Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jelajah Bazar: Kadar sewa berpatutan di Bazar Ramadan Sembawang West beranikan peniaga dari rumah ceburi perniagaan bazar

Membuka perniagaan di bazar Ramadan mungkin satu pelaburan yang perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi buat para peniaga dari rumah yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Membuka perniagaan di bazar Ramadan mungkin satu pelaburan yang perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi buat para peniaga dari rumah yang mahu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Mujur terdapat bazar Ramadan di kawasan kejiranan seperti di Bazar Ramadan Sembawang West yang menawarkan kadar sewa yang tidak terlalu mahal dan memerlukan modal yang tidak terlalu tinggi.

Misalnya, sewa bagi gerai kecil di situ boleh mencecah serendah S$800 untuk tempoh kira-kira tiga minggu bazar itu dibuka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ini adalah antara faktor yang mendorong peniaga HBB seperti Cik Hidayatul Fathiah Aminordin untuk mencuba nasib pada bulan Ramadan ini.

Beliau menjual 'Sushibakes' iaitu antara hidangan 'viral' sejak kebelakangan ini.

Berbeza daripada makanan Jepun biasa 'Sushi', nasi dibakar bersama tuna, ketam atau daging sebelum ia dimakan dengan rumpai laut atau 'seaweed'.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Maklum balas positif pelanggan termasuk rakan-rakan dan saudara-mara berserta populariti hidangan itu memberanikan Cik Hidayatul Fathiah Aminordin, 32 tahun untuk menjualnya di bazar Ramadan tahun ini.

Sebagai seorang peniaga dari rumah (HBB), inilah kali pertama beliau mencuba nasib berniaga di bazar sebagai langkah mengembangkan jenamanya 'That Random Crave'.

"Mempunyai penampilan secara fizikal akan sangat membantu. Sebab itu kami ambil keputusan untuk menyertai bazar Ramadan dan khususnya mengapa Ramadan ialah itulah masanya di mana orang ramai akan berkumpul di sesebuah tempat untuk mencari makanan. Alhamdulillah juga daripada bazar ini, kami sudah melihat peningkatan dalam pengikut-pengikut kami," kata Cik Hidayatul.

SEWA RENDAH, MAKANAN HABIS TERJUAL KURANG 3 JAM

Bazar Ramadan Sembawang West di Admiralty menjadi pilihan Cik Hidayatul menyewa gerai dengan harga S$800.

Meskipun saiz gerainya kecil sahaja, ia tidak henti-henti dikunjungi pelanggan sejak ia dibuka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Dalam masa kurang tiga jam sahaja BERITAmediacorp berada di situ, kesemua makanan termasuk Roti Kirai dan Lempeng serta 60 set Sushibakes yang dibawanya habis dijual.

Itu mendorongya untuk terus menawarkan lebih banyak pilihan kepada para pelanggannya.

"Apabila para pelanggan datang dan kami sudah habis menjual perisa yang mereka hendak, mereka boleh menempah dan boleh datang untuk mengambilnya esok juga. Alhamdulillah, kami sudah dapat menampung kos dan perbelanjaan kami. Jadi sekarang ini, kami hanya sasarkan untuk meraih seberapa banyak yang boleh," tambahnya.



USAHAWAN MUDA BUKA GERAI DI BAZAR SELEPAS 2 TAHUN BERNIAGA ONLINE

Seorang lagi HBB yang mengambil langkah berani meneroka dunia bazar ialah Nuryusrina Yazid, 21 tahun.

Berbekalkan azam untuk mengembangkan jenama pakaian dan aksesori Muslimah, SoftNSubtle, usahawan muda itu mengambil keputusan membuka gerai selepas dua tahun berniaga secara online.

"Salah satu perkara yang saya takutkan adalah macam mana nak tampung kos ini? Macam ada untung ke tidak? Kita sudahlah penat kan," kata Nuryusrina.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Beliau yang masih bekerja sambilan pada siang hari, perlu mengimbangi masanya.

Pun begitu, beliau menghargai segala ilmu yang dapat ditimba melalui pengalaman ini.

"Salah satu perkara utama ialah mengimbangi atau melakar strategi pukul berapa untuk buka kedai, bagaimana untuk tutup, bagaimana gerai itu patut dihias, lampu, langsir. Jadi ada banyak perkara. Apa produk untuk dibawa masuk, santai ke tidak, hijab ke. Jadi banyak perkara untuk diambil kira tapi Alhamdulillah, sejauh ini saya mengambil setiap cabaran sebagai pengajaran bagi saya," tambahnya.

UTAMAKAN KEMUDAHAN BUAT PARA PELANGGAN

Sambil menyelam minum air, Nuryusrina juga menjual produknya secara serentak di TikTok.

Selain dapat menambah sumber pendapatan, ia memudahkan lagi pelanggannya untuk membeli barangan yang ditawarkannya.



"Terdapat beberapa mesej yang menyatakan 'alamak, gerai anda itu jauh. Saya ingin datang tetapi tidak boleh datang sebab terlalu jauh'. Saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan kemudahan kepada para pelanggan saya. Tidak ada perbezaan ketara. Kami selalu meletakkan had tidak lebih daripada S$30. Jadi kami ingin membuat pakaian kami boleh dimampui," tambahnya.

Dengan pengalaman yang memberangsangkan ini, mereka berdua merancang untuk terus menyertai bazar-bazar pada masa akan datang.



PENAMPILAN SELEBRITI M'SIA WARNAI SUASANA BAZAR

Selain kemunculan peniaga HBB, antara tarikan menarik di bazar di Admiralty itu juga ialah penampilan artis-artis seberang tambak yang turut sama berniaga sambil beramah mesra dengan para pengunjung.

Antaranya ialah penyanyi legenda dan usahawan Khadijah Ibrahim.

Beliau menjual pelbagai jenis produk rempah dan pes masakan serta minuman yang dibawa masuk dari Malaysia.

"Percaya ataupun tidak, Rendang Tok, Ayam Kapitan, Sambal Tumis, Nyonya Laksa dan Sambal Tumis ini adalah makanan di mana ibu sendiri yang menyediakan," kata Khadijah Ibrahim yang mesra digelar 'Ibu'.



Jika biasanya beliau berniaga di bazar yang lebih besar seperti di Singapore Expo, inilah pertama kali beliau berniaga di bazar kejiranan.

"Di sini sahabat menjemput saya iaitu Encik Abdul Rani (penganjur). Dia kata marilah kalau boleh sertai kami dan saya kata mengapa tidak? Cuba sesuatu yang berlainan yang saya tak pernah buat dulu," tambahnya semasa diwawancara secara langsung di BERITA.

Penyanyi asal Singapura yang berusia 63 tahun itu turut melahirkan penghargaan kepada para penyokongnya di Singapura.

"Terima kasih kerana sokongan anda selama 45 tahun saya dalam bidang seni suara dan juga makanan saya selama 30 tahun. Semua memberi sokongan yang begitu mantap. Saya dilahirkan di Singapura, saya sayang Singapura dan saya akan kembali," ujarnya.

Khadijah Ibrahim juga merancang untuk menyambut Hari Raya di sini pada tahun ini.



Antara selebriti yang turut merancakkan lagi suasana di bazar itu termasuk Acong Sweetchild yang menjual hidangan pencuci mulut yang terkenal di kedua-dua negara, Cendol.

Menurut penganjur Adex International Pte Ltd, beberapa lagi selebriti dari Malaysia akan turun padang untuk memeriahkan lagi bazar ini seperti Abby Abadi, Zarina Zainuddin, Safura dan Azza Elite.

Bazar Ramadan Sembawang West ini dibuka setiap hari hingga 10 April.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan