Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejak Warisan Sembawang tampilkan beberapa bekas tapak kampung Melayu

Sebut saja tentang kawasan Sembawang, pasti ramai akan mengaitkan kejiranan itu dengan tempat daya tarikan popular, Taman Mata Air Panas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebut saja tentang kawasan Sembawang, pasti ramai akan mengaitkan kejiranan itu dengan tempat daya tarikan popular, Taman Mata Air Panas.

Sebenarnya, banyak lagi tempat bersejarah yang menggamit kenangan bekas penduduk kawasan di bahagian utara negara ini.

Mereka termasuk bekas penduduk kira-kira 10 kampung Melayu yang wujud di situ sebelum tahun 1960-an.

Di situ jugalah terletak beberapa surau dan tiga masjid utama yang menyediakan ruang solat bagi para penduduk Islam di kawasan berkenaan seperti Masjid Naval Base yang kini digantikan dengan Masjid Assyafaah.

Orang ramai kini boleh terokai bekas tapak kampung-kampung lama menerusi Jejak Warisan Sembawang yang baru dilancarkan Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Selasa (13 Jul).

MINAT SEHINGGA BUKA 'FB GROUP'

Bagi seorang guru prasekolah, Cik Sofea Abdul Rahman, 56 tahun banyak lagi kawasan di Sembawang yang membawa kenangan manis buat dirinya.

Mentelah lagi, beliau membesar di kawasan perkampungan yang terletak di Jalan Sembawang Kechil yang kini merupakan tapak rumah kebajikan SWAMI.

Beliau mengongsi bagaimana kehidupan di Sembawang dahulu amat berbeza dengan keadaan tinggal di rumah pangsa kini.

"Keadaannya semua macam kita ada rumah besar, halaman luas. Tempat permainan semua besar nampak macam luas begitu jadi kebebasan itu banyak. Kita sebagai kanak-kanak hendak main boleh di mana-mana, di atas pokok, dalam longkang, ada kebebasan.

"Sebahagian Sembawang adalah pangkalan tentera laut dan luarnya kampung-kampung. Kita ada kehidupan berlainan. Jadi sebenarnya Sembawang ini ada banyak kehidupan yang pelbagai," ujar beliau.

Minat Cik Sofea untuk menggali sejarah Sembawang begitu mendalam sekali sehingga beliau memulakan kumpulan Old Sembawang Naval Base Nostalgic Lane di Facebook.

Cik Sofea sendiri menyumbangkan sekitar 20 gambar lama estet itu kepada Jejak Warisan Sembawang oleh NHB.

3 LALUAN BERTEMA DITAWARKAN UNTUK TEROKA 31 TAPAK BERSEJARAH

NHB menjelaskan bahawa Jejak Warisan Sembawang mempunyai tiga laluan yang akan membawa orang ramai ke tempat-tempat mengikut tiga tema berbeza.

Tiga tema itu, tambah NHB, adalah mercu tanda bersejarah, masyarakat Sembawang dan sejarah dunia perkapalan dan tentera laut.

Jejak warisan terbaru oleh NHB itu juga meliputi 31 tapak bersejarah termasuk pangkalan tentera laut yang digunakan Angkatan Tentera Laut Diraja British pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua lagi.

Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi mercu tanda yang tidak asing bagi para penduduk Muslim di kawasan itu sehingga ke hari ini iaitu Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Para peserta boleh mempelajari tentang sejarah masjid itu yang merupakan satu-satunya masjid yang terletak di kawasan kampung tepi pantai, yang masih ada di Singapura.

Dibina pada tahun 1963, masjid itu dibangunkan oleh orang kampung yang tinggal di situ seperti Encik Amin Abdul Latiff yang kini memegang jawatan selaku pengerusi jawatankuasa masjid tersebut.

Beliau berkata: "Asalnya di sini ada Kampung Tengah, Kampung Tanjong Irau, Kampung Wak Hassan, Kampung Lobang Bom, Kampung Selak Kain, orang panggil Kampung Hailam. Inilah kampung-kampung yang ada di sini dahulu.

"Jadi kita adakan perundingan orang kampung dan mengutip 50 sen setiap rumah untuk membina masjid. Saya waktu itu masih ingat lagi masih sekolah dan kecil lagi. Saya pun sama-sama bantu mereka. Tidak pun angkat tanah sikit dan ratakan. Ini adalah antara sumbangan atau apa yang dibuat orang-orang kampung untuk mendirikan masjid yang ada ini."

Encik Amin berkongsi bahawa beliau yang merupakan bekas penduduk Kampung Tengah berharap sangat agar warisan masjid itu dapat dikekalkan dan diraikan orang ramai.

Jejak Warisan Sembawang adalah jejak warisan ke-21 yang diusahakan NHB untuk mengetengahkan kisah-kisah di kawasan kejiranan merata negara yang sebelum ini jarang diketahui umum.

Timbalan Pengarah dan Pendampingan Masyarakat NHB Norsaleen Salleh berkata, "Jejak Warisan ini dapat mengimbas kembali sejarah kampung-kampung Melayu yang pernah wujud dahulu seperti Kampung Wak Hassan, Kampung Tanjung Irau dan Kampung Tengah.

"Kami berharap juga cerita-cerita yang dikongsi oleh orang ramai dapat mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan sosial di kampung-kampung ini dan daerah di Sembawang ini."

Bagi mengikuti jejak warisan tersebut, orang ramai boleh muat turun peta dan maklumat tentang tapak-tapak bersejarah tersebut di laman Roots.gov.sg

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan