Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jelajah Bazar: Pembeli 'serbu' bazar-bazar pop-up Hari Raya semasa cuti panjang Good Friday

Tinggal dua minggu sebelum Syawal menjelma.

Ketika inilah masyarakat Melayu/Islam sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tinggal dua minggu sebelum Syawal menjelma.

Ketika inilah masyarakat Melayu/Islam sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Pada bulan Ramadan ini, bazar Ramadan tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Bukan sahaja Bazar di Geylang Serai dan Kampojng Gelam, banyak bazar lebih kecil atau 'pop-up' yang muncul di merata negara.

Pada hujung minggu ini sahaja, hampir 10 bazar 'pop-up' termasuk Bazar Pop Up Raya anjuran Laloolalang, serta Bazar Mega Raya anjuran syarikat MegaXpress yang diadakan di Singapore EXPO. 

'

Semasa cuti panjang Good Friday hujung minggu ini, hampir 10 bazar 'pop-up' dianjurkan, termasuk Bazar Pop Up Raya anjuran Laloolalang dan Bazar Mega Raya  di Singapore EXPO anjuran  MegaXpress.

Dengan begitu banyak pilihan, bagaimanakah bazar-bazar tersebut menambat hati pembeli?

Pengarah Projek Laloolalang Encik Den Sabari berkata tidak seperti bazar raya berskala besar, para penganjur bazar lebih kecil perlu memastikan produk-produk lebih khusus dan lebih eksklusif ditawarkan, bersesuaian dengan kumpulan pembeli yang disasarkan.

'

Encik Den berkata: "Kita pastikan kita ada berbagai-bagai vendor yang menjual pelbagai keperluan untuk Hari Raya. Jadi penting untuk kita pilih khusus supaya ada pilihan. Ada kuih-muih, ada songkok dan sebagainya. Jadi ia menjadi satu acara sehenti untuk para pengunjung. 

Bazar Pop Up Raya Laloolalang menampilkan kira-kira 50 gerai runcit dan makanan. 

"Sebagai penganjur, saya rasa acara tiga hari ataupun sebulan sudah tentu ada cabaran berbeza. Untuk acara tiga hari, ia cepat dan padat. Kalau acara sepanjang 30 hari, banyak sangat perancangan," ujar Encik Den.

Bagi para peniaga pula, salah satu daya tarikan bazar-bazar pop-up adalah kadar sewanya yang rendah serta tempoh yang singkat.

BAZAR TIGA HARI SUDAH MENCUKUPI UNTUK JENAMA-JENAMA KECIL 
Sejak memulakan jenama online Pure Studios.Co pada 2019, Cik Sid Yahya sering meneroka peluang kaedah-untuk menjual produk-produknya yang berteraskan fesyen buat kaum Muslimah. 

Salah satu cara adalah untuk menyewa gerai di bazar-bazar kecil pada bulan Ramadan. 

'

Beliau lebih cenderung untuk menyewa ruang di bazar-bazar pop-up.

Cik Sid berkata: "Pelaburan perlu lebih kalau kita ambil gerai di bazar sepanjang bulan. Duit perlu keluar, bekalan perlu keluar. Kalau bazar pop-up, apa yang kita ada sudah mencukupi. Kalau ada bekalan berlebihan pun, cukup untuk kita jualkan secara online. Jadi ini huraian selamat untuk kita." 

"Jenama kecil seperti kita pun tidak ada banyak sangat bekalan ataupun kakitangan. Jadi kita rasa acara tiga hari sudah mencukupi untuk penjualan dan juga untuk menarik para pelanggan baru," tambah beliau lagi. 

Pada bulan Ramadan ini, Cik Sid menyertai dua bazar pop-up termasuk Bazar Pop-Up Raya anjuran Laloolalang di Pusat Seni Aliwal.

'

"Ia juga satu peluang untuk kita keluarkan koleksi baru. Ia juga satu peluang untuk para pelanggan rasakan kain fabriknya sebab kita secara keseluruhan berniaga secara online. Tetapi ini peluang untuk kita jumpa dengan pelanggan juga," ujar Cik Sid. 

Dalam pada itu, Cik Sid berpendapat bahawa bazar-bazar pop-up mempunyai daya pemasaran agak kuat, yang akan dapat meningkatkan kesedaran jenama beliau. 

Cik Sid berkata: "Saya rasa untuk Laloolalang, mereka ada demografik para pengikut yang tersendiri, yang sesuai dengan demografik jenama saya. Itu penting. Ia mendatangkan para pelanggan baru juga."

HARGA SEWA RENDAH BAZAR POP UP SEBAB PENIAGA SEWA GERAI 

Sewa bagi gerai kecil di Bazar Pop Up Raya anjuran Laloolalang adalah sekitar S$900 untuk tempoh tiga hari bazar itu diadakan.

Ini adalah antara faktor yang mendorong pengasas jenama Nara Dsign, Nadzirah Abdul Malik, untuk menyertainya.

Cik Nadzirah berkata: "Harga sewa di sini S$900. Menerusi penjualan, kita boleh tampung dan dapat balik dalam satu hari. Kalau bazar sepanjang bulan, kita perlu tunggu dua tiga minggu sebab orang pun mula berbelanja pada hujung-hujung bulan. Minggu-minggu pertama mereka selalu beli makan atau ronda-ronda sahaja."

Sebelum ini, Cik Nadzirah pernah menyewa gerai di bazar Ramadan yang diadakan sepanjang bulan, namun, beliau berpendapat "sekali sahaja sudah mencukupi". 

'

Cik Nadzirah berkata: "Kita lebih suka bazar tiga empat hari. Kalau satu bulan, kita perlu beri tumpuan kepada gerai kita, jadi penatnya kita boleh kurangkan."

"Kalau sepanjang bulan, kita perlu mencari kakitangan dan bekalan. Kalau bazar jangka pendek kita boleh fokus kepada penjualan online dan pada hujung minggu kita jual di bazar pop-up," tambah beliau lagi. 

'

Cik Nadzirah juga menyewa gerai di bazar lain seperti di bazar Celebfest di Pusat Konvensyen Suntec City. 

Menurut Cik Nadzirah, prroduknya lebih laris di bazar pop-up.

"Kalau di bazar sepanjang bulan, kita pun tidak tahu gelombang pelanggannya macam mana. Kalau acara bazar sebegini, memang kita tahu para pelanggan yang datang mereka sudah tahu apa yang ingin mereka beli. Mereka yang datang memang sudah tentu datang ke bazar untuk membeli," ujar Cik Nadzirah.  

SELEBRITI MALAYSIA BENTUK SEBAHAGIAN BESAR PARA PENIAGA DI BAZAR MEGA RAYA

Satu lagi bazar popular pada bulan Ramadan ini adalah Bazar Mega Raya anjuran syarikat MegaXpress International di Singapore EXPO.

Ia menampilkan kira-kira 70 gerai yang menjual pelbagai keperluan Hari Raya seperti kuih-muih dan baju-baju Raya. 

Menurut pihak penganjur,  sekitar 50 peratus gerai-gerai disewa oleh para para peniaga dan artis seberang tambak, termasuk penyanyi irama Nuraniza Idris, dan para pelakon seperti pasangan suami isteri Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin. 

Selain membeli-belah bagi persiapan Hari Raya, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan-persembahan khas oleh para selebriti yang hadir. 

Beberapa pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp gembira dengan seleksi barangan yang dijual serta hiburan yang disediakan.

Para pengunjung ke bazar itu juga mengalu-alukan suasana bazar yang lebih 'santai' berbanding bazar-bazar di kawasan Geylang Serai ataupun Kampong Gelam yang lebih sesak terutama pada hujung minggu.

Seorang pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp, Cik Sumanah, berkata: "Di sini suasananya sedikit dingin kalau dibandingkan di Bazar Geylang. Kita boleh berjalan juga, kalau di Geylang berasak-asak, sempit. Jadi di sini kita boleh santai."

"Bila sampai di sini saya dapati banyak kedai-kedai di sini dikendalikan artis-artis jadi saya ingin cuba kuih-muih jenama artis itu sendiri dan ingin sokong mereka," tambah beliau. 

Encik Farhan dan isterinya, Cik Syura pula berkata: "Kita ingin meneroka, dan juga bonus ada para artis yang kita boleh bersemuka dengan mereka. Lagipun di sini barangnya murah, dan di bazar Geylang sangat ramai orang, jadi di sini lebih baik." 

"Kami datang kerana hendak cari keperluan Hari Raya seperti baju-baju Raya dan kuih-muih," ujar Cik Aishah, 

"Kalau nak bandingkan, ada hawa dingin lebih selesa, ia lebih sesuai terutama sekali kalau ada anak-anak. Mereka kurang meragam," tambah beliau. 

KAWALAN KESELAMATAN DIPERTINGKATKAN

Dengan begitu ramai pengunjung yang datang serta kehadiran selebriti yang mengambil bahagian, pihak penganjur MegaXpress International mengambil langkah untuk memperingkatkan tahap keselamatan.

Ini lebih-lebih lagi selepas berlakunya kes serangan ke atas selebriti Malaysia Kamal Adli di acara Hari Raya Mega Sale beberapa minggu lalu.

Pengurus Projek Kanan syarikat MegaXpress International, Mohammad Fadzlin Mohd Yusof berkata: “Acara kali ini, kita utamakan keselamatan para peniaga dan pelanggan.”

“Kali ini, kita melaksanakan pemeriksaan beg bagi para pengunjung yang datang, selain memastikan para pegawai keselamatan meronda dewan pada setiap masa,” dedah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan