Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Akaun Khas bakal ditutup bagi yang berusia 55 tahun ke atas. Apa perlu anda buat?

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Akaun Khas bakal ditutup bagi yang berusia 55 tahun ke atas. Apa perlu anda buat?

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 19 Nov 2024 09:01AM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 09:07AM
SINGAPURA: Mungkin anda sudah dengar bahawa Akaun Khas Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan ditutup tidak lama lagi bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas.

Perubahan dasar kepada skim simpanan wajib bagi keselamatan sosial itu pertama kali diumumkan semasa Belanjawan 2024. Ia menerima pelbagai reaksi online ketika itu dan kemudian dibahaskan di parlimen.

Memandangkan tarikh pelaksanaannya - iaitu separuh kedua Januari 2025 - semakin hampir, ia terus menjadi topik perbincangan di forum-forum online dan persidangan kewangan peribadi yang membincangkan langkah tersebut dari segi kecukupan persaraan untuk rakyat Singapura?

Menurut para pakar perubahan dasar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi itu akan menjejas perancangan persaraan bagi sekumpulan kecil pencarum CPF yang lebih tua. Namun, sentiasa ada cara untuk menyesuaikan diri.

Dalam jangka panjang, Akaun Khas CPF itu akan terus memainkan peranan besar dari segi menabung untuk hari tua, tambah mereka.

IMBAS KEMBALI: APAKAH PERUBAHANNYA?

Semua pencarum CPF yang berusia di bawah 55 tahun memiliki tiga akaun - Akaun Biasa, Akaun Khas dan MediSave.

Satu akaun tambahan iaitu Akaun Persaraan dibuka apabila seseorang itu mencecah usia 55 tahun, dengan wang dari Akaun Khas dipindahkan terlebih dahulu ke Akaun Persaraan disusuli dengan wang dari Akaun Biasa.

Buat masa ini, Akaun Khas dikekalkan selepas Akaun Persaraan dibuka. Ini yang akan berubah mulai tahun depan.

Akaun Khas akan ditutup pada hari lahir ke-55 tahun pencarumnya dan wang akan dipindahkan ke Akaun Persaraan, sehingga Jumlah Penuh Persaraan dicapai.

Wang lebihan, jika ada, akan disalurkan ke Akaun Biasa yang menawarkan kadar faedah 2.5 peratus setahun. Akaun Khas, Persaraan dan MediSave sekarang ini meraih faedah 4.14 peratus setahun.

Ini sebabnya mengapa sebahagian pencarum CPF bersuara mengenai penutupan Akaun Khas disebabkan kadar faedahnya yang tinggi. Ia juga membolehkan wang dikeluarkan mengikut keperluan pada bila-bila masa mulai usia 55 tahun berbanding Akaun Persaraan.

Pada masa yang sama, jumlah maksimum seseorang boleh salurkan ke dalam Akaun Persaraan CPF untuk mengumpul faedah dan menerima bayaran persaraan lebih tinggi.

Jumlah Persaraan yang Dipertingkat akan ditetapkan kepada empat kali ganda Jumlah Asas Persaraan mulai 1 Januari 2025, naik berbanding tiga kali ganda sebelum ini.

Jumlah ini adalah sasaran persaraan yang ditetapkan oleh Lembaga CPF, dengan setiap satu membolehkan tahap bayaran bulanan yang berbeza 10 tahun kemudian.

Jumlah paling kecil ialah Jumlah Persaraan Asas, disusuli oleh Jumlah Persaraan Penuh dan Jumlah Persaraan Dipertingkat.

Bagi 2025, Jumlah Persaraan Asas ialah S$106,500. Jumlah Persaraan Penuh, yang jumlahnya dua kali ganda Jumlah Asas, ialah S$213,000 manakala Jumlah Persaraan Dipertingkat, S$426,000.

JIKA ANDA BAKAL CECAH USIA 55...

Tidak semua orang yang akan terjejas.

Hanya mereka yang sudah mengumpulkan jumlah "jauh lebih tinggi" berbanding Jumlah Persaraan Penuh dalam Akaun Khas mereka akan merasakan kesan perubahan dasar itu, kata Encik Loo Cheng Chuan, pengasas gerakan kewangan peribadi tempatan 1M65.

Beliau masih ingat bagaimana kumpulan sembang Telegram gerakan itu dibanjiri soalan demi soalan apabila pengumuman tersebut dibuat.

Pergerakan 1M65 mengajar pasangan cara menabung S$1 juta dalam akaun CPF mereka menjelang usia 65.

Maka boleh difahami, mengapa sebahagian pencarum akan terjejas oleh perubahan tersebut kelak, termasuk Encik Loo yang mencecah usia 55 tahun dalam masa tiga tahun.

"Apabila ia pertama kali diumumkan, ada banyak soalan. Saya sendiri mengambil masa untuk memahami kesannya. Namun selepas itu saya sedar ia bukanlah sesuatu yang begitu teruk," kongsi beliau kepada Mediacop, memetik peraturan-peraturan sedia ada CPF yang akan mengurangkan kebimbangan kerana tiada lagi fleksibiliti untuk mengeluarkan wang.

Ini termasuk peruntukan yang membolehkan pencarum yang lahir pada 1958 dan selepas itu untuk mengeluarkan sehingga 20 peratus simpanan dalam Akaun Persaraan mereka - tidak termasuk tokokan tunai, pindahan CPF dan geran pemerintah - selepas mereka berusia 65 tahun.

"Ini masih membolehkan anda mengeluarkan sebahagian wang - bukan jumlah penuh tetapi masih jumlah yang agak tinggi yang mencukupi untuk kebanyakan orang," kata Encik Loo.

Sementara itu, mereka yang mahu menabung lebih banyak dalam CPF mereka untuk menerima bayaran persaraan lebih tinggi kini boleh melakukan demikian.

"Menaikkan Jumlah Persaraan Dipertingkat...akan lebih selamat untuk persaraan, dan bagi mereka yang mempunyai jumlah simpanan CPF yang tinggi, mereka boleh meraih manfaat," kata Encik Loo.

"Kerugian kecairan digantikan dengan bayaran lebih tinggi - saya rasa ini okay."

Namun tokokan yang sudah dibuat ke Akaun Persaraan tidak boleh ditarik balik. Maka individu perlu mempertimbangkan keperluan kecairan dan keadaan kewangan masing-masing, menurut pakar.

Dari segi pilihan lain yang boleh diambil oleh mereka yang terjejas, Encik Christopher Tan, CEO pengasas firma penasihat kekayaan Providend, berkata ini bergantung kepada tujuan wang yang sepatutnya disimpan dalam Akaun Khas mereka.

Jika tujuan ia dikeluarkan untuk digunakan selepas berusia 55 tahun, perbezaan antara meninggalkan wang dalam Akaun Khas berbanding Akaun Biasa adalah minimum, tambah beliau.

Encik Tan memberi contoh, seorang individu berusia 55 tahun yang berhasrat mengeluarkan S$3,000 setiap bulan daripada Akaun Khas beliau, yang dalamnya ada S$200,000 selepas wang dipindahkan ke Akaun Persaraan.

Di bawah peraturan sedia ada, beliau akan dapat meninggalkan baki dalam Akaun Khas di mana wang boleh dikeluarkan setiap bulan untuk tempoh 5.7 tahun.

Namun, dengan perubahan dasar, jumlah itu akan dipindahkan ke Akaun Biasa dan bertahan selama lima setengah tahun sahaja.

Jika wang yang dikeluarkan itu kurang kerap, Encik Tan berkata, sebahagian wang itu boleh diletakkan ke dalam instrumen pelaburan jangka pendek seperti simpanan tetap, jika pulangannya jauh lebih tinggi berbanding yang ditawarkan oleh Akaun Biasa.

Seperti semua pelaburan, keputusan harus dinilai berdasarkan kemampuan seseorang menanggung risiko dan dan tempoh pelaburan sebelum dijual.

"Bagi seseorang yang berusia 55 tahun, tempohnya akan lebih singkat berbanding seseorang yang lebih muda. Maka secara amnya ialah untuk melabur dalam pilihan lebih selamat. Contohnya, bon, berbanding saham," kata Encik Gerald Wong, pengasas platform penasihat pelaburan Beansprout.

"Namun, ingat juga bahawa pada usia 55 tahun, jika mengambil kira jangka hayat lebih panjang rakyat Singapura, masih ada tempoh yang agak panjang jadi ini tidak bermakna seseorang tidak mampu untuk mengambil sebarang risiko dalam portfolio mereka," kata beliau, sambil menekankan bahawa kuncinya adalah melengkapi diri dengan maklumat mengenai pilihan pelaburan berbeza dan menimbangkannya dengan risiko serta tempoh pelaburan.

Menurut Encik Loo tidak perlu kelam-kabut dalam membuat keputusan.

"Banyak produk baharu oleh bank dan institusi kewangan lain, jadi ambil masa beberapa bulan untuk melihat apa yang ada. Jika tiada apa-apa, masih tidak terlambat untuk buat keputusan."

JIKA USIA 55 TAHUN MASIH JAUH...

Sekalipun usia persaraan masih jauh, perubahan itu tetap relevan memandangkan CPF boleh menjadi "sebahagian penting" simpanan persaraan seseorang, kata Cik So Sin Ting, ketua pegawai klien di Endowus.

Pekerja yang berusia kurang 55 tahun menyumbang seperlima daripada gaji bulanan mereka ke dalam akaun CPF. Dengan had gaji bulanan CPF dinaikkan sehingga S$8,000 menjelang 2026, ini bermakna lebih banyak simpanan CPF untuk sebahagian orang.

Ditambah lagi dengan kelebihan waktu untuk golongan ini, yang meningkatkan jumlah simpanan mereka, orang muda harus memanfaatkan CPF mereka.

Khususnya, Akaun Khas disebabkan kadar faedah "bebas risiko" sekurang-kurangnya 4 peratus, menurut pakar.

"Saya rasa tiada pilihan lain di mana modal dan faedahnya dijamin, jadi anda mahu memanfaatkan Akaun Khas untuk meningkatkan simpanan," kata Encik Tan.

"Yang ideal, menjelang usia 55 tahun, anda sudah mengumpulkan agak banyak dalam Akaun Khas dan mungkin perlu memutuskan sama ada anda mahu (lebihan wang) kekal dalam Akaun Biasa," tambah beliau.

"Namun, ini masalah yang baik, bukan? Kerana ini bermakna anda sudah mengumpulkan jumlah yang selesa (yang memberi) anda bebas untuk memutuskan apa yang anda mahu lakukan.

Bagi yang boleh, Cik Loo menyarankan agar mereka menokok Akaun Khas mereka "secepat mungkin dan sebanyak mungkin" untuk meraih manfaat jumlah yang terkumpul.

Pilihan untuk meningkatkan simpanan dalam Akaun Khas seseorang sehingga Jumlah Persaraan Penuh termasuk tokokan tunai yang menawarkan pelepasan cukai tahunan sehingga S$8,000 dan pindahan wang dari Akaun Biasa.

Sekali lagi, perlu diingat bahawa langkah-langkah ini tidak boleh ditarik balik. Maka penting untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan kecairan seseorang, seperti merancang untuk menggunakan wang dalam Akaun Biasa untuk membeli hartanah," kata Encik Wong.

Melabur adalah satu pilihan untuk orang muda menambah simpanan CPF mereka.

Memetik angka dari laman CPF, Endowus menarik perhatian bahawa S$27.2 bilion wang dalam Akaun Biasa dilaburkan menerusi Skim Pelaburan CPF setakat Jun 2024. Jumlah itu "sebahagian" daripada S$180.9 bilion baki yang ada dalam Akaun Biasa.

"Sejumlah besar" wang itu dilaburkan dalam aset bebas risiko seperti bil Perbendaharaan (T-bills).

Beliau menambah mereka yang mempunyai lebihan wang dalam Akaun Biasa boleh menimbangkan untuk melabur dalam portfolio unit amanah ekuiti dan/atau bon yang dipelbagaikan di peringkat global, dengan kos rendah, dan sesuai dengan tahap risiko, serta pandangan jangka panjang.

"Memandangkan caruman CPF konsisten dan hanya boleh dikeluarkan pada usia tua, pencarum muda CPF tidak perlu terlalu gusar tentang turun naik pasaran jangka pendek kerana mereka boleh mengharungi kitaran pasaran berbeza dengan menjangkakan pulangan lebih tinggi," kata Cik Soo.

Bagaimana pula dengan mereka yang bukan lagi dalam usia 20-an dan 30-an dan mempunyai tempoh lebih singkat untuk menghadapi kitaran pasaran?

Mereka masih boleh melabur, kata Encik Tan yang menyarankan strategi pelaburan yang menyesuaikan pelaburan berdasarkan masa perbelanjaan yang dijangka pada masa depan.

"Maknanya rancang awal bagi aliran tunai anda semasa persaraan," jelas beliau. "Misalnya, fikirkan berapa banyak yang anda rasa anda perlukan dalam tempoh lima tahun pertama, disusuli 10 tahun dan kemudian 20 tahun."

Wang yang diperlukan sejurus selepas persaraan harus disimpan dalam simpanan lebih selamat. Bakinya yang mungkin tidak diperlukan dalam jangka pendek akan ada lebih banyak masa dan boleh dilaburkan ke dalam aset lebih berisiko, seperti ekuiti, kata Encik Tan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan