Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Adakah kredit karbon yang dibeli syarikat masih sah jika hutan terbakar?

Bayangkan sebuah syarikat membayar untuk melindungi hutan yang terletak ribuan kilometer jauhnya, namun hutan itu kemudian musnah akibat kebakaran.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA:  Adakah kredit karbon yang dibeli syarikat masih sah jika hutan terbakar?

Anggota bomba menyemburkan air bagi memadamkan kebakaran hutan di Ogan Ilir, Sumatra Selatan, Indonesia, pada 11 September 2026. (Gambar: CNA/Wisnu Agung Prasetyo)

Diterbitkan : 02 Nov 2026 07:30PM
jelasBERITA: Are companies’ carbon credits still valid if forests burn?
  • Carbon credits allow companies to offset emissions by funding carbon reductions or removals. Each credit represents one tonne, but forest fires in Indonesia can release stored carbon back into the atmosphere.
  • Fires do not automatically invalidate credits. Independent verifiers need to assess the damage using satellite imagery and field measurements, including peat fires, before determining the impact on existing credits and future issuance.
  • Buffer reserves, which receive a portion of project credits, can cover verified losses. However, widespread fires and rising climate risks may exceed the reserves, although standards are being refined to improve risk assessments.
  • Credit revenue can fund patrols, firefighting teams, early warnings and peat water management. Buyers are advised to scrutinise risks and work with communities, while demand for Indonesian credits was reported to be stable by Climate Impact X.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bayangkan sebuah syarikat membayar untuk melindungi hutan yang terletak ribuan kilometer jauhnya, namun hutan itu kemudian musnah akibat kebakaran.

Adakah manfaat kepada iklim yang dibayar oleh syarikat tersebut turut lenyap bersama kebakaran itu?

Persoalan ini semakin mendapat perhatian apabila kebakaran hutan di Indonesia menjejas kawasan yang dikaitkan dengan projek kredit karbon.

Syarikat-syarikat membeli kredit karbon dari luar negara, termasuk Indonesia, bagi mengimbangi pelepasan gas rumah hijau yang terhasil daripada operasi mereka.

Pasaran itu terus menarik minat pembeli, dengan 1,056 pembeli baharu dari rantau Asia Pasifik memasuki pasaran kredit karbon pada 2025, berdasarkan pangkalan data Allied Offsets.

Namun, kebakaran hutan menimbulkan persoalan tentang kesahihan kredit yang sudah dikeluarkan, pihak yang perlu menanggung kerugian serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada.

APAKAH KREDIT KARBON DAN BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Kredit karbon membolehkan syarikat mengimbangi pelepasan gas rumah hijau daripada kegiatan seperti penerbangan, perkapalan dan pengilangan, dengan membiayai usaha mengurangkan atau menyingkirkan pelepasan di tempat lain.

Setiap kredit karbon mewakili 1 tan pelepasan gas rumah hijau yang dikurangkan atau disingkirkan daripada atmosfera.

Sebagai contoh, projek pemuliharaan hutan boleh menghasilkan kredit karbon dengan mencegah penebangan hutan dan pelepasan karbon yang tersimpan dalam pokok serta tanah.

Projek lain pula memperolehi kredit dengan menyingkirkan karbon dioksida yang sudah berada dalam atmosfera.

Sebelum kredit tersebut boleh dijual, jumlah pelepasan yang berjaya dikurangkan atau disingkirkan perlu dikira dan disahkan secara bebas.

Namun, projek pemuliharaan hutan berdepan risiko tambahan kerana karbon yang tersimpan dalam pokok dan tanah boleh dilepaskan semula akibat kebakaran atau penebangan hutan.

ADAKAH KREDIT KARBON TERBATAL APABILA HUTAN TERBAKAR?

Tidak semestinya.

Apabila hutan yang dilindungi terbakar, karbon yang tersimpan dalam tumbuh-tumbuhan dan tanah boleh dilepaskan semula ke atmosfera.

Keadaan itu berpotensi menjejaskan manfaat pengurangan pelepasan karbon yang sebelum ini diiktiraf menerusi projek tersebut.

Bagaimanapun, kebakaran tidak secara automatik membatalkan semua kredit karbon yang sudah dikeluarkan.

Pakar perlu terlebih dahulu menentukan tahap kerosakan dan jumlah karbon yang sebenarnya dilepaskan.

Imej satelit boleh membantu mengenal pasti tapak kebakaran dan kawasan yang terbakar, tetapi mungkin tidak dapat menunjukkan keseluruhan kerosakan, khususnya di kawasan tanah gambut yang boleh terus terbakar di bawah permukaan tanah.

Pengarah Asia Pasifik Persatuan Perdagangan Pelepasan Antarabangsa (IETA), Bjorn Fonden, berkata penilaian perlu mengambil kira sama ada projek tersebut berjaya mencegah pelepasan karbon yang mungkin berlaku tanpa usaha pemuliharaan.

Pengesah bebas perlu menjalankan pengukuran saintifik di lapangan, termasuk menilai jumlah tanah gambut dan bahan organik yang terbakar.

Hasil penilaian itu akan menentukan sama ada pengurangan pelepasan karbon yang sudah diiktiraf sebelum ini telah terjejas.

Projek yang dilanda kebakaran mungkin menghasilkan lebih sedikit kredit karbon baharu pada tahun-tahun berikutnya.

Jika kebakaran menyebabkan pelepasan semula karbon yang berkaitan dengan kredit sedia ada, kerugian tersebut mungkin perlu diganti.

BAGAIMANA PEMBELI KREDIT KARBON DILINDUNGI?

Salah satu langkah perlindungan utama ialah sistem rizab penampan kredit karbon, atau 'buffer pool'.

Di bawah sistem itu, sebahagian kredit karbon yang dihasilkan oleh projek pemuliharaan hutan tidak dijual, sebaliknya diketepikan dalam satu rizab bersama.

Kredit tersebut berfungsi sebagai perlindungan terhadap kejadian tidak dijangka seperti kebakaran hutan, banjir dan bencana lain.

Jika karbon yang sebelum ini dilindungi dilepaskan semula ke atmosfera, sejumlah kredit daripada rizab penampan boleh dibatalkan bagi mengimbangi kerugian yang sudah disahkan.

Langkah itu bertujuan mengekalkan integriti kredit karbon yang sudah dikeluarkan, walaupun ia tidak dapat menghapuskan pelepasan sebenar akibat bencana tersebut.

Encik Fonden menjelaskan rizab penampan itu boleh merangkumi sumbangan daripada ratusan projek di seluruh dunia.

Dengan cara ini, kerugian yang dialami satu projek boleh ditampung menggunakan kredit yang disimpan daripada projek lain.

Namun, keberkesanannya bergantung pada sama ada jumlah kredit dalam rizab tersebut mencukupi untuk menampung kerugian.

BOLEHKAH KEBAKARAN BESAR MENJEJASKAN SISTEM PERLINDUNGAN ITU?

Ya.

Perubahan iklim meningkatkan risiko kebakaran hutan yang lebih kerap dan serius di banyak kawasan.

Jika beberapa kawasan hutan yang luas terbakar dalam tempoh singkat, jumlah karbon yang dilepaskan mungkin melebihi kredit yang tersedia dalam rizab penampan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan sama ada sistem sedia ada mampu menangani risiko bencana yang semakin meningkat.

Pakar daripada firma penarafan karbon Sylvera, Ben Rattenbury, berkata piawaian kredit karbon lazimnya menetapkan peratusan tertentu daripada kredit yang dikeluarkan untuk dimasukkan ke dalam rizab penampan.

Bagi sesetengah projek, jumlah itu mungkin sekitar 5%, manakala projek yang berdepan risiko lebih tinggi mungkin perlu menyumbang lebih banyak kredit.

Badan yang menetapkan piawaian kredit karbon bertanggungjawab menentukan kecukupan rizab tersebut.

Beberapa piawaian juga sudah mengemas kini kaedah penilaian risiko bagi mengambil kira cuaca ekstrem dan ancaman lain.

Namun, sekiranya risiko kebakaran meningkat lebih pantas daripada jumlah kredit yang disimpan, sistem itu mungkin berdepan kekurangan kredit untuk menampung kerugian.

BOLEHKAH KREDIT KARBON MEMBANTU MENCEGAH KEBAKARAN HUTAN?

Pakar berkata hasil penjualan kredit karbon juga boleh digunakan untuk membiayai usaha mencegah kebakaran.

Dana tersebut boleh menyokong rondaan hutan, pasukan pemadam kebakaran dan sistem amaran awal bagi membolehkan kebakaran dikesan serta ditangani sebelum merebak.

Di kawasan tanah gambut, dana itu juga boleh digunakan untuk mengekalkan paras air supaya tanah tidak menjadi terlalu kering.

Langkah tersebut penting kerana tanah gambut menyimpan sejumlah besar karbon yang terkumpul selama ribuan tahun.

Apabila dikeringkan, tanah gambut menjadi lebih mudah terbakar, termasuk di bawah permukaan tanah, sekali gus melepaskan sejumlah besar gas rumah hijau.

Pengasas bersama syarikat pemula penyingkiran karbon CarbonSynk, Zhang Yiwen, berkata pembeli perlu menjalankan penelitian sewajarnya sebelum melabur dalam sesuatu projek.

Ini termasuk meneliti imej satelit serta data sejarah dan unjuran risiko kebakaran.

Beliau turut menekankan kepentingan bekerjasama dengan masyarakat setempat dan para petani bagi menangani amalan yang boleh meningkatkan risiko kebakaran.

ADAKAH KEBAKARAN DI INDONESIA MENJEJAS PERMINTAAN KREDIT KARBON?

Setakat ini, permintaan terhadap kredit karbon Indonesia dilaporkan masih agak stabil meskipun negara itu berdepan kebakaran hutan.

Ketua Pegawai Eksekutif bursa karbon yang berpangkalan di Singapura, Climate Impact X, Oi-Yee Choo, berkata kegiatan perdagangan kredit karbon Indonesia di platform syarikat itu tidak menunjukkan perubahan ketara.

Beliau berkata kebakaran tersebut belum menjejas kegiatan perdagangan secara ketara atau menyebabkan permintaan beralih daripada kredit karbon Indonesia.

Walaupun kredit karbon boleh membantu membiayai pemuliharaan hutan dan melindungi ekosistem, nilainya bergantung pada kemampuan projek mengekalkan pengurangan pelepasan karbon dalam jangka panjang.

Bagi syarikat yang membeli kredit karbon berasaskan hutan, persoalannya bukan lagi sekadar sama ada hutan dapat dilindungi hari ini, tetapi sama ada manfaat kepada iklim yang dibayar itu mampu bertahan daripada ancaman kebakaran pada masa depan.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita