Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Amalan sembunyikan nombor NRIC dihentikan, apakah kesan kepada warga SG?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Amalan sembunyikan nombor NRIC dihentikan, apakah kesan kepada warga SG?

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 16 Dec 2024 11:25PM Dikemas Kini : 17 Dec 2024 12:10PM
SINGAPURA: Pada hujung minggu lalu, pemerintah mengumumkan hasrat akan mengubah amalan menyembunyikan nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC), yang bermakna nombor NRIC mungkin dapat diketahui ramai.
BAGAIMANA NRIC BERMULA?

NRIC adalah dokumen yang perlu didaftar oleh rakyat Singapura dalam tempoh setahun selepas mencecah usia 15 tahun, atau apabila seseorang menjadi warganegara atau Penduduk Tetap (PR), yang diberi mandat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1965.

Individu yang lahir sebelum tahun 2000 mempunyai nombor NRIC yang bermula dengan "S", manakala mereka yang lahir selepas tahun 2000 mempunyai nombor NRIC bermula dengan "T".

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 1968, nombor Kad Pengenalan mereka biasanya bermula dengan 0 atau 1, kerana ia mengikut urutan kad yang dikeluarkan, bukan mengikut tahun lahir mereka.

Nombor NRIC pertama dikeluarkan pada 1966 kepada presiden pertama Singapura, Yusof Ishak.

Profesor madya sains politik di Universiti Nasional Singapura (NUS) Bilveer Singh memberitahu Mediacorp: "Ia sudah menjadi penanda utama identiti rakyat Singapura, sesuatu yang kita bawa setiap hari."

Ia digunakan untuk mendaftar semua yang dilakukan oleh individu dalam pelbagai aspek kehidupan, seperti membeli rumah, membuka akaun bank dan berkahwin, katanya.

ADAKAH PERANAN NRIC SUDAH BERUBAH?

Kebangkitan teknologi baharu, pendigitalan dan ancaman seperti penipuan, selama ini menimbulkan kebimbangan keselamatan baharu, dengan persoalan sama ada penjenayah boleh mencuri data peribadi dan butiran seseorang yang terikat dengan nombor NRIC tertentu, kata Prof Madya Singh.

Profesor madya undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan berkata, nombor NRIC kekal sebagai cara pengenalan yang penting. "Orang ramai mungkin berkongsi nama yang sama tetapi mereka masing-masing mempunyai nombor NRIC yang unik."

Tidak mendedahkan nombor kad pengenalan penuh seseorang sudah diterima sebagai amalan privasi, manakala Akta Perlindungan Data Peribadi mengklasifikasikan nombor kad pengenalan sebagai “data peribadi dan diberi perlindungan undang-undang”, tambahnya.

Mulai September 2019, pertubuhan di sini terpaksa menghentikan amalan mengumpul butiran NRIC orang ramai secara sembarangan, dan hanya boleh memintanya jika ia dikehendaki undang-undang, atau jika ingin membuktikan identiti seseorang.

Oleh itu, pendirian pemerintah sekarang bahawa "tidak perlu ada sensitiviti berkaitan nombor kad pengenalan penuh seseorang didedahkan kepada umum", bertentangan dengan pemahaman dan keselesaan orang ramai, kata Prof Madya Tan.

Bagaimanapun, Prof Madya Tan berkata bahawa di sebalik kenyataan pihak berkuasa baru-baru ini, "undang-undang tidak berubah dan ia tidak benar bahawa nombor kad pengenalan kini boleh didapatkan secara percuma kepada semua".

“Akibat yang tidak diingini daripada kenyataan minggu lalu adalah bahawa ia menimbulkan kepercayaan bahawa nombor NRIC dijadikan maklumat yang tersedia kepada orang ramai. Ini bukan apa yang berlaku,” katanya, sambil menambah bahawa ia hanya terhad kepada sektor awam.

Sekalipun demikian, ia hanya digunakan dalam keadaan tertentu, di mana pendedahan nombor NRIC penuh akan membuat mengenal pasti identiti lebih bermakna, seperti dalam kes portal Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA), di mana sebuah entiti perlu melakukan semakan, kata Prof Madya Tan.
PERBEZAAN ANTARA MENGENAL PASTI DAN PENGESAHAN IDENTITI

Pakar memberitahu Mediacorp bahawa mengenal pasti identiti, yang menimbulkan kebimbangan privasi bagi kebanyakan orang, adalah isu yang berasingan daripada pengesahan, yang didorong oleh pertimbangan keselamatan.

“Mengenal pasti identiti hanya mengisytiharkan identiti anda, seperti memberikan nama atau menunjukkan NRIC anda. Pengesahan, sebaliknya, membuktikan anda adalah orang yang anda dakwa sebagai diri anda,” kata pensyarah undang-undang Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Ben Chester Cheong.

ALTERNATIF KEPADA NOMBOR NRIC

Menekankan keperluan untuk mengesahkan dan bukan hanya mengenal pasti individu dalam era digital, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, ketua program keselamatan dan keselamatan awam di SUSS, mencadangkan kaedah seperti pengesahan muka, pengesahan biometrik, pengesahan dua faktor dan kata laluan sekali SMS, untuk digunakan pada masa hadapan.

Usaha-usaha tersebut sudah digunakan oleh Singpass, katanya.

Encik Cheong berkata bahawa menggunakan pelbagai elemen keselamatan, seperti corak tingkah laku dan sijil digital, adalah lebih kukuh berbanding bergantung kepada satu faktor untuk pengesahan.

CABARAN YANG MUNGKIN TIMBUL 

Encik Cheong berkata, mungkin akan berlaku kekeliruan antara orang awam pada mulanya, serta keperluan untuk melaksanakan perlindungan bagi pertubuhan yang masih menggunakan nombor NRIC untuk pengesahan.

Walau bagaimanapun, pakar percaya bahawa cabaran tersebut boleh ditangani, dan perubahan itu akhirnya akan menimbulkan rasa tanggunjawab yang lebih besar, sistem pengesahan yang lebih kukuh dan celik digital di negara ini.

Untuk mencapai matlamat tersebut, pihak berkuasa perlu bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan, penyedia perkhidmatan dan pertubuhan apabila masyarakat Singapura beralih ke arah norma baharu, kata pakar.

Orang ramai juga mesti lebih sedar tentang potensi ancaman seperti penipuan, kata Prof Madya Razwana, seperti mengetahui bahawa disebabkan seseorang yang tahu nama, nombor kad pengenalan atau tarikh lahir anda, tidak bermakna individu itu adalah penyedia khidmat atau pengedar produk yang sah.

“Bergerak ke hadapan, kami harus mengelak daripada menggunakan nombor Kad Pengenalan kami atau mana-mana gabungannya sebagai kata laluan dengan serta-merta. Ia lebih kepada langkah berjaga-jaga,” kata Prof Madya Tan.

Perniagaan dan entiti lain yang menggunakan nombor NRIC bagi tujuan pengesahan perli berhenti melakukan demikian, dan menasihati pelanggan mereka untuk mengelak daripada menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan mereka, serta melaksanakan lebih daripada satu peringkat pengesahan, tambahnya.

Pakar menyeru pemerintah untuk melibatkan orang ramai secara mendalam mengenai topik tersebut, untuk mendidik orang ramai tentang penggunaan NRIC yang betul dan juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan digital pada zaman moden ini.

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan PDPC akan menjalankan pendidikan awam tahun depan berkaitan dengan tujuan nombor Kad Pengenalan, dan "bagaimana ia perlu digunakan secara bebas sebagai alat peribadi untuk mengenal pasti identiti mereka".
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan