Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejaka pembuat kuih tradisional Melayu, 'barber' wanita ini pecah stereotaip demi minat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja tentang kuih-muih tradisional Melayu seperti Puteri Salat Durian, Kuih Bakar Ubi, Pulut Serunding dan Serawa Durian, anda mungkin terbayangkan ia adalah air tangan seorang wanita berpengalaman.

Namun, siapa sangka di sebalik kuih-muih yang enak di sebuah kedai terpencil di Bukit Batok adalah seorang pembuat kuih lelaki, lengkap berkaca mata dan berjambang!

Encik Samadi Abdul Ghani, 46 tahun, yang juga pemilik The Kuihmaker malah pada awalnya membuat dan membungkus kuih serta mengendalikan kedainya sendiri apabila ia baru dibuka November lalu.

"Biasanya, makcik Melayu yang buat kuih-muih tradisonal, tetapi saya tidak kisah. Bagi saya, bagus untuk pecahkan stereotaip itu.

"Kalau ada Cef Bob dan Cef Wan, kenapa tidak ada cef yang menerajui kuih Melayu?" ujar Encik Samadi.

(Gambar: Ira Musfirah)

Kini beliau mempunyai sekitar 10 kakitangan yang membantunya membuat dan membungkus kuih serta mengendalikan kedai di Bukit Batok West Avenue 9 itu.

Malah, bekas guru sambilan Bahasa Melayu selama 14 tahun dan bekas ejen hartanah selama 15 tahun ini sanggup meninggalkan kerjayanya demi memartabatkan dan meneruskan warisan kuih-muih tradisional Melayu dalam kalangan masyarakat.

"Bagi saya, industri kuih di Singapura tidak meriah, seperti dianaktirikan dan acuh tak acuh. Budak-budak muda pun lebih gemar kepada kek cawan, misalnya. 

"Makanan itu memberi memori dan nostalgia. Jika kita tidak dedahkan kuih-muih tradisional dari kecil, benda itu akan malap.

"Kita nak ada legasi, jadi benda ini berpanjangan," kata beliau.

TIMBA ILMU DARI IBU SENDIRI

Encik Samadi mula berjinak-jinak dengan kuih-muih tradisional Melayu sejak ibunya yang disifatkannya sebagai "Kuihmaster" dan sering memenuhi tempahan kerja kahwin, mula jatuh sakit sekitar lapan tahun lalu.

Ini sekali gus meninggalkan tanggungjawab membuat kuih-muih itu kepada dirinya sebagai anak tunggal bagi memenuhi tempahan tersebut.

Namun tempahan yang dibuat oleh Masjid Mawaddah sekitar lima tahun lalu membulatkan tekadnya untuk terus mendalami bidang kuih-muih Melayu ini.

(Gambar: Ira Musfirah)

"Rasanya lain sebab saya dapat rasa keberkatannya memberi makan kepada orang yang solat Jumaat. Ketenangan itu ada," kata bekas penuntut Politeknik Singapura dalam jurusan pentadbiran perniagaan ini.

Namun, yang pasti, legasi membuat kuih-muih tradisional Melayu itu ingin diteruskan, sambil berpegang kepada prinsip yang diterapkan oleh ibunya.

"Ibu saya mengajar saya supaya pastikan bahan-bahannya elok dan jangan lokek bahan-bahan.

"Macam mana ibu saya ajar, macam begitu jugalah saya ikut. Dekat pada cara pembuatan kuih dan dekat di hati," kongsi Encik Samadi.

Jelas, memecah stereotaip bukanlah misi utamanya, namun menyerlahkan potensi kuih-muih Melayu lebih penting bagi dirinya.

"Jika ia cukup penting bagi diri anda, lakukan sesuatu. Saya bukan sesiapa, saya cuma menggerak sahaja untuk kuih-muih ini melangkah ke hadapan."

FIDD 'TAUKE BARBER' 

Seorang lagi individu yang berani keluar dari kepompong kebiasaan ialah Cik Siti Rafidah Osman, 30 tahun.

Wanita 30 tahun ini bukan sahaja mahir memotong rambut lelaki, namun beliau juga 'tauke barber' di Limpeh Barbershop yang terletak di Bedok North Street 3 sejak sekitar tujuh tahun lalu.

(Gambar: Ira Musfirah)

Beliau yang lebih mudah disapa sebagai Fidd berkongsi bahawa minatnya berputik selepas beliau harus melakukan kajian mengenai dandanan lelaki sewaktu di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) lapan tahun lalu.

Beliau kemudian mula belajar kemahiran dandanan dan menggunting rambut lelaki daripada rakan-rakan lelaki yang lain.

"Ia bukan sekadar gunting rambut tetapi juga tentang khidmat pelanggan. 

"Saya sedar bahawa saya berminat dalam khidmat pelanggan. Apabila mereka gembira, saya rasa itu yang saya mahukan - untuk rasa dihargai dengan apa yang saya lakukan dalam kehidupan," kongsi beliau dengan BERITAmediacorp.

Malah, beliau tidak menyangkal ada yang mempertikaikan kebolehannya pada awalnya.

"Pada mulanya, ada juga orang yang tanya, 'reti ke gunting rambut lelaki?' Tapi saya mampu buktikan kepada mereka melalui gambar-gambar rambut pelanggan-pelanggan saya dan soalan itu tidak muncul lagi.

"Malah mereka datang semula ke kedai saya."

Bermula sebagai satu-satunya tukang gunting rambut di kedainya pada 2015, kini beliau menggajikan sekurang-kurangnya dua tukang gunting rambut sepenuh masa dan juga beberapa pekerja sambilan.

(Gambar: Ira Musfirah)

Mujur kerjayanya yang boleh disifatkan luar dari kebiasaan ini diterima baik dan mendapat restu bapa dan arwah ibunya ketika itu.

Malah mereka turut menyokong secara kewangan pada ketika itu dengan mencukupkan $10,000 sebagai modal kedai tersebut.

"Jika saya rasa ia sesuatu perkara yang betul dan tak langgar batas, saya baik-baik saja.

"Ibu bapa saya pun memesan agar jangan sampai salah dari segi hukum, dan untuk jaga diri.

"Saya bukannya benar-benar memegang kepala mereka pun, kebanyakannya menggunakan sikat atau gunting. 

"Seperti tidak hormat orang pula jika pegang kepala mereka," jelas graduan dalam jurusan rekaan grafik ini.

Yang jelas, kerjanya kini boleh dianggap lebih 'mudah' kerana lebih ramai pelanggan yang menghargai kerjanya.

"Sekarang mereka dah tak menilai kerana semakin ramai 'barber' wanita di Singapura.

"Orang ramai sudah faham," kongsi Fidd, yang merancang meluaskan kedainya di lokasi lain dalam masa tiga tahun akan datang.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan