Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: 6 perkara tentang peraturan baharu teksi rentas sempadan SG-Malaysia mulai 4 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: 6 perkara tentang peraturan baharu teksi rentas sempadan SG-Malaysia mulai 4 Mei

Pemandu teksi rentas sempadan menunggu penumpang di Larkin Sentral pada 5 Disember 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 01 May 2026 03:47PM Dikemas Kini : 01 May 2026 03:48PM
SINGAPURA: Selama bertahun-tahun, teksi rentas sempadan yang bergerak antara Singapura dan Malaysia hanya boleh mengambil dan menurunkan penumpang di satu tempat yang ditetapkan di negara jiran.

Mulai Isnin (4 Mei), keadaan ini akan berubah - dengan tempat turunkan penumpang yang fleksibel dan lebih banyak lokasi ambil penumpang yang bertujuan menjadikan perjalanan rentas sempadan lebih mudah.

Berikut apa yang anda perlu tahu tentang perubahan tersebut, cara menempah teksi dan tambangnya.

Di mana teksi rentas sempadan boleh ambil dan turunkan penumpang?

Mulai 4 Mei, teksi Malaysia boleh menurunkan penumpang di mana-mana sahaja di Singapura.

Pengambilan di negara jiran akan kekal terhad kepada tempat yang ditetapkan, tetapi lebih banyak lokasi akan disediakan.

Teksi Malaysia boleh mengambil penumpang di Singapura di:

- Berhampiran VivoCity
- Berhampiran Century Square Shopping Mall
- MRT Joo Koon
- Terminal Ban San Street(tempat asal yang ditetapkan)

Teksi Singapura boleh mengambil penumpang di Malaysia di:

- Toppen Shopping Centre
- Mid Valley Southkey Mall
- Angsana Mall
- Terminal Larkin (tempat asal yang ditetapkan)
Teksi boleh terus mengambil penumpang tanpa sekatan di negara asal mereka.

Bagaimana caranya?

Seorang penumpang di Singapura kini boleh menahan teksi Singapura untuk perjalanan terus dari rumah ke lokasi seperti Johor Bahru City Square.

Walau bagaimanapun, teksi Malaysia tidak boleh mengambil penumpang dari rumah di Singapura - ia hanya boleh berbuat demikian di tempat pengambilan yang ditetapkan, seperti berhampiran VivoCity.

Teksi rentas sempadan juga terhad beroperasi di kawasan yang diluluskan di Johor, iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Perjalanan di luar kawasan ini tidak boleh dilakukan secara langsung.

Bagaimana untuk tempah teksi rentas sempadan?

Grab kini merupakan satu-satunya platform khidmat kereta sewa privet yang boleh digunakan oleh pelawat untuk menempah teksi rentas sempadan.

Ia akan menjalankan perkhidmatan rintis yang dipanggil 'Cross-Border SG-JB' (Beta), yang akan dilancarkan secara beransur-ansur mulai 4 Mei di aplikasi Grab.

Dengan lesen baharu ini, Grab boleh menawarkan tempahan awal dari pintu ke pintu antara mana-mana sahaja di Singapura dan kawasan yang diluluskan di Johor.

Penumpang dari Singapura dan Malaysia boleh menempah perjalanan antara 12 jam hingga tujuh hari lebih awal.

Berapa kos perjalanan?

Menurut Grab, tambang ditetapkan terlebih dahulu semasa tempahan, mengambil rujukan daripada tambang tetap untuk perjalanan teksi rentas sempadan dengan teksi tepi jalan.

Tambang jalanan untuk perjalanan dari Terminal Ban San Street ke Terminal Larkin ialah S$80 (RM250) untuk empat tempat duduk standard, S$120 untuk enam tempat duduk standard dan S$180 untuk enam tempat duduk premium.

Tambang untuk perjalanan dari Terminal Larkin ke Terminal Ban San Street ialah RM240 (S$77) untuk empat tempat duduk standard, RM360 (S$115.30) untuk enam tempat duduk standard dan RM540 (S$172.96) untuk enam tempat duduk premium.

Tambang yang sama ini akan dikenakan untuk perjalanan sehingga 35 kilometer (km), dengan caj tambahan bagi perjalanan yang lebih jauh.

Menurut Grab, ia akan menawarkan diskaun pengenalan sehingga 20 peratus.

Bagaimana anda mengenal pasti teksi rentas sempadan berlesen?

Teksi berlesen akan mempunyai tanda "Cross-Border Taxi" yang dilekatkan pada kedua-dua belah serta awalan plat lesen tertentu - "H" untuk kenderaan Malaysia dan "SH" untuk kenderaan Singapura.

Pihak berkuasa juga mewajibkan teksi untuk dikenal pasti dengan jelas melalui papan tanda atas teksi mereka semasa beroperasi di negara lain.

Berapa banyak teksi yang disediakan?

Singapura dan Malaysia akan mengembangkan armada berlesen masing-masing sebanyak 100 teksi setiap satu, menjadikan jumlah baharu kepada 300 teksi di setiap negara.

Kuota tambahan akan digunakan untuk kenderaan yang lebih besar dan lebih premium bagi memenuhi keperluan keluarga dan kumpulan yang lebih besar, serta pelancong perniagaan.

Sasaran jangka panjang adalah untuk meningkatkannya kepada 500 teksi setiap negara.

Grab menyatakan "sebilangan" pemandu teksi GrabCab sudah pun dikeluarkan lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia.

"Grab sedang dalam proses menerima teksi rentas sempadan berlesen daripada GrabCab dan pengendali teksi lain," tambahnya.

"Grab telah memperkemas proses sokongan untuk pemandu teksi Singapura dan Malaysia bagi mengurus pendapatan mata wang silang dan keperluan kawal selia yang berbeza dengan lebih mudah."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita