Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Adakah bilik darjah ruang sesuai untuk bincang isu-isu kontroversi?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Adakah bilik darjah ruang sesuai untuk bincang isu-isu kontroversi?

Gambar fail: Ernest Chua/Today

SINGAPURA: Sekolah boleh menyediakan "ruang selamat" bagi pelajar untuk berkongsi pandangan mereka, namun ibu bapa juga perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan itu, menurut pakar.

Perkara itu dibangkitkan menyusuli kemarahan online yang tercetus baru-baru ini tentang apa yang diajarkan kepada pelajar mengenai konflik Israel-Hamas, sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

Sebilangan individu bimbang naratif yang dibentangkan kepada pelajar tidak berpendirian neutral mahupun objektif, dan tidak memberi konteks meluas mengenai sejarah konflik di rantau itu.

Sesetengah orang juga mendakwa guru tidak dibenarkan memberikan pandangan sendiri dalam kelas itu, selain daripada bahan yang telah diserahkan kepada mereka.

BELAJAR HORMATI PANDANGAN SATU SAMA LAIN

Dr Thavamalar Kanagaratnam, pakar spesialis di jabatan CCE Kementerian Pendidikan (MOE), berkata perbincangan CCE mendalami isu yang relevan dan bermakna kepada pelajar, yang sudah pun membincangkan perkara tersebut.

"Ia kemudian menjadi peluang dalam bilik darjah, untuk menggunakannya sebagai platform bagi mereka mempelajari bagaimana berbincang antara satu sama lain dalam cara yang saling hormat-menghormati, serta mempelajari cara untuk mungkin setuju atau membantah," kata beliau dalam podcast Heart of the Matter milik CNA.

"Jadi itulah fungsi perbualan sedemikian. Ia bukanlah untuk memahami isu itu sahaja, meskipun ia adalah aspek yang penting juga.

"Tetapi lebih penting lagi ialah jenis kemahiran yang anda mahu mereka pelajari, jenis nilai-nilai yang anda mahu mereka pamerkan."

Dr Thavamalar berkata mewujudkan sifat empati, misalnya, melibatkan usaha mendengar pengalaman dan isi hati orang lain.

Berhubung pelajaran yang menyentuh konflik Israel-Hamas, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata pada 25 Feb bahawa ia direka bentuk untuk membantu pelajar memahami emosi mereka sendiri, memiliki sifat empati dengan orang lain, serta melihat cara bagaimana untuk melindungi perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

Ia bukan bertujuan menjadi kelas sejarah mahupun untuk menetapkan siapa yang salah ataupun benar, kata beliau.

Pada 4 Mac, Encik Chan berkata di Parlimen bahawa pelajaran mengenai konflik Israel-Hamas yang diajarkan semasa kelas CCE akan diperhalusi lagi bagi kumpulan usia berbeza dalam kalangan pelajar.

Dr Thavamalar berkata guru juga sering berkongsi semasa bengkel-bengkel betapa sukarnya keadaan untuk mengendalikan perbincangan yang menimbulkan kontroversi.

"Terutama sekali apabila mereka mempunyai pandangan cukup tegas mengenainya, ia mungkin tidak begitu disarankan bagi mereka untuk berkongsi pandangan peribadi mereka. Ini kerana mereka mempunyai pengaruh ke atas pelajar itu, terutama sekali apabila pelajar itu sangat menghormati mereka," tambahnya.

Dr Thavamalar berkata para guru menjalani peluang pembangunan profesional, "di mana kami cuba membantu mereka memikirkan soalan yang (mereka) tanyakan berbanding jawapannya".

MEWUJUDKAN SEKITARAN SELAMAT UNTUK BERSUARA

Pengetua Sekolah Menengah Jurongville, Philibert Leow, yang juga tetamu di podcast itu, berkata para guru harus mengendali dan mewujudkan "sekitaran selamat" untuk pelajar menyuarakan pandangan mereka.

"Kami mengingatkan guru apakah tunggak (dan) tujuan utama pelajaran CCE," kata beliau.

Pakar psikologi klinikal Annabelle Chow yang juga diundang ke podcast itu berkata: "Setiap orang datang dari latar belakang berbeza, (dengan) pengalaman berbeza. Anda akan mempunyai pengalaman dan sudut pandangan subjektif yang berbeza mengenainya."

Beliau menambah bahawa apabila ia tentang mengadakan perbincangan dengan anak muda, menggunakan bahan sesuai dengan usia mereka adalah penting.

IBU BAPA JUGA PERLU MAINKAN PERANAN

Dr Thavamalar berkata pelajar juga memerhatikan bukan sahaja apa yang berlaku dalam bilik darjah, tetapi apa yang berlaku di luar juga.

"Salah satunya adalah bagi setiap orang, terutama sekali dewasa di sekolah, untuk melihat diri mereka sebagai peran contoh bagi pelajar," tambahnya.

"Dalam kalangan kakitangan juga, bagi guru, cara mereka berkomunikasi sesama sendiri, ini akan menjadi contoh bagi pelajar."

Encik Leow berkata episod yang berlaku baru-baru ini adalah masa yang baik bagi ibu bapa menghargai kerja yang sudah dilakukan di sekolah, dan mempunyai komunikasi tetap dengan guru-guru anak mereka.

Dr Chow menekankan bahawa ia adalah tanggungjawab bersama, dan ibu bapa harus memainkan peranan.

"Terdapat banyak tekanan pada guru untuk menjadi orang yang mengendalikan perbualan sebegini, dan untuk menguruskan sudut pandangan pelajar atau menawarkan mereka hala tuju," tambahnya.

"Guru kini mempunyai banyak tekanan untuk menangani keadaan kesihatan mental, memberi kaunseling asas... Namun jika kita boleh mula mendidik ibu bapa semasa sesi suai kenal dan juga perbualan berterusan bahawa ia adalah tanggungjawab bersama, ia sebenarnya boleh membantu."
 
Sumber : CNA/IM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita