Jejak Warisan Woodlands tampilkan sejarah silam markas tentera di bahagian utara S'pura
Masih jelas lagi kenangan Encik Adam Mohamed Amin sewaktu tinggal di rumah kuarters Khalsa Crescent di Woodlands pada tahun-tahun 1960an.
Beliau berpindah ke sana ketika berusia 6 tahun apabila bapanya mula bertugas di pangkalan udara tentera laut British.
Dahulu kawasan itu merupakan tempat tinggal bagi individu yang bekerja di pangkalan udara tentera laut.
Namun bagi Encik Adam, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ketika menetap di sana adalah masa-masa yang diluangkan di Kapal DiRaja Malaya (KD Malaya).
KD Malaya merupakan markas tentera udara laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terletak berhampiran dengan Khalsa Crescent.
Kini, hanya tinggal blok pentadbiran KD Malaya yang masih teguh berdiri di 21 Admiralty Road West.
Blok pentadbiran KD Malaya merupakan salah satu tempat yang boleh diterokai orang ramai menerusi Jejak Warisan Woodlands yang baru dilancarkan Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Khamis (27 Okt).
Selain itu, Jejak Warisan Woodlands juga membawa orang ramai menyusuri beberapa mercu tanda lain yang signifikan di kawasan Woodlands.
Ini seperti Kuil Hong Tho Bilw, Masjid An-Nur dan Tanah Perkuburan Perang Kranji.
"Apa yang kurang dikenali adalah sejarah ketenteraannya yang kaya dan cerita-cerita penduduk kampung yang pernah tinggal di kampung-kampung di sini seperti Kampung Lorong Fatimah, Kampung Kranji, Kampung Hock Chien dan Kampung Sungai Cina," kata Cik Norsaleen Salleh, Timbalan Pengarah (Pendidikan dan Pendampingan Masyarakat), NHB.
Panduan dan peta pendamping Jejak Warisan Woodlands boleh dimuat turun menerusi laman Roots.sg.
Edisi terbaru Jejak Warisan ini merupakan yang ke-23 anjuran NHB.
Seterusnya, NHB akan melancarkan Jejak Warisan bagi Toa Payoh dan Ang Mo Kio pula pada tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.