Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejak Tepi Pantai Keppel di Taman Labrador dibuka kepada umum

Jejak Tepi Pantai Keppel sepanjang 340 meter di Taman Labrador dibuka kepada orang ramai pada Sabtu (25 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jan 2025 11:50AM Dikemas Kini : 25 Jan 2025 10:58PM
SINGAPURA: Jejak Tepi Pantai Keppel sepanjang 340 meter di Taman Labrador dibuka kepada orang ramai pada Sabtu (25 Jan).

Jejak ini terdiri daripada pelantar kayu sepanjang 90 meter yang menawarkan pemandangan laut dan boleh diakses pengunjung berkerusi roda.

Terdapat satu lagi laluan sepanjang 250 meter yang membawa pengunjung melalui kawasan hutan tepi pantai.

Pembangunan jejak ini disokong oleh sumbangan sebanyak S$1 juta daripada Yayasan Keppel Care.
(Gambar: CNA)
Lembaga Taman Negara (NParks) dan Keppel menerusi satu kenyataan bersama menjelaskan bahawa hutan paya laut di taman itu sudah menjalani "pemulihan aktif" sebagai sebahagian daripada pembangunan jejak tersebut.

Jejak itu sekali gus akan berfungsi sebagai lapisan perlindungan penting buat hutan paya laut dalam Taman Alam Semula Jadi Labrador, salah satu habitat terakhir seumpamanya di Singapura, menurut NParks dan Keppel.

Antara haiwan yang dapat dilihat di jejak ini termasuk helang laut putih (White-bellied Sea Eagle), ular terbang (Paradise Tree Snake), dan burung sambar-kunyit kening putih (Yellow-rumped Flycatcher).
Peta Jejak Tepi Pantai Keppel.

Jejak itu juga rumah kepada sekitar 100 jenis pokok dan pokok renek, termasuk beberapa spesies hutan paya laut yang akan meningkatkan sumber makanan serta tempat perlindungan bagi haiwan.

Di majlis pembukaan jejak pada Sabtu (25 Jan), Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee bersama beberapa wakil dan sukarelawan Keppel, menyertai anggota masyarakat untuk menanam 55 pokok di sepanjang jejak itu.

Pokok-pokok yang ditanam merupakan sebahagian daripada 10,000 pokok yang telah diikrarkan oleh Keppel pada tahun 2020 untuk ditanam di taman-taman dan hutan simpanan di seluruh Singapura, dengan sumbangan sebanyak S$3 juta.

Setakat hujung tahun lalu, sekitar 8,000 pokok yang dijanjikan oleh Keppel sudah ditanam di merata Singapura.

Pengerusi Keppel Danny Teoh berkata laluan baharu itu amat penting dalam usaha memelihara alam semula jadi dan biodiversiti di Taman Alam Semula Jadi Labrador.

"Keppel akan terus menyokong usaha Singapura dan masyarakat antarabangsa dalam mengatasi cabaran perubahan iklim, termasuk melalui huraian berasaskan alam semula jadi," katanya.

PELUASAN TAMAN PASIR PANJANG

Dalam ucapannya di majlis yang sama, Encik Lee mengumumkan bahawa Taman Pasir Panjang, yang bermula dari Taman West Coast hingga ke Pasir Panjang, akan diperluas sebanyak dua hektar.

Peluasan ini akan melibatkan bekas tapak perindustrian tepi pantai di Daerah Jana Kuasa Pasir Panjang, menjadikan luas taman itu lapan hektar.

Apabila siap sepenuhnya, Taman Pasir Panjang akan dihubungkan dengan ruang hijau lain melalui Rangkaian Penghubung Taman yang berterusan ke Taman Alam Semula Jadi Labrador, kata Encik Lee.

Ini termasuk Taman West Coast, Kolam Air Pandan, Taman Tasik Jurong dan Jurong Central Park.

"Semua ini sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menjadikan Singapura sebuah bandar dalam taman... untuk membebaskan diri daripada kesibukan kehidupan di bandar, dengan membawa penduduk lebih dekat dengan alam semula jadi sambil meningkatkan daya ketahanan ekologi habitat kita," kata Encik Lee.

"Saya menggalakkan semua yang hadir di sini untuk menyertai usaha ini, sama ada dengan menanam pokok, mengambil bahagian dalam tinjauan biodiversiti, menyumbang idea, atau memberikan sokongan dalam sebarang bentuk usaha," tambah beliau.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan