Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jejak Geylang Serai: Teroka & pelajari sejarah 5 tempat ikonik menerusi klip audio drama

Meneroka sambil mengimbau kisah di sebalik tempat-tempat bersejarah namun kurang dikenali ramai di kawasan Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:
Jejak Geylang Serai: Teroka & pelajari sejarah 5 tempat ikonik menerusi klip audio drama

Meneroka sambil mengimbau kisah di sebalik tempat-tempat bersejarah namun kurang dikenali ramai di kawasan Geylang Serai. (Gambar: Wisma Geylang Serai)

SINGAPURA: Meneroka sambil mengimbau kisah di sebalik tempat-tempat bersejarah namun kurang dikenali ramai di kawasan Geylang Serai.

Itulah yang dapat orang ramai lakukan menerusi Jejak Geylang Serai yang dilancarkan pada Ahad (12 Dis) di Wisma Geylang Serai (WGS).

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Semasa melancarkannya, Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Maliki Osman menarik perhatian bahawa usaha untuk menyemarakkan jalur budaya itu tidak terletak pada peningkatan infrastrukturnya sahaja tapi juga bagi memastikan sejarah dan warisan kawasan ini terus dihargai pengunjung khususnya dalam kalangan anak-anak muda.

"Apa yang kami harapkan ialah pengunjung datang ke Geylang Serai menikmati sejarahnya menerusi lokasi-lokasi ini," kata Dr Maliki.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

JELAJAH IKUT RENTAK SENDIRI

Para peserta boleh melakukannya sendiri mengikut rentak masing-masing dan berkunjung ke lokasi-lokasi yang disertakan mengikut giliran yang diinginkan.

Ini bermakna, tiada pegawai yang akan mengatur jadual dan membawa anda ke lokasi-lokasi tersebut.

Lokasi-lokasi dan kedai-kedai yang disertakan dalam jelajah ini adalah:
- Fotohi Carpet Gallery di Tanjong Katong Complex
- Gerai Geylang Serai Chee Kong di Pusat Penjaja Geylang Serai
- Toko buku Haji Hashim Bin Haji Abdullah di Joo Chiat Complex
- Kedai Indian Muslim Bakery & Confectionery Pte Ltd di Onan Road
- Kedai Kway Guan Huat Joo Chiat Popiah di Joo Chiat Road

Selain kaya dengan sejarah masing-masing, kedai-kedai itu juga dipilih kerana ia mempamerkan perniagaan turun-temurun.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Lebih menarik lagi, para peserta juga boleh mendengar klip audio drama yang disediakan hanya dengan mengimbas kod QR yang tertera di luar kedai.

Ia diterbitkan berdasarkan kisah sebenar para penduduk di kawasan itu dan membolehkan para peserta menggambarkan suasana di kawasan itu pada waktu dahulu dan menikmati kisah-kisah menarik.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Misalnya kedai buku Hj Hashim yang sudah wujud hampir seabad lamanya dan pernah menjual kad-kad Hari Raya kepada tentera Malaya di sini sewaktu Perang Dunia Kedua.

Ia pertama kali dibuka pada 1922 di kawasan Arab Street dan sudah berpindah beberapa kali sebelum akhirnya bertapak di Joo Chiat Complex.

Ini sekali gus menjadikan kedai buku tersebut sebagai yang tertua di Singapura.

MENARIK MINAT GOLONGAN MUDA KENALI GEYLANG SERAI

Inisiatif anjuran WGS yang pertama kali diadakan itu turut melibatkan kerjasama dengan sebuah kumpulan teater tempatan bukan meraih untung, 'The 2econd Breakfast Company' yang terdiri daripada golongan anak-anak muda berbakat.

Mereka juga bertanggungjawab mengarang dan menghasilkan klip-klip audio drama tersebut yang mengambil kira-kira empat hingga lima bulan untuk disiapkan.

(Gambar: FB/The Second Breakfast Company)

Memuji dedikasi anak-anak muda dalam usaha tersebut, Dr Maliki berkata: "Saya berbangga sekali kita dapat bergabung tenaga dengan anak-anak muda kita kerana salah satu tujuan utama kita ialah untuk menarik lebih ramai lagi generasi muda kita untuk datang ke Geylang Serai untuk menghargai warisan-warisan Geylang Serai supaya kita dapat terus menyemarakkan visi kita untuk mencapai satu kawasan budaya yang begitu unik, yang begitu semarak dikatakan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat."

Meskipun Geylang Serai sinonim dengan masyarakat Melayu, Dr Maliki berkata sejarah masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut sejak dari dulu lagi adalah sesuatu yang perlu dipamerkan.

"Pemilihan kami mengenai lokasi-lokasi menunjukkan kepelbagaian ini supaya rakyat muda, anak muda kita tahu walaupun Geylang Serai sebagai satu pusat ataupun daerah di mana lebih ramai masyarakat Melayu datang ke mari, ia menunjukkan bahawa masyarakat bukan Melayu juga begitu penting dalam kehidupan kemasyarakatan di sini," jelas Dr Maliki.

Program Jejak Geylang Serai dibuka kepada orang ramai secara percuma dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja bermula hari ini (12 Dis).

Namun WGS mengingatkan orang ramai untuk kekal berwaspada dan menjaga jarak selamat semasa melakukan kegiatan tersebut.

WGS berharap untuk memperluaskan lagi program ini dengan menyertakan lebih banyak tempat menarik di Geylang Serai menjelang 2023.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari thesecondbreakfastcompany.com/geylangseraitrails/ 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan