Jelajah Bazar: Pengunjung bazar Kampong Gelam gembira sajian tradisional masih ditawarkan di samping makanan 'trendy'
SINGAPURA: Bazar Kampong Gelam dikenali dengan makanan-makanan 'trendy' seperti 'tacos' dan 'steak'.
Namun, masih juga ada peniaga yang memilih untuk mengekalkan elemen-elemen tradisional dalam sajian yang mereka.
Ia termasuk menawarkan makanan 'fusion' iaitu menggabungkan elemen tradisional dengan moden.
Bukan sahaja burger, Smashed by The Halal Corner menawarkan pasta yang menerapkan unsur-unsur "sajian Melayu".
"Sebagai syarikat baharu, orang ingin sesuatu yang baharu, berbeza dan elemen kejutan. Jadi sebab itu kita menawarkan pasta Sambal Balado, pasta Lemak Cili Api," kongsi pemiliknya, Muhammad Asyraf Mohamed Rasheed kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Jadi rasanya seperti tekak kita orang Melayu/Islam. Ia bukan sahaja untuk orang dewasa atau budak sahaja. Orang tua juga boleh makan. Jadi 'fusion' memberikan keseimbangan yang baik untuk semua kumpulan usia dari muda hingga tua," tambahnya.
SMASHED TERIMA SAMBUTAN BAIK TAHUN INI
Mereka juga menitikberatkan aspek penjenamaan dan juga strategi pemasaran agar dapat menarik perhatian lebih ramai pelanggan.
"Jenama ialah yang paling penting yang kita ingin ketengahkan. Kita belanja lebih sedikit untuk jenama dan bungkusannya untuk menjadikannya lebih menarik. Jadi ia akan menangkap mata orang yang jalan, itulah ideanya," ujar Encik Asyraf.
Menurutnya lagi, suasana meriah di bazar itu juga membantu dalam perniagaannya.
"'Vibes' dia menarik lagi seronok dan meriah sebab ia baharu. Kita sudah bertahun-tahun berniaga di Bazar Geylang jadi ini sesuatu yang baharu dan ia lebih senang dan mudah. Generasi muda lebih suka datang ke sini," kata Encik Asyraf.
"(Pelanggan kita) bukan orang Melayu kita sahaja. 'Mat Salleh' pun ada, orang Cina pun ada dan kita menyaksikan tempahan berulang daripada pelancong serta rakyat Amerika yang datang dan ini adalah satu tanda yang baik kerana mereka boleh sahaja mendapatkan versi tidak halal, tetapi mereka tetap datang ke sini. Jadi saya rasa ini satu petanda yang baik, " tambahnya.
MAKANAN TRADISIONAL ADA PERMINTAAN; HOUSE OF LEMANG KEKAL TAWARKANNYA
Di samping itu juga, ada gerai-gerai yang menawarkan sajian tradisional asli.
Bagi House of Lemang misalnya, mereka yakin dengan permintaan bagi makanan tradisional meskipun perlu bersaing dengan makanan-makanan 'trendy' di bazar itu.
Mereka juga cuba memperkenalkan hidangan baharu agar para pelanggan dapat mencuba makanan tradisional lain pada Ramadan ini.
"Kita memberi yang terbaik untuk pelanggan kita. Kita ingin mereka datang kembali di mana apabila mereka berbelanja, mereka tahu mereka akan dapat makanan yang bermutu dan enak," kongsi pemiliknya, Ibrahim Muhd Sardah.
"Rendang sama setiap tahun dan kita juga ada nasi impit. Setiap tahun, kita ada penambahbaikan seperti nasi impit dan ayam bakar yang kita tawarkan tahun ini," tambahnya.
LEBIH RAMAI ANAK MUDA MINAT CUBA MAKANAN TRADISIONAL
Encik Ibrahim juga mendapati lebih ramai anak muda kini yang minat untuk cuba makanan tradisional.
"Anak muda sedang belajar sekarang. Mereka sedang belajar kerana bukan setiap hari mereka akan mencari makanan 'trendy'. Kadangkala, mereka juga ingin perubahan dan rasa macam makanan ibu bapa mereka dahulu. Jadi apabila mereka rasa rendang dan lemang, ramai yang terpikat," ujar Encik Ibrahim.
Syarikat itu juga memperkenalkan beberapa ciri-ciri moden dalam perniagaan mereka seperti kaedah pembungkusan lemang menggunakan pek vakum dan kaedah pembayaran moden seperti PayNow untuk memudahkan proses membayar.
Bagi para pengunjung yang ditemui, mereka gembira melihat makanan-makanan tradisional masih ditawarkan dan lazimnya menjadi pilihan untuk hidangan berbuka puasa.
"Senang kita cari makanan Melayu biasanya rendang, kuih-muih banyak ada di sini," kongsi salah seorang pengunjung, Encik Sayrol Soradi.
TERDAPAT SAJIAN TRADISIONAL MASYARAKAT LAIN JUGA DI BAZAR KAMPONG GELAM
Selain sajian warisan Melayu, terdapat juga makanan tradisional masyarakat lain yang mencerminkan kerencaman masyarakat Muslim di sini.
Ini termasuk makanan tradisional kaum Arab dan India.
"Kita ingin memenuhi citarasa mereka dari kumpulan usia yang berbeza kerana bukan semua yang datang ke sini adalah yang muda. Kita juga ada yang berumur di sini," kongsi Penganjur Acara 'Gemilang Kampong Gelam', Burhan Jumadi.
Malah, sambutan pengunjung juga lebih meriah berbanding tahun lalu.
"Memang meriah dan ia menampilkan semangat Ramadan," kongsi seorang pengunjung, Harriz Zulfiqri.
"Saya rasa waktu bulan puasa sahaja yang ada juadah-juadah yang pelbagai dan di satu tempat jadi senang untuk dicari," kongsi seorang lagi pengunjung, Cik Arlitaharianty Sayrol.
Menurut pihak penganjur juga, ia menyaksikan ramai pelancong di bazar itu.
"Terdapat juga pelbagai pelancong yang ada di Kampong Gelam. Mereka kemungkinan ingin mempelajari budaya dan warisan Kampong Gelam dan juga dapat tahu lebih lanjut tentang Ramadan," jelas Encik Burhan.
"Kita di Malaysia sudah biasa jadi hari ini kita ingin rasa masakan orang-orang Singapura, macam mereka membuat rendang, lemang jadi kita ingin rasa ada tak persamaannya dan banyak juga makanan-makanan yang kita tidak pernah jumpa di Malaysia sebagai contoh, pisang 'cheese' yang berwarna-warni itu dan air tebu yang dicampur dengan buah-buahan," kongsi seorang pengunjung Eizlan Azman.
Bazaar Kampong Gelam akan dibuka hingga Jumaat (5 Apr) ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.