Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Adakah Roblox punca radikalisasi online?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Adakah Roblox punca radikalisasi online?

Kebanyakan pengalaman permainan di Roblox tidak ada kaitan dengan fahaman pelampau dan platform itu secara jelas melarang kandungan pelampau. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 03:21PM
SINGAPURA: Platform permainan Roblox menjadi tumpuan selepas ia dikaitkan dengan beberapa kes baru-baru ini melibatkan golongan muda yang menjadi radikal sendiri di Singapura.

Pada Mei, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang sedang membuat persiapan untuk melakukan serangan tikaman yang boleh menyebabkan ramai mangsa, ditangkap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Dalam kes berasingan, seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun yang melakukan simulasi serangan ISIS secara online dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada November.

Dalam kedua-dua kes, Roblox merupakan antara beberapa ruang online yang mendedahkan remaja berkenaan kepada kandungan berunsur keganasan atau pelampau.

Menurut para pakar, keadaan itu mencerminkan satu corak lebih luas kerana proses seseorang menjadi radikal sering berlaku merentasi pelbagai platform online.

BERMULA DENGAN RASA TERASING

Bagi sesetengah remaja yang mudah terdedah kepada pengaruh sedemikian, proses itu mungkin bermula dengan rasa terasing.

Pengasas perusahaan sosial COMEBACK yang juga anggota Majlis Celik Media Singapura, Cik Pauline Phoon, berkata platform seperti Roblox boleh memberikan seseorang yang berasa terasing rasa diterima dan menjadi sebahagian daripada sesuatu kelompok.

Pakar berkata remaja yang mudah terpengaruh mungkin mencari hubungan dengan orang lain menerusi pelbagai platform online - daripada media sosial dan masyarakat permainan online hinggalah saluran kiriman mesej privet.

Keadaan itu boleh menyebabkan mereka semakin terdedah kepada kandungan pelampau.

Penganalisis penyelidikan kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Encik Ahmad Helmi Mohamad Hasbi, berkata berdasarkan pengalamannya mendampingi golongan muda yang menjadi radikal, satu persamaan antara mereka adalah keinginan untuk merasakan diri mereka penting.

Pada masa yang sama, golongan muda sedemikian mungkin kurang mempunyai keyakinan.
Related article image
Para pakar berkata permainan medan ujian seperti Roblox boleh menyediakan ruang kreatif untuk para pengguna meneroka dan menghasilkan kandungan mereka sendiri. (Gambar: CNA)
MENGAPA ROBLOX MENARIK MINAT

Menurut Cik Phoon, permainan berbentuk medan ujian (sandbox) seperti Roblox memberikan kebebasan kepada pemain tanpa menetapkan satu matlamat tertentu, sekali gus menyediakan ruang kreatif untuk mereka meneroka.

Pemain boleh menghasilkan ruang dan permainan mereka sendiri serta menentukan bagaimana mereka mahu berinteraksi dengan rakan-rakan dan pengguna lain.

Menurut para pakar, permainan sedemikian mungkin menarik perhatian golongan muda yang berasa terasing dan sedang mencari tujuan serta rasa kekitaan.

Sebahagian besar pengalaman permainan di Roblox tidak mempunyai kaitan dengan fahaman pelampau dan platform tersebut secara jelas melarang kandungan sedemikian.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai cara ia menangani kandungan pelampau, Roblox menyatakan ia menggunakan sistem pengesanan kecerdasan buatan (AI) dan pasukan pemantauan.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan pihak penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan keselamatan.

Carian Mediacorp di platform tersebut tidak menemui kem latihan pengganas atau permainan simulasi serangan di sekolah yang dilaporkan digunakan golongan muda yang menjadi radikal sendiri.

Namun, Mediacorp menemui permainan simulasi ketenteraan yang menggambarkan medan perang moden termasuk parit dan dron.

Permainan sedemikian membolehkan pemain mensimulasikan taktik yang diilhamkan konflik semasa.

Ia juga menyediakan peranan dan matlamat yang jelas serta masyarakat yang mempunyai minat sama, yang mungkin menarik perhatian kanak-kanak terasing yang mencari rasa kekitaan.
Related article image
Carian Mediacorp di platform Roblox menemui permainan simulasi ketenteraan yang menggambarkan medan perang moden, termasuk parit dan dron. (Gambar: CNA)
RADIKALISASI MERENTASI PELBAGAI PLATFORM

Namun, Roblox sering kali hanya satu persinggahan dalam perjalanan online yang jauh lebih panjang.

Semasa Mediacorp menjalankan kajian mengenai platform sedemikian, tontonan kandungan mengenai perang di Timur Tengah dan Roblox di TikTok membawa kepada saranan video yang meniru propaganda pelampau menerusi Roblox.

Menurut Encik Ahmad Helmi, proses golongan muda yang berisiko menjadi radikal sendiri sering bermula di platform arus perdana sebelum mereka beralih ke ruang online lain.

Antara platform yang sering digunakan ialah Discord, sebuah platform komunikasi yang popular dalam kalangan masyarakat permainan.

Platform itu membolehkan pengguna menghasilkan pelayan yang hanya boleh disertai menerusi undangan, dengan para anggota boleh berkomunikasi melalui panggilan suara dan saluran teks.

Sebahagian kandungan TikTok yang ditemui Mediacorp dan meniru propaganda pelampau turut mempunyai kaitan dengan pelayan Discord.

Encik Ahmad Helmi berkata pihak pelampau sering mengeksploitasi platform sedemikian kerana ia membolehkan komunikasi secara privet, pembentukan masyarakat serta penyebaran propaganda.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Peningkatan jumlah remaja yang menjadi radikal sendiri menerusi ruang online menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkuasa Singapura.

Menjawab pertanyaan mengenai langkah selanjutnya, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan kedua-dua pihak sedang menyemak mekanisme sedia ada di bawah Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA) dan Akta Penyiaran.

Pihak berkuasa juga sedang menimbangkan cara menangani eksploitasi platform seperti Roblox bagi menyebarkan ideologi pelampau, namun sudah menolak kemungkinan mengharamkan platform tersebut.

Pakar undang-undang berkata kerjasama lebih kukuh antara pihak berkuasa dengan syarikat teknologi, di samping meningkatkan kesedaran awam, mungkin lebih berkesan berbanding mengharamkan platform tertentu.

Pemerintah menegaskan bahawa usaha menangani fahaman pelampau online akhirnya memerlukan tanggungjawab bersama.

Ibu bapa, para pendidik dan masyarakat lebih luas memainkan peranan dalam membantu golongan muda melayari dunia online dengan selamat.

Cik Phoon berkata golongan muda juga memerlukan orang dewasa yang dipercayai untuk membantu mereka memahami isu rumit seperti peperangan secara seimbang.

Tanpa bimbingan sedemikian, mereka mungkin lebih mudah terpengaruh apabila terdedah kepada pandangan yang bersifat melampau.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita