Skip to main content

Singapura

Jejak mata wang kripto, hasilkan alat kesan penipu: Pakar siber bantu polis SG perangi jenayah online

Menjejak pergerakan mata wang kripto, mengenal pasti penjenayah siber dan menghasilkan alat untuk membantu pegawai polis mengesan penipuan dengan lebih pantas.

Anggaran Waktu Membaca:
Jejak mata wang kripto, hasilkan alat kesan penipu: Pakar siber bantu polis SG perangi jenayah online

Pakar keselamatan siber Syazwan Suhaimi dari Pusat Kawalan Siber SPF yang baru ditubuhkan pada 16 September 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

Diterbitkan : 19 Sep 2026 01:49PM
  • Encik Syazwan Suhaimi membawa kepakaran keselamatan siber ke Pusat Kawalan Siber SPF di Singapura untuk membantu pegawai menyiasat penipuan yang semakin kompleks.
  • Beliau membangunkan alat dalaman bagi menjejak transaksi kripto, mengenal pasti pelaku yang menggunakan mixer, dan mengesan bakal mangsa berisiko tinggi.
  • SPF turut menggunakan AI, pembelajaran mesin dan analisis corak laporan untuk menangani laman penipuan, sementara penjenayah juga menggunakan AI untuk mencari kelemahan sistem.
  • Pusat itu, dilancarkan sekitar dua bulan lalu, menggabungkan unit sedia ada dan menumpukan gangguan rangkaian jenayah walaupun kes penipuan menurun pada separuh pertama 2026.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menjejak pergerakan mata wang kripto, mengenal pasti penjenayah siber dan menghasilkan alat untuk membantu pegawai polis mengesan penipuan dengan lebih pantas.

Itu antara kepakaran yang dibawa Encik Syazwan Suhaimi ke Pusat Kawalan Siber Pasukan Polis Singapura (SPF Cyber Command) yang baru ditubuhkan.

Sebagai pakar keselamatan siber di bahagian siasatan jenayah siber unit itu, Encik Syazwan berkongsi kepakaran teknikalnya dengan para pegawai penyiasat dalam usaha menangani kaedah penipuan yang semakin canggih.

Beliau mempunyai kepakaran dalam siasatan mata wang kripto dan menjejak transaksi menerusi teknologi blockchain.

"Pegawai penyiasat menjalankan siasatan. Mereka mempunyai sedikit latar belakang siber tetapi bukan pakar dalam bidang tersebut.

"Apabila saya menyertai unit ini, saya boleh menjadi penasihat mengenai apa yang perlu dilakukan," katanya.

HASILKAN ALAT SENDIRI UNTUK JEJAK PENIPU

Selain memberi nasihat teknikal, Encik Syazwan juga menghasilkan alat yang dapat memperkemas tugas pegawai dan membantu mereka menjejaki kegiatan penipuan dengan lebih pantas.

Alat-alat itu juga boleh digunakan untuk mengenal pasti bakal mangsa yang berisiko kehilangan sejumlah besar wang dalam pelbagai jenis penipuan.

Salah satu alat yang dibangunkan Encik Syazwan digunakan untuk mengenal pasti pelaku apabila mereka cuba memindahkan mata wang kripto menerusi sebuah 'mixer'.

'Mixer' digunakan untuk meningkatkan tahap privasi dan menyukarkan transaksi menerusi blockchain daripada dijejaki.

Sebelum Pusat Kawalan Siber ditubuhkan, para pegawai bergantung kepada alat yang disediakan pihak luar.

Namun, dengan pakar keselamatan siber seperti Encik Syazwan kini bekerja bersama pegawai penyiasat, unit itu dapat membangunkan sendiri alat yang diperlukan bagi membantu siasatan.

AI BANTU PENIPU, TAPI JUGA BANTU POLIS

Cabaran yang dihadapi polis turut berubah dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Encik Syazwan, teknologi AI boleh digunakan oleh kedua-dua pihak.

Penjenayah boleh menggunakannya untuk mencari kelemahan dalam sistem, manakala polis pula boleh menggunakan AI untuk menganalisis jumlah data yang besar dengan jauh lebih pantas.

"Ini bukan hanya mengenai alat yang digunakan,
tetapi juga melatih semula anggota kita secara berterusan," katanya.

Menurut beliau, penggunaan AI oleh penjenayah kini tidak lagi terhad kepada menghasilkan mesej pancingan data yang lebih meyakinkan.

Sesetengah kumpulan penggodam turut menggunakan AI untuk membantu menghasilkan kod berniat jahat dan mencari kelemahan yang boleh dieksploitasi, sekali gus mengautomasikan tugas yang sebelum ini memerlukan kemahiran manusia.

Pusat Kawalan Siber juga menggunakan AI dan pembelajaran mesin untuk menangani laman web penipuan yang boleh dihasilkan dengan pantas oleh penjenayah.

Daripada menangani setiap pautan berniat jahat secara berasingan, para pegawai mencari corak daripada laporan yang diterima dan menggunakan alat sumber terbuka untuk mengenal pasti laman mencurigakan yang mempunyai kaitan antara satu sama lain.

'PALING MEMUASKAN APABILA MANGSA PERCAYA'

Namun bagi Encik Syazwan, teknologi sahaja tidak mencukupi.

Antara cabaran yang dihadapinya ialah meyakinkan mangsa bahawa mereka sebenarnya sudah diperdayakan.

Ada mangsa yang enggan mempercayai mereka menjadi mangsa penipuan walaupun sudah diberi amaran.

"Kami cuba berkali-kali meyakinkan mereka bahawa ia satu penipuan. Mungkin kali pertama tidak berhasil, kemudian kali kedua mereka sedar selepas melakukan penyelidikan sendiri bahawa mereka benar-benar sudah ditipu," katanya.

Bagi Encik Syazwan, antara detik paling memuaskan dalam tugasnya adalah apabila bakal mangsa mempercayai nasihat yang diberikan lalu berhenti melabur atau menghantar wang kepada penipu.

Beliau juga berasa puas apabila wang yang hilang berjaya diperolehi semula atau pihak yang melakukan penipuan dapat dikenal pasti.

Pusat Kawalan Siber SPF dilancarkan sekitar dua bulan lalu dengan menggabungkan unit-unit yang sebelum ini menangani jenayah siber dan penipuan secara berasingan.

Selain menyiasat kes individu, unit tersebut memberikan tumpuan kepada usaha mengenal pasti dan mengganggu keseluruhan rangkaian jenayah, termasuk sindiket, pihak yang membantu mereka serta individu lain yang membolehkan kegiatan penipuan dan jenayah siber dijalankan.

Jumlah kes penipuan di Singapura menurun pada separuh pertama 2026, meneruskan trend penurunan yang bermula pada 2025.

Namun jumlah kes masih tinggi dan usaha membanteras penipuan kekal sebagai keutamaan negara.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita