Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jelang 2022, 3 masjid berupaya kendali kes pesakit demensia sesat, tidak tahu pulang

Rumah ibadah pertama di negara ini yang diiktiraf sebagai pusat Masyarakat Mesra Demensia (DFC), iaitu Masjid Assyakirin, kini mempunyai 50 'duta demensia'. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rumah ibadah pertama di negara ini yang diiktiraf sebagai pusat Masyarakat Mesra Demensia (DFC), iaitu Masjid Assyakirin, kini mempunyai 50 'duta demensia'.

Ini termasuklah kesemua 30 kakitangan sepenuh masa masjid itu, yang sudah terlatih untuk mengendalikan pesakit demensia yang dirujukkan kepadanya.

Masjid itu kini juga menjadi 'Go-To Point' (GTP), iaitu tempat untuk orang ramai di kawasan Taman Jurong menghantar pesakit atau penghidap demensia yang ditemui 'sesat' di tempat-tempat awam.

Menjelang tahun depan, sehingga tiga masjid setempat dijangka mempunyai keupayaan 'mesra demensia'.

Demikian dedah Pengerusi Masjid Assyakirin, Ustaz Muhd Hafiz Abdul Rashid, kepada BERITAmediacorp.

Masjid Assyakirin mula mengorak langkah menjadi masjid mesra demensia sejak Oktober tahun lalu. Ia kemudian diikuti oleh Masjid Ahmad juga sudah didaftarkan sebagai DFC dan GTP sejak tiga bulan lalu.

Masjid Ar-Raudhah pula dijangka menyusul pada awal tahun depan.

BAGAIMANA DFC & GTP BERFUNGSI?

Ini satu senario bagaimana DFC dan GTP di masjid berfungsi.

Sebaik sahaja seorang warga emas penghidap demensia dikesan hilang arah atau merayau-rayau kerana tidak tahu pulang, orang ramai ataupun 'duta demensia' boleh membawa pesakit demensia itu ke Masjid Assyakirin.

Di masjid itu, para pegawainya kemudian akan cuba mendapatkan pengenalan pesakit demensia berkenaan, termasuk memeriksa aplikasi 'Dementia Friends Mobile App' untuk mengetahui sama ada orang tersebut sudah dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya.

Pegawai masjid kemudian akan berusaha menyatukan pesakit demensia tersebut dengan keluarga masing-masing.

"Disebabkan Masjid Assyakirin terletak di kawasan perumahan dan estet yang matang yang mempunyai ramai warga senja dan warga tua, kami terasa terpanggil untuk menyertai kempen ini bagi mewujudkan satu ekosistem jaringan yang dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai isu demensia dan juga membantu membina keupayaan dalam masyarakat kita bagi menangani masalah ini secara sebuah komuniti," menurut Ustaz Muhd Hafiz.

50 duta demensia yang berjaya dipupuk masjid itu terdiri daripada kakitangan, sukarelawan dan juga jemaahnya sendiri.

Menurut Ustaz Muhd Hafiz lagi, mereka menjalani kursus tentang bagaimana mengenal pasti simptom demensia menerusi kolaborasi dan latihan daripada Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) dan Kelab Heal.

1 DALAM 10 WARGA BERUSIA 60 TAHUN DIJANGKA HIDAP DEMENSIA

Keupayaan dan khidmat sebegini dijangka lebih penting lagi dan banyak diperlukan pada masa depan.

Ini memandangkan satu kajian Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2015 menunjukkan 1 dalam setiap 10 warga berusia 60 tahun ke atas dijangka menghidap demensia. Bilangannya malah dianggar mencecah lebih 150,000 kes menjelang 2030, menurut Dementia Singapore.

Gambar fail TODAY.

Walaupun ia sebuah masjid, Ustaz Muhd Hafiz menekankan bahawa perkhidmatan berhubung demensia yang ditawarkan Masjid Assyakirin adalah "inklusif" untuk semua orang, bukan masyarakat Muslim sahaja.

"Ia terbuka kepada masyarakat secara keseluruhannya tidak kira bangsa mahupun agama mereka dapat meraih manfaat daripada perkhidmatan yang kami sediakan sebagai sebuah masjid yang mesra masyarakat demensia," ujar Ustaz Muhd Hafiz lagi.

SOKONGAN MASYARAKAT TERHADAP GOLONGAN DEMENSIA

Bagi Masjid Assyakirin, sejak memulakan khidmat tersebut, ia belum lagi menerima rujukan bagi kes-kes pesakit demensia yang 'hilang' atau 'sesat' di estet perumahan matang Taman Jurong itu.

Namun ibarat menyediakan payung sebelum hujan, ia sudahpun mempunyai keupayaan. Kini ia mahu meluaskan lagi seranta mengenai keupayaan 'mesra demensia' itu.

"Kami yakin jika kemahiran tersebut dapat juga disalurkan kepada ramai, (kepada) masyarakat, mereka turut akan dapat membina keupayaan mereka untuk menangani masalah ini secara efektif dan secara holistik," kata Ustaz Muhd Hafiz. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan