Skip to main content

Singapura

Jelajah Bazar: Penduduk Sembawang diberi peluang berniaga sama di Bazar Raya Utara Sembawang setelah jalani kursus

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Mar 2024 05:44PM Dikemas Kini : 17 Mar 2024 09:32PM

SINGAPURA: Penduduk di bahagian utara Singapura kini mempunyai satu lagi pilihan Bazar Ramadan berikutan peluasan Bazar Raya Utara ke kawasan Sembawang.

Terletak bertentangan dengan stesen MRT Sembawang, bazar Ramadan itu menawarkan 70 gerai yang kebanyakannya menjual juadah berbuka puasa.

Menariknya, ia turut menampilkan gerai-gerai yang menjual makanan daripada pelbagai kaum dan negara bagi menepati citarasa pelanggan yang pelbagai.

Antaranya ialah 'korean waffles', tanghulu, pisang goreng Thai dan juga tiram segar!

Dengan tema 'Kemesraan Ramadan, Kemesraan Bersama', bazar itu turut memberi peluang kepada penduduk Sembawang dan Canberra untuk cuba berniaga di situ.

Khas di bazar itu ada 10 gerai yang dikhususkan buat penduduk Sembawang dan Canberra yang sudah menjalani Program Niaga Mikro AMP.

Sepanjang tiga bulan mereka dibimbing untuk uruskan sebuah perniagaan dan menambah ilmu bagaimana untuk menjalankan perniagaan dari rumah (HBB) dengan lebih berjaya.

Ini termasuk kemahiran pemasaran dan perancangan kewangan.

10 penduduk itu kemudian diberi peluang untuk berniaga di bazar Ramadan di Sembawang untuk mempraktikkan apa yang mereka pelajari.

Usaha ini merupakan hasil kerjasama antara M³@Woodlands, Masjid Assyafaah dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Canberra dan Sembawang.

PERNAH BERNIAGA KECIL-KECILAN, TERPAKSA TUTUP AKIBAT COVID-19

Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Antara mereka yang berpeluang untuk menonjolkan bakat berniaga adalah Cik Noorlilah Anoor.

Namun perjalanannya untuk menjalankan sebuah perusahaan milik sendiri cukup berliku.

Sebelum ini, beliau pernah berniaga kecil-kecilan menjual Nasi Padang tetapi kedainya terpaksa ditutup akibat COVID-19.

Peristiwa itu sebaliknya membuatnya lebih bersemangat untuk mempertingkatkan diri dan pelajari dari kesilapan.

"Program ini banyak membantu dalam segi untuk mempertingkatkan dan mengembangkan perniagaan saya. Ia banyak membantu terutama sekali daripada perbelanjaan dan kewangan saya. Jadi ia amat membantu untuk mengawal belanjawan dan kewangan kami supaya ia tidak terlalu berlebihan dan untuk tahu macam mana perbelanjaan kita untuk meniaga,"kongsi Cik Noorlilah.

Di Bazar Raya Utara @ Sembawang Town itu, beliau menjual pencuci mulut tradisional seperti kuih jongkong, badak berendam, bubur kacang hijau, bubur merah dan hitam dan pengat pisang.

Ini berikutan permintaan ramai untuk bubur tradisional sebagai pencuci mulut Ramadan ini.

Cik Noorlilah berharap dapat mengaplikasikan apa yang dipelajarinya dalam peluang perniagaan di bazar Ramadan ini.

"Harapan seterusnya untuk membuka kedai lagi insya-Allah kalau ada rezeki dan kalau tidak pun saya akan kembangkan perniagaan dari rumah (HBB) saya," ujar Cik Noorlilah.

INGIN BANTU KELUARGA, CEBURI PERNIAGAAN DARI RUMAH

Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Seorang lagi peserta yang meraih manfaat daripada program itu adalah Cik Noorsaridah Mohd Sariman.

"Sebelum ini saya suri rumah jadi semasa pandemik, suami saya dibuang kerja, jadi saya baru melahirkan jadi saya tidak ada pilihan lain, semua orang harus duduk di rumah tetapi saya mengambil inisiatif lain untuk membuka HBB.

"Jadi saya pergi ambil kursus seperti kebersihan makanan untuk memperbaiki pendapatan kami kerana pada masa itu tidak ada apa-apa bantuan kewangan.

Melalui program ini, beliau dapat melihat perbezaan ketara dalam perniagaannya dengan hasil jualannya melonjak sehingga 50 peratus.

Ia juga memberinya keyakinan untuk terus berusaha dan lakukan yang terbaik.

"Alhamdulillah, Program Niaga Mikro ini banyak mengajar kita erti usul periksa daripada membeli barangan yang harus dicatatkan setiap bulan dan bagaimana jikalau kita mendapat keuntungan, kami boleh menyimpannya atau gunakannya," ujar Cik Noorsaridah.

Beliau juga berharap pengalaman berniaga di bazar Ramadan ini dapat memberinya lebih keyakinan untuk meluaskan perniagaannya itu kelak.

BAZAR DI SEMBAWANG - BAZAR RAYA UNTUK MASYARAKAT

Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Inisiatif menghantar 10 penduduk Sembawang itu ke Program Niaga Mikro AMP dan kemudian berniaga di bazar Ramadan adalah sebagai usaha untuk menyemarakkan lagi semangat keusahawanan para peniaga di kawasan Canberra dan Sembawang.

"Ini ada peluang bagi penghuni di keliling Sembawang untuk bersama para penganjur juga untuk mengendalikan bazar kerana mereka diberikan kesempatan untuk menonjolkan produk- produk mereka dan mereka bukan sahaja datang untuk menikmati Bazar Raya Utara tapi juga untuk mengambil bahagian dalamnya juga, jadi itulah satu keunikan Bazar Raya Utara di Sembawang ini kerana ini adalah bazar raya untuk masyarakat," kata Pengerusi Bazar Raya Utara di Sembawang, Muhammad Harmizan.

Menurut pihak penganjur, program rintis itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dan ia akan diperluaskan untuk melibatkan lebih ramai peserta.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita