yang terjejas ini amat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam."
Polis menambah bahawa pemandu yang menuju ke Suntec City dan Marina Square dari Bras Basah Road, Esplanade Drive, Nicoll Highway atau Raffles Boulevard perlu menggunakan laluan alternatif melalui Bayfront Avenue atau Rochor Road menuju ke Temasek Boulevard.
"Sekatan meletak kenderaan di jalan raya yang terjejas akan dikuatkuasakan dengan ketat. Kenderaan yang didapati diletakkan secara haram atau menyebabkan halangan akan ditunda," tegas SPF.
SPF juga mengingatkan orang ramai bahawa kawasan sekitar Padang adalah "Kawasan Acara Khas", di mana pesawat tanpa pemandu - termasuk dron - diharamkan.
Dua kes penerbangan dron tanpa kebenaran telah dikesan pada 2 Ogos semasa salah satu pratonton NDP2025. Dron itu telah dirampas, dan pengendalinya akan disiasat, dedah SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.