Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jelajah Bazar: Acara Raikan Cahaya Ramadan tutup tirai, tarik lebih setengah juta pengunjung

Anggaran Waktu Membaca:


BERITAmediacorp: Acara Raikan Cahaya Ramadan yang merangkumi bazar Kampong Gelam menerima lebih setengah juta pengunjung sepanjang 33 hari ia berlangsung.

Menurut One Kampong Gelam, 30 peratus daripada lebih 550,000 pengunjung itu merupakan golongan pelancong.



Selain pelbagai aktiviti yang ditawarkan seperti pancaran cahaya berwarna-warni, pertunjukan dron pada waktu malam dan persembahan-persembahan secara 'live', antara daya tarikan bagi acara itu ialah Bazar 'Glam Eid' di kawasan Kampong Gelam.

"Sambutan memang luar biasa dan di luar dugaan bagi kita sebagai pihak penganjur. Kalau kita lihat, walaupun di titik-titik terakhir ini, sambutan yang kita lihat begitu ramai yang mengunjung di sini dari semua lapisan masyarakat dan pelancong. Yang banyak itu golongan anak-anak muda yang banyak mengisi bazar ini setiap malam," kongsi Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Ma'arof.

"Kalau kita dapat lihat sekarang, peniaga yang mengambil gerai di sini, rata-rata 50 peratus itu di bawah 35 tahun. Jadi kita dapat melihat semangat keusahawanan mereka itu tinggi. Semangat itu yang perlu kita teruskan," tambahnya.



Sambutan pengunjung yang memberangsangkan itu juga menurut Encik Zaki disebabkan tawaran beraneka makanan moden dan 'trendy' yang dijual oleh para peniaga muda.

Ini termasuk makanan burger dan steak ala Brazil, hidangan Jepun, Vietnam, Korea dan pelbagai lagi.

Maka itu, tidak hairanlah dengan pelbagai idea baru yang dibawa masuk bagi menyemarakkan lagi suasana di bazar berkenaan.



Antara peniaga muda yang mencuba nasib berniaga di bazar itu ialah Pengurus Besar Zeekri Pte Ltd, Frankie Siok.

"Strategi tahun ini adalah kita membawa citarasa yang asli dari Korea dengan makanan yang original, seperti 'tteokbokki'', 'jjajangmyeon' dan ayam goreng yang amat diketahui oleh orang tempatan kerana makanan Korea itu amat diketahui dan citarasanya amat disukai oleh orang tempatan yang berani mencuba makanan kita" kata Encik Siok.



Konsep baru yang ditawarkan ini ternyata berhasil menarik ramai pelanggan.

"Sambutan untuk kali ini amat menggalakkan dan pelanggan yang kita menarik dan menerima kebanyakan orang pelanggan yang muda, anak muda yang ingin mencuba makanan trend Korea yang kita ketahui sebagai K-Pop," ujarnya.



Namun, di samping pembaharuan yang diperkenalkan peniaga-peniaga muda, ada juga yang cuba menyuntik pembaharuan dalam memartabatkan makanan tradisi.

Ia termasuk Munchie King by MK, yang pertama kali mencuba nasib membuka gerai di bazar ini.

Pemiliknya, Encik Raihan Ramli berkata, "Kita menjual Lok Lok, dendeng, sate goreng dan juga lontong kering dan kita pilih tradisional sebab tradisional tak mati. Tradisional akan sampai bila-bila orang akan cari"


Encik Raihan (Kanan) bersama abangnya

Dengan hidangan tradisional dengan sentuhan baru, ia berjaya menarik pelbagai lapisan pelanggan ke gerai Encik Raihan.

"Banyak 'Mat Salleh' dan juga orang Cina juga yang datang untuk membeli makanan kita dan ada anak muda. Untuk anak muda mereka suka makan Lok Lok. Lok Lok senang untuk dimakan, hanya goreng sahaja dan makan dengan sos dan makcik-makcik and pakcik-pakcik juga suka datang makan lontong kering," jelas Encik Raihan.



Tawaran kedua-dua makanan moden serta tradisional ini di bazar itu disambut baik para pengunjung.

"Kini, macam susah nak dapat (makanan) tradisional sebab sekarang mereka kebanyakannya menjual makanan moden, jadi saya lebih suka tradisional," kata seorang pengunjung, Cik Nuraisha Abdul Murali.

Bagi seorang lagi pengunjung, Cik Nurin Jazlina, "Saya rasa okey ada perubahan baru tetapi kadang-kadang mungkin tak selera kepada orang tua tetapi okey melangkah ke hadapan, ia lebih baik untuk ada perubahan juga"

SUASANA DAN DEKORASI ANTARA DAYA TARIKAN BAZAR GLAM EID

Selain makanan-makanan 'trendy', kesegaran suasana dan dekorasi di situ juga antara daya tarikan Bazar di Kampong Gelam ini.

Ini termasuk hiasan lampu dan trak makanan bagi menghidupkan lagi suasana bazar itu.



Ada peniaga juga yang masak dan hidangkan makanan di hadapan para pengunjung dengan konsep 'open-fire'.

"Lebih meriah sedikit dengan 'outdoor' kirakan kalau macam dibandingkan dengan bazar di EXPO ke di Suntec, itu macam 'indoor' sedikit. Jadi ada anak-anak ini semua nak beri mereka tengok kemeriahan di bazar-bazar ini," kata Encik Nuruddin Mazlan yang datang bersama keluarganya.

Bazaar 'Glam Eid' yang merupakan sebahagian daripada acara Raikan Cahaya Ramadan turut menawarkan pelbagai pakaian dan produk gaya hidup.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan