jelasBERITA: Adakah selamat untuk berenang di Sentosa susuli isu mutu air laut baru-baru ini?
Peserta pada permulaan acara renang 10 kilometer wanita di Kejuaraan Akuatik Dunia di Singapura pada Rabu, 16 Julai 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)
Ia berpunca daripada paras bakteria E. coli yang tinggi di perairan di sekitar pulau Sentosa, walaupun punca pencemaran belum dapat ditentukan.
APAKAH ITU E. COLI?
E. coli, atau Escherichia coli, adalah sejenis bakteria yang secara semula jadi hidup dalam usus manusia dan haiwan, di mana ia biasanya tidak menimbulkan ancaman.
Namun, apabila dikesan di luar usus, ia boleh menyebabkan pelbagai jangkitan, kata Dr Nares Smitasin, seorang perunding kanan di bahagian penyakit berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH).
Sebagai contoh, E. coli biasanya menyebabkan jangkitan saluran kencing, terutamanya dalam kalangan wanita. Bakteria tersebut juga boleh menyebabkan jangkitan perut, tambahnya.
Walaupun kebanyakan jenis jangkitan tidak berbahaya, sesetengah jenis boleh menjadi sangat patogenik.
Misalnya, jangkitan E. coli O157:H7 boleh menyebabkan kekejangan perut yang teruk, cirit-birit berdarah, dan dalam sebilangan kes, sindrom uremik hemolitik, iaitu komplikasi serius yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, terutamanya pada kanak-kanak kecil dan orang dewasa yang lebih tua, kata Dr Smitasin.
Wabak jangkitan jenis E. coli berkenaan dicatat di seluruh dunia dan sering dikaitkan dengan produk makanan yang tercemar seperti daging kisar yang tidak dimasak dengan sempurna, sayur-sayuran mentah atau jus yang tidak dipasteurkan, tambahnya.
Pada 2023, kebimbangan di Singapura meningkat selepas sebuah video tular mendakwa E. coli dikesan dalam hampir separuh gerai nasi ayam yang dilawati oleh seorang personaliti YouTube.
Pensyarah Politeknik Republik Heng Kiang Soon berkata pada masa itu bahawa tahap keterukan penyakit boleh bergantung pada tahap toleransi dan status kesihatan seseorang.
"Kajian menunjukkan bahawa individu yang mempunyai keseimbangan mikrobiota (pelbagai mikroorganisma) yang lebih baik cenderung untuk mempunyai peluang yang lebih rendah untuk dijangkiti E. coli kerana bakteria baik dalam usus mereka melawan bakteria jahat," katanya.
Menurut peraturan pertandingan terkini World Aquatics, enterococcus - sejenis bakteria lain - dan E. coli adalah "penunjuk yang boleh dipercayai" bagi pencemaran najis daripada haiwan, kumbahan manusia atau efluen, yang merujuk kepada sisa cecair atau kumbahan yang dibuang ke dalam laut.
Ribut hujan yang besar mungkin menolak najis haiwan ke dalam air, membawa patogen bersamanya.
Paip pembetung yang sudah lama dan prasarana air sisa yang lain juga boleh mengalirkan kumbahan, yang kemudian memasuki air.
Kajian mendapati bahawa E. coli juga boleh hidup dan membiak dalam persekitaran seperti pasir di pantai.
Mediacorp sudahpun menghubungi Perbadanan Pembangunan Sentosa dengan soalan mengenai mengapa mutu air melebihi had yang boleh diterima, punca peningkatan tahap E. coli, dan sama ada ia mempunyai nasihat untuk orang awam yang mungkin tertanya-tanya sama ada ia selamat untuk berenang di pantai-pantai Sentosa.
BAGAIMANA WORLD AQUATICS UKUR MUTU AIR?
Badan pentadbir sukan air antarabangsa itu menetapkan piawaian dalam peraturan pertandingannya. Ia merujuk kepada had yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, Agensi Alam Sekitar Eropah, Kementerian Kesihatan New Zealand dan Majlis Kesihatan dan Kajian Kebangsaan Australia.
Kesemuanya menyatakan bahawa air laut dengan kurang daripada 250 unit pembentukan koloni E. coli bagi 100 mililiter dianggap mempunyai mutu "cemerlang", manakala air laut dengan kurang daripada 500 unit sedemikian adalah "baik". Apabila ia melebihi 500 unit, ia "tidak boleh diterima".
Bagi bakteria enterococcus, kurang daripada 100 unit pembentukan koloni bagi setiap 100 mililiter adalah cemerlang; kurang daripada 200 adalah baik; dan lebih daripada 200 tidak boleh diterima.
Sampel air diambil dari tiga lokasi berbeza di sepanjang laluan, bermula dari dua bulan sebelum pertandingan sehingga hari perlumbaan itu sendiri.
Bagi World Aquatics, tahap toleransi yang disyorkan adalah tidak lebih daripada 100 unit pembentukan koloni bagi setiap 100 mililiter untuk enterococcus dan tidak lebih daripada 250 untuk E. coli.
Persekutuan tersebut menyatakan bahawa perenang mungkin terdedah kepada pencemaran daripada bakteria bawaan air melalui pernafasan, menelan air dan melalui sentuhan kulit secara langsung.
Bakteria juga boleh menjangkiti mereka melalui lapisan mukosa sensitif mata, telinga, hidung, mulut dan saluran pernafasan bahagian atas semasa rendaman yang berpanjangan.
Pendedahan berpanjangan yang dihadapi oleh atlet - misalnya, perlumbaan 10 kilometer boleh mengambil masa kira-kira dua jam atau lebih - menjelaskan mengapa piawaian mutu air adalah lebih tinggi berbanding dengan perenang rekreasi.
BAGAIMANA SINGAPURA UKUR MUTU AIR PANTAI?
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggunakan garis panduan WHO 2021 untuk aktiviti riadah - tahap enterococcus dalam sekurang-kurangnya 95 peratus daripada 100 sampel tidak boleh melebihi 200 kiraan bagi setiap 100ml.
Kiraan bagi setiap mililiter mengambil kira sel bakteria yang hidup dan tidak hidup, manakala unit pembentukan koloni bagi setiap mililiter hanya memberi tumpuan pada bahagian yang hidup dan boleh dikultur.
E.coli bukan sebahagian daripada parameter yang digunakan oleh NEA untuk menilai mutu air.
NEA mengeluarkan kemas kini mingguan di lamannya mengenai tahap enterococcus di pantai-pantai di sekitar Singapura.
Hanya pantai yang diklasifikasikan sebagai "baik" dan ke atas sesuai untuk kegiatan air utama, di mana seluruh badan, muka dan badan perenang kerap direndam, dan mereka berkemungkinan menelan sedikit air.
Ketiga-tiga pantai di Sentosa sudahpun dinilai sebagai baik.
Pada Februari 2024, NEA menasihati orang ramai untuk tidak berenang di Pantai Pasir Ris dan Pantai Taman Sembawang kerana bacaan tahap bakteria enterococcus yang lebih kerap meningkat dalam air.
Setakat Januari 2025, Pantai Pasir Ris telah dinilai sebagai "baik". Namun bagi Pantai Sembawang Park, orang ramai masih dinasihatkan untuk tidak berenang dan tidak melakukan aktiviti air utama yang lain.
NEA bagaimanapun mengingatkan bahawa pengguna pantai harus mengelakkan diri daripada memasuki air serta-merta selepas hujan lebat, tanpa mengira mutu air.
Mereka yang mempunyai luka terbuka, jangkitan kulit, atau yang tidak sihat juga harus mengelakkan diri daripada aktiviti air.
PERLUKAH ORANG RAMAI RASA BIMBANG UNTUK BERENANG DI SENTOSA?
Berdasarkan kemas kini terkini NEA, tidak.
Jalur mutu air rekreasi mingguan untuk pantai-pantai Sentosa adalah "normal", dengan kurang daripada 200 kiraan enterococcus bagi setiap 100 mililiter dalam sekurang-kurangnya 95 peratus sampel.
Ini bermakna ia selamat untuk memasuki air dan semua pengunjung pantai boleh meneruskan aktiviti air.
Sampel terkini yang diambil oleh World Aquatics pada petang Selasa juga menunjukkan tahap E. coli berada dalam julat "baik" hingga "cemerlang".
Dr Smitasin dari NUH menasihati orang ramai supaya mengelakkan kontak dengan air, di mana makluman sudah dikeluarkan mengenai paras bakteria yang tinggi.
Pendedahan langsung boleh menyebabkan jangkitan seperti konjunktivitis, atau jangkitan mata, serta jangkitan kulit, terutamanya jika individu mempunyai luka terbuka.
Menelan air yang tercemar, terutamanya jika ia mengandungi jenis jangkitan yang berbahaya, boleh menyebabkan penyakit gastrousus, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.