Jejak Warisan ke Pulau Ubin bawa Nor Syazwan lebih dekat kepada susur galur keluarganya
Lebih 80 penduduk Woodlands, yang kebanyakannya berusia antara 13 hingga 26 tahun, berkunjung ke Pulau Ubin pada pagi Sabtu (18 Ogos) untuk menyusur sejarah dan mengimbas zaman silam pulau itu.
SINGAPURA: Lebih 80 penduduk Woodlands, yang kebanyakannya berusia antara 13 hingga 26 tahun, berkunjung ke Pulau Ubin pada pagi Sabtu (18 Ogos) untuk menyusur sejarah dan mengimbas zaman silam pulau itu.
Lebih menarik lagi, lawatan tersebut adalah cetusan idea Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands yang begitu tertarik dengan usaha seorang anak muda menjejak susur galur dan asal usul keluarganya di Pulau Ubin.
Ini sekaligus menyangkal salah tanggap bahawa golongan milenial tidak mengambil tahu tentang sejarah nenek moyang mereka.
BERITAmediacorp juga ikut sama dalam rombongan muhibah yang turut disertai oleh Anggota Parlimen GRC Sembawang, Amrin Amin.
USAHA CARI TAPAK RUMAH ARWAH DATUK
Salah sebuah tempat yang dikunjungi adalah tapak kediaman Allahyarham Sulong Yunos.
Isteri dan anak-anaknya tinggal di sana sehingga beliau meninggal dunia pada 1989.
Selepas hampir lima bulan mencari, cucu Allahyarham Encik Sulong, Encik Nor Syazwan Abdul Majid, akhirnya menemui bekas tapak rumah datuknya itu.
"Saya rasa memang ada banyak yang kita boleh usahakan untuk remaja dan belia-belia di sini kerana warisan kampung ini merupakan warisan Melayu yang amat penting," kongsi Encik Nor Syazwan.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin turut berminat untuk melihat sendiri tapak di mana datuk dan nenek Syazwan pernah menyara kehidupan di Pulau Ubin.
"Saya sangat kagum dengan langkah yang diambil oleh Encik Syazwan kerana beliau ingin mengambil tahu dan benar-benar ingin memahami asal usulnya," kata Encik Amrin.
Sempena program Jejak Warisan anjuran MAEC Woodlands ini, Syazwan turut berkongsi sejarah keluarganya bersama belia lain.
Encik Amrin yang juga penasihat akar umbi Woodlands, turut mengajak golongan muda supaya mendalami warisan dan sejarah Singapura.
"Kita mahu memperbaiki diri. Saya rasa ini adalah matlamat jejak warisan ini. Di mana kita mendalami warisan kita, sejarah kita untuk memberi kita keyakinan, kebolehan dan untuk mendorong kita untuk menyahut cabaran di zaman ini," tambah Encik Amrin.
Selepas mengunjungi bekas tapak kediaman datuk Syazwan, para peserta juga berpeluang menikmati keindahan suasana kampung di Pulau Ubin.
Selain seronok berbasikal, bermain sepak takraw dan berdikir barat, para peserta Jejak Warisan turut diundang menjamu selera di rumah salah seorang penduduk di situ.
"Banyak benda. Banyak sejarah. Banyak barang-barang lama yang sekarang kita tidak boleh lihat lagi di bandar kami di HDB," kongsi seorang peserta.
Seorang peserta lain pula berkata: "Kami boleh pelajari tentang sejarah yang telah lama dilupakan. Sebagai contoh, saya biasanya di bandar... Ini kali pertama saya ke Pulau Ubin."
Lawatan pagi tadi merupakan edisi kelima Jejak Warisan di mana para penduduk diajak menjelajah dan mempelajari sejarah Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.